Selasa, April 10, 2007

Naik harga rokok RM10 -- FOMCA, Persatuan Pengguna Islam desak kerajaan kenakan cukai lebih tinggi

Oleh: NORILA DAUD

KUALA LUMPUR 7 April – Dua buah persatuan pengguna hari ini mendesak kerajaan mengenakan cukai jualan yang lebih tinggi supaya sekotak rokok 20 batang yang dijual di negara ini berharga sekurang-kurangnya RM10.

Mereka percaya tindakan menaikkan cukai jualan tersebut mampu menghalang syarikat-syarikat rokok multinasional daripada menurunkan harga rokok sesuka hati.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, harga rokok yang tinggi berupaya mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, cukai jualan rokok yang rendah menyebabkan syarikat-syarikat rokok masih mampu menampung kenaikan cukai tersebut.

‘‘Untuk menambah jualan, mereka sanggup pula menurunkan harga rokok.

“Kami percaya syarikat-syarikat itu boleh dihalang daripada berbuat demikian jika kerajaan menaikkan cukai jualan rokok setinggi mungkin supaya sekotak rokok berisi 20 batang dijual pada harga RM10,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia.

Muhammad Sha’ani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang memberi amaran kepada syarikat-syarikat rokok multinasional supaya menghentikan perang harga rokok sesama mereka dalam tempoh dua minggu.

Soi Lek menegaskan, kerajaan akan campur tangan mengawal harga rokok jika perang harga rokok itu tidak dihentikan. Beliau memberi contoh, ada rokok kini dijual serendah RM3 untuk kotak 20 batang.

Semalam, Soi Lek menemui wakil-wakil syarikat rokok multinasional JT International (JTI), British American Tobacco (BAT) serta Philip Morris di Melaka bagi menyatakan amaran kerajaan itu.

Menurut Muhammad Sha’ani, sekiranya syarikat-syarikat rokok mampu mengurangkan harga rokok, ia bermakna kenaikan cukai pada kadar 50 sen sehingga RM1 sekotak masih boleh ditampung oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Harga rokok, kata beliau, sepatutnya dinaikkan pada kadar yang benar-benar memberi kesan kepada perokok.

“Hanya jika perokok benar-benar terbeban baru mereka terpaksa meninggalkan terus tabiat merokok dan ini kelak akan mengurangkan jumlah orang yang menghisap rokok,” kata Muhammad Sha’ani.

FOMCA berpendapat tindakan syarikat-syarikat rokok menurunkan harga rokok akan menghalang usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara ini dan seterusnya membanteras kes-kes penyakit berkaitan rokok di kalangan rakyat.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin pula menyifatkan tindakan syarikat-syarikat rokok multinasional menurunkan harga rokok sebagai keterlaluan dan mencabar kerajaan.

‘‘Mereka kena patuh kepada polisi kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok dan bukan menurunkan harga rokok bagi menambah jualan,’’ katanya.

Noor Nirwandy menyatakan sokongan terhadap arahan Kementerian Kesihatan agar syarikat-syarikat rokok multinasional menghentikan perang harga rokok dalam tempoh dua minggu.

Katanya, kerajaan juga harus menggariskan peraturan yang lebih jelas kepada syarikat pengeluar rokok agar perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, firma pengimport rokok Bracco Resources Sdn. Bhd. berpendapat, syarikat-syarikat rokok tiada asas kukuh untuk menurunkan harga rokok melainkan untuk memancing pelanggan membeli rokok keluaran mereka.

Pengurus Besar syarikat itu, Buhari Mohamed berkata: ‘‘Tiada asas untuk harga rokok diturunkan kerana kadar cukai sudah ditetapkan melainkan pengeluar membeli harga tembakau pada kadar yang murah atau memperolehnya secara percuma.’’

Pengguna hari ini, kata Buhari, amat berhati-hati dalam berbelanja dan kerana itu sekotak rokok berharga RM7 kurang mendapat sambutan.


Mingguan Malaysia, 8 April 2007

Tiada ulasan: