Isnin, Mei 21, 2007

TUBUHKAN SURUHANJAYA HARGA BARANGAN, PERKHIDMATAN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengumumkan kenaikan harga siling bagi tepung gandum sebanyak 15 sen, menjadikan harganya kini RM1.35 satu kilogram.

Antara sebab yang diberikan bagi menaikkan harga kawalan tepung gandum ialah peningkatan kos pengeluaran di peringkat antarabangsa kerana sebahagian besar daripada gandum yang digunakan untuk memproses tepung gandum di negara ini diimport dari Australia atau United Kingdom.

FOMCA bimbang dengan berlakunya kenaikan harga tepung gandum ini akan menyebabkan kenaikan bagi bahan-bahan berasaskan tepung khususnya bahan makanan seperti roti canai, kuih-muih dan sebagainya.

FOMCA berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna terlebih dahulu sebelum sesuatu kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan dilakukan. Ini bagi memastikan kenaikan harga tersebut tidak membebankan para pengguna. Salah satu mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Melalui Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan di suruhanjaya ini yang melibatkan pihak kerajaan, pengeluar/pengilang dan pengguna.

Sekiranya terdapat alasan yang wajar bagi kenaikan, maka kenaikan itu akan dibenarkan. Suruhanjaya ini juga akan membincangkan sekiranya struktur harga sesuatu barangan itu perlu disemak semula setelah sekian lama ia ditetapkan. Ini kerana ada di antara 11 barang kawalan itu telah tidak disemak sejak mula ia ditetapkan Oleh yang demikian, sekiranya semakan semula itu dilakukan secara berkala, sebarang kenaikan yang berlaku adalah kecil sahaja dan ini tidak akan menjejaskan kos pengeluaran dan pengguna tidak akan terasa bebanannya.

Oleh kerana tidak wujudnya Suruhanjaya Harga pada masa ini, maka apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga sesuatu barangan, kenaikan tersebut agak tinggi sehingga pelbagai pihak mengalami kesan kenaikan itu.

Selain itu, apabila timbulnya ura-ura tentang kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan, beberapa barangan bukan kawalan telah mengalami kenaikan harga. Ini disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang ingin meraih faedah daripada kenaikan gaji ini. Dalam hal ini juga kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya kenaikan harga ini berlaku. Justeru, FOMCA meminta akan digubal Akta Perdagangan Adil agar sesuatu tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barangan bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya.

Pada masa ini, di bawah Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual, sama ada barangan tersebut dikawal ataupun tidak.

Pada masa ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menggubal Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA). Namun peraturan ini lebih memberikan tumpuan kepada persaingan tidak sihat dalam sektor industri sahaja, dan tidak mengandungi peruntukan di antara peniaga dengan pengguna. Oleh itu, KPDNHEP wajar mewujudkan peruntukan dalam Dasar Amalan Perdagangan Adil, iaitu jika wujudnya amalan perniagaan yang tidak beretika termasuk mengenakan harga yang tidak munasabah, maka tindakan boleh diambil terhadap sesuatu perniagaan, sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit.

– MOHD. YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi FOMCA.


Pendapat, Utusan Malaysia
18 Mei 2007

Tiada ulasan: