Khamis, April 05, 2007

BANK PATUT KURANG PROMOSI KAD KREDIT

ARAHAN kerajaan agar bank dan syarikat kewangan menghentikan promosi kad kredit secara agresif amat wajar bagi mengelakkan bertambah ramai pengguna terutama anak muda tertekan kerana dikelilingi hutang

Kementerian Kewangan sendiri akan mengadakan mesyuarat khas dengan bank bagi membincangkan isu pengawalan pengeluaran kad kredit yang dianggap terlalu agresif sehingga mendorong kepada penggunaan tidak sepatutnya.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengalu-alukan langkah kerajaan ini, kerana syarikat kewangan didapati begitu rancak memasarkan kad kredit mereka, termasuk di pusat beli-belah dengan menawarkan pelbagai tawaran untuk memancing pengguna menjadi pelanggan kad kredit mereka.

Ada antara syarikat kewangan ini yang menggunakan khidmat ejen pemasaran yang diberikan komisyen tertentu apabila berjaya menarik pelanggan baru.

Malah ada ejen yang merayu pengguna supaya menjadi pelanggan jika mereka belum mendapat pelanggan pada hari itu. Malah mereka mencadangkan pelanggan membatalkan semula kad kredit yang dimohon jika mereka tidak mahu menggunakannya.

Ada juga syarikat kewangan menghantarkan cek berjumlah tertentu kepada pelanggan, yang kemudian boleh ditunaikan ke dalam akaun mereka untuk digunakan. Pelanggan boleh membayar balik dalam tempoh tertentu tanpa dikenakan faedah.

Taktik yang digunakan syarikat kewangan ini secara jelas untuk menarik pengguna agar terus berhutang dengan bayaran balik minimum rendah, iaitu lima peratus sebulan.

Malah syarikat kewangan yang terbesar di negara ini, menawarkan bayaran balik serendah RM25 sebulan. Syarikat kewangan ini juga menawarkan pakej memiliki tiga kad kredit sekali gus iaitu MasterCard, Visa dan American Express, kepada pelanggan baru mereka.

Tidak hairanlah apabila syarikat kewangan ini begitu ghairah mendapatkan pelanggan baru tanpa memberikan perhatian terhadap status kewangan pelanggan baru. Akibatnya, ramai di kalangan mereka terperangkap dalam kancah hutang sehingga akhirnya diisytiharkan muflis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas membuat kenyataan seramai 153,676 diisytihar muflis sehingga Februari 2007 kerana gagal menjelaskan hutang kad kredit.

Tunggakan pinjaman kad kredit sehingga Disember 2006 pula berjumlah hampir RM20 bilion. Demikian juga kenyataan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit mengenai 3,596 pemegang kad kredit yang dikenakan tindakan muflis sepanjang 2006.

Walaupun jumlah hutang tertunggak pemegang kad kredit ini dianggap tidak membimbangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, iaitu kurang daripada lima peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman negara sebanyak RM500 bilion, bagi Fomca, jumlah mereka yang muflis disebabkan kad kredit amat membimbangkan.

Jika tindakan promosi agresif kad kredit oleh syarikat kewangan tidak dihentikan, jumlah pemegang kad kredit muflis mungkin terus meningkat dan sudah tentu sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

Fomca berharap arahan kerajaan ini akan dipatuhi syarikat kewangan dan dipantau dengan teliti oleh Bank Negara.

Berita Harian, Surat & Emel
5 April 2007

Tiada ulasan: