KERAJAAN terus bertegas mengekalkan harga siling minyak masak paket plastik satu kilogram pada harga RM2.50 di Semenanjung. Sebagai pengguna, sudah pasti ketegasan itu amat dialu-alukan walaupun kita tidak pasti sama ada krisis kekurangan bekalan bahan itu kembali pulih atau semakin meruncing.
Jika kita imbau kembali krisis bekalan gula tahun lalu, ia berlaku ketika harga gula mentah di pasaran antarabangsa meningkat. Ini menyebabkan pengeluar gula tidak berminat mengeluarkan gula pasir yang dikawal harganya pada paras siling RM1.45 satu kilogram, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pengeluaran gula halus yang ketika itu tidak dikawal harganya.
Lantas, bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan mengenakan harga siling pada peringkat pengilang dan pemborong bagi gula pasir dan juga gula halus. Hasil daripada langkah itu, krisis gula pasir pulih seperti sedia kala.
Senario serupa berlaku kepada minyak masak sawit. Dalam keadaan harga minyak sawit mentah dunia mencecah RM2,300 satu tan, pengilang minyak masak sawit mengurangkan pengeluaran minyak masak dalam paket plastik satu kilogram atau dalam tin yang dijual kepada peruncit untuk dibungkus semula dalam paket plastik satu kilogram.
Sebaliknya pengilang meningkatkan pengeluaran minyak masak dalam botol yang harga silingnya RM3.30 satu kilogram bagi minyak sawit tulen atau RM3.60 bagi minyak masak sawit campuran. Selain itu, ada juga pengilang yang mengeluarkan minyak masak sawit yang diperkayakan kandungannya dengan menambah vitamin tertentu, yang harganya langsung tidak dikawal di bawah Akta Kawalan Harga 1946.
Oleh sebab itu, bekalan minyak masak paket plastik berkurangan di pasaran. sebaliknya bekalan minyak masak sawit dalam botol tidak terjejas. Ini menunjukkan tidak wujud masalah bekalan minyak masak sawit, sebaliknya berlaku manipulasi pengeluaran pada peringkat pengilangan minyak masak sawit. Dengan cara ini pengilang dapat memastikan kos pengeluaran mereka tidak terjejas disebabkan kenaikan harga minyak sawit mentah.
Di samping itu, pemborong pula menjual harga minyak masak paket plastik atau dalam tin pada harga lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan. Ini menyebabkan peruncit enggan menerima bekalan atau terpaksa berhadapan dengan tindakan apabila menjual melebihi harga siling.
Keadaan kekurangan bekalan minyak masak sawit plastik satu kilogram ini mewujudkan tekanan kepada pengguna untuk terpaksa membeli minyak masak sawit dalam botol pula.
Dengan mengambil iktibar kaedah kerajaan mengatasi krisis bekalan gula pasir dulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (
Fomca) berpendapat kerajaan harus menggunakan kaedah sama terhadap minyak masak sawit ini.
Pertama, bagi mengatasi masalah pemborong yang menjual kepada peruncit melebihi harga siling, kerajaan perlu menetapkan harga kawalan pada peringkat pengilang dan pemborong juga.
Kedua, untuk memastikan pengilang terus mengeluarkan minyak masak paket plastik, kerajaan perlu mengenakan kuota pengeluaran kepada pengilang berdasarkan jumlah penggunaan biasa minyak masak jenis ini di kalangan pengguna. Ini boleh dilakukan pada peringkat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, melalui Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dengan cara ini, pengilang terpaksa mengeluarkan minyak masak paket plastik berdasarkan kuota yang ditetapkan, dan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran minyak masak sawit dalam botol atau minyak masak sawit yang diperkayakan.
Bagi mengatasi masalah peningkatan kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung pengilang, kerajaan boleh melaksanakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak seperti pada 1997. Dalam skim ini, pengeluar kelapa sawit dikehendaki membayar ses untuk dimasukkan ke dalam Dana Akaun Amanah Industri atau dikenakan cukai windfall berdasarkan paras harga minyak sawit mentah semasa. Ses dan cukai ini kemudian diberikan kepada pengilang minyak masak dalam bentuk subsidi, berdasarkan kepada perbezaan kos pengeluaran dan harga minyak masak yang ditetapkan.
Pada 1997, kerajaan mengenakan ses 50 sen bagi setiap RM10 kenaikan harga minyak sawit mentah melebihi RM1,450 satu tan, dan pada 1998 pula, kerajaan mengenakan cukai windfall sebanyak RM50 satu tan bagi harga minyak sawit mentah melebihi RM2,000 satu tan.
Jika langkah ini dapat dilaksanakan, krisis bekalan minyak masak paket plastik yang melanda sekarang dapat dipulihkan. Di samping itu, langkah pencegahan perlu dilakukan bagi membanteras amalan menyorok stok minyak masak sawit dan kegiatan penyeludupan ke negara jiran.
Surat & Emel, Berita Harian
7 Mei 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan