Majlis Fatwa Kebangsaan dalam persidangannya pada 12 April 2007 telah mengharamkan pelaburan melalui internet. Syabas diucapkan kepada Ahli Majlis Fatwa kerana telah memberikan perhatian serius tentang masalah yang dihadapi oleh para pengguna pada hari ini.
Memang pelaburan melalui internet ini telah berleluasa sejak beberapa tahun yang lalu sehingga ramai yang telah terjebak dengannya. Walaupun ada yang telah mengecapi hasil daripada pelaburan tersebut, namun masih ramai lagi yang hanya “menggigit jari” sahaja kerana tidak mendapat pulangan sebagaimana yang diharapkan.
Para pengguna perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka tidak seharus mudah terpedaya dengan pelbagai taktik dan teknik pelbagai pihak yang ingin menarik mereka untuk melabur dalam sesuatu pelaburan yang tidak pasti kedudukannya.
Sebelum melabur, periksa terlebih dahulu melalui Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia. Tindakan Suruhanjaya Sekuriti menyenaraihitamkan syarikat pelaburan melalui internet tanpa lesen dan menutup laman web tersebut amat dialu-alukan agar laman web tersebut tidak lagi dapat menarik pelabur yang lain.
Para pengguna tidak wajar mengambil sikap “mencuba nasib” dalam hal ini. Dan jangan salahkan nasib yang tidak baik sekiranya telah terjerat. Mereka sendiri yang perlu disalahkan kerana gagal membuat pertimbangan yang waras.
Sebenarnya sikap berwaspada ini tidak hanya tertumpu kepada pelaburan internet sahaja. Dalam hal-hal yang lain juga mereka perlu berhati-hati seperti membeli melalui internet, jualan langsung, gores dan menang, melanggan perkhidmatan melalui telefon bimbit dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan