Khamis, Mei 03, 2007

FOMCA MAHU KADAR TAMBANG SILING PENGANGKUTAN AWAM DITETAPKAN

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu menetapkan kadar tambang siling apabila cadangan untuk membenarkan pengusaha pengangkutan awam menentukan kadar tambang dilaksanakan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata langkah itu perlu bagi memastikan kadar tambang yang ditetapkan tidak membebankan pengguna.

"Cadangan mengamalkan liberalisasi tambang itu adalah baik tetapi persoalan di sini adakah pengusaha pengangkutan awam telah bersedia untuk bersaing secara sihat?

"Kita mengakui bahawa cadangan itu mempunyai kesan baik dan buruk. Tetapi ia juga harus diperhalusi sebelum dilaksanakan. Dalam soal ini, Fomca mencadangkan kadar tambang siling ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Mohd Yusof diminta mengulas kenyataan pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran semalam, bahawa lembaga itu sedang mengkaji kemungkinan memberi kebebasan kepada pengusaha pengangkutan awam terutama bas ekspres untuk menetapkan kadar tambang perkhidmatan mereka.

Markiman berkata dasar liberalisasi tambang seperti yang diamalkan di Singapura itu telah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam terhadap rakyat negara jiran itu.

Mengakui bahawa dasar liberalisasi tambang itu membolehkan pengguna membuat perbandingan harga berdasarkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, Mohd Yusof berkata perkara sebaliknya juga boleh berlaku jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata keburukan cadangan itu kemungkinan pengusaha mengadakan pakatan sesama mereka dan menetapkan kadar tambang tanpa memikirkan kepentingan pengguna serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

"Sekarang ini pun ketika LPKP menetapkan kadar tambang masih terdapat pengusaha yang ingkar dan mengenakan tambang tinggi kepada pengguna, apatah lagi sekiranya mereka diberi kebebasan (menetapkan tambang)," katanya.

Beliau berkata kenaikan tambang sesuka hati sering berlaku semasa musim perayaan, misalnya pada perayaan Tahun Baru Cina lepas, ada syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang sehingga RM220, meningkat dua kali ganda tambang biasa bagi perjalanan sehala dari Johor Baharu ke Pulau Pinang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: