Isnin, Mei 21, 2007

MEKANISME SEKAT KENAIKAN HARGA PERLU DIWUJUDKAN


DARI semasa ke semasa, apabila ada berita mengenai kemungkinan kenaikan gaji kakitangan awam, keadaan bagaikan teori domino apabila harga barang juga turut naik. Lebih mendukacitakan ialah kenaikan gaji baru diuar-uarkan, peniaga sudah mula menaikkan harga. Inilah satu hakikat yang tidak boleh diterima banyak pihak, malah ada yang melabelnya sebagai tidak adil serta sengaja menangguk di air keruh.

Mana tidaknya, setiap kali berita gembira bakal diumumkan, pasti ada juga berita kurang enak dihidangkan kepada masyarakat. Serentak itu juga, pelbagai lagi rentetan berita duka cita mula diperkatakan.

Itulah keadaan yang berlaku ketika kerajaan sedang berkira-kira mengumumkan berita gembira membabitkan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam tidak lama lagi. Namun, belum pun keputusan itu diumumkan, kenaikan harga barang di pasaran mendahuluinya bagaikan lagu ‘Bangau Oh Bangau’.

Inilah yang menjadi kebimbangan semua pihak selama ini. Sering kali kegembiraan menikmati kenaikan gaji dan penerimaan bonus akan dipadamkan dengan kenaikan kos sara hidup yang juga meningkat pada masa sama. Namun, apa yang menyakitkan hati banyak pihak ialah ia seakan jelas menunjukkan sikap peniaga yang suka mengambil kesempatan.

Keadaan ini dibuktikan apabila baru-baru ini Timbalan Presiden I, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Kamarul Zaman Seenimohideen, berkata harga roti canai dan capati akan naik 10 sen mulai bulan depan.

Katanya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos minyak masak, marjerin, gas dan terbaru tepung gandum dan memberi alasan sudah dua kali harga tepung naik dalam tempoh empat tahun, tetapi mereka masih menjual roti canai pada harga sekitar 60 sen hingga 80 sen sekeping.

Kononnya kenaikan harga roti canai itu berkaitan dengan kenaikan harga siling tepung gandum yang dinaikkan 15 sen sekilogram, berkuat kuasa 14 Mei lalu berikutan peningkatan harga bahan itu di pasaran dunia selain kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan.

Dengan kenaikan itu, harga runcit tepung gandum di Semenanjung meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.35 sekilogram, manakala di Sabah dan Sarawak daripada RM1.30 kepada RM1.45 sekilogram.

Namun, apa yang mengecewakan, kenyataan Kamarul Zaman itu menyusul sejurus selepas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, memberi jaminan kerajaan akan memastikan usaha mengekang kenaikan harga barang diberi keutamaan dalam Bajet 2008.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jelas sekali ada elemen mengambil kesempatan oleh peniaga setiap kali ada krisis kenaikan harga barang, malah apabila ia turut disokong dengan kemungkinan kerajaan umum kenaikan gaji.

Namun, sebelum masyarakat terus menuding jari kepada peniaga, kerajaan sepatutnya terlebih dulu memikirkan alternatif terbaik untuk mencari jalan mengelakkan kenaikan harga barang asas seperti tepung gandum daripada berlaku.

“Memang pada masa ini ada masalah kenaikan harga kerana gandum diimport dari Australia, New Zealand dan United Kingdom yang mungkin sedang menghadapi masalah pengeluaran. Namun, pada masa sama menurut laporan sebuah stesen televisyen antarabangsa, ada wilayah tertentu di India yang mengalami lambakan gandum kerana tiada negara mahu mengimport daripada mereka.

“Justeru, mungkin kerajaan perlu mengalih tumpuan import gandum dari negara lain untuk mengelakkan kenaikan harga ini. Selain itu, satu daripada mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Menerusi Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan suruhanjaya ini yang membabitkan kerajaan, pengeluar atau pengilang dan pengguna.

“Justeru, Fomca meminta supaya digubal Akta Perdagangan Adil supaya tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barang bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya. Menerusi Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barang yang dijual, sama ada barang berkenaan dikawal ataupun tidak,” katanya.

Namun, beliau menyelar tindakan menaikkan harga roti canai dan barang berasaskan tepung yang lain kerana kenaikan harga tepung 15 sen sekilogram itu sebenarnya terlalu kecil dan tidak menjejaskan keuntungan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat peniaga sebenarnya mempunyai pelbagai kaedah untuk tidak menaikkan harga kerana setiap kenaikan harga pastinya tidak akan disenangi banyak pihak terutama pengguna, malah lebih teruk lagi jika kenaikan harga itu diburukkan dengan pengurangan saiz atau kuantiti makanan terbabit.

“Inilah masalahnya, ada yang ambil kesempatan dengan melampau. Mereka ini bukan sekadar naikkan harga, malah saiz roti canai pun dikurangkan. Ini lebih tidak adil. Pelanggan mungkin kurang bersuara jika saiz itu kecil sedikit, tetapi kenaikan sebanyak 10 sen itu agak tidak adil berbanding kenaikan harga tepung yang diumumkan.

“Antara kaedah yang boleh digunakan oleh peniaga ialah membeli pada kadar yang banyak secara borong di gedung jualan borong untuk mendapatkan harga lebih murah. Itu antara satu daripada kaedah penjimatan yang boleh mereka buat selain menaikkan harga,” katanya.

Mohd Yusof mendakwa kenaikan harga harga roti canai tidak setimpal dengan kenaikan harga tepung dan ini perlu dikawal kerajaan sebelum menjadi lebih membebankan pengguna pada masa akan datang.

“Jika sebelum ini kos sarapan pagi adalah RM2, jangan nanti tidak lama lagi ia akan menjadi RM2.50 kerana pelbagai kenaikan lain akan berlaku jika kawalan harga tidak dilaksanakan mulai sekarang.

“Satu perkara lagi yang peniaga perlu bersifat lebih adil ialah jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga apabila berlaku sesuatu yang tidak menjejaskan kos pengeluaran mereka. Apa kena mengena kenaikan gaji dengan mengeluarkan sekeping roti canai?” katanya.


Berita Harian
19 Mei 2007

Tiada ulasan: