Jumaat, April 20, 2007

WAJIBKAN KERETA TERPAKAI DIPERIKSA PUSPAKOM SEBELUM DIJUAL

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Datuk Salamat Wahit, bahawa Puspakom berjaya mengesan 1,200 kereta potong dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan purata  20 buah dikesan setiap hari amat membimbangkan pemilik kereta terpakai persendirian.


Puspakom dapat mengesan kereta potong ini apabila kereta berkenaan membuat pemeriksaan di Puspakom untuk tujuan pembiayaan oleh syarikat kewangan. Bagaimana pula dengan kereta yang tidak perlu melalui proses pemeriksaan seperti kereta yang dibeli secara tunai, dibiayai melalui syarikat kredit atau kereta lelong.


Pada masa ini hampir semua syarikat kewangan telah mewajibkan semua syarikat kereta terpakai melakukan pemeriksaan di Puspakom terlebih dahulu sebelum mereka meluluskan pembiayaan pinjaman. Oleh sebab itu Puspakom berjaya mengesan kereta potong ini dan ini menyelamatkan pengguna daripada masalah besar yang akan mereka hadapi kelak.


Apa yang mengusarkan ialah kedudukan kereta terpakai sebelum syarikat kewangan mewajibkan pemeriksaan tersebut. Mungkin terdapat banyak kereta potong yang sedang menjalar di jalan raya tanpa disedari oleh pemilik kereta tersebut. Hanya apabila berlaku sesuatu seperti kemalangan atau pemeriksaan secara terperinci di bengkel, barulah mereka mengetahui tentang kedudukan sebenar kereta tersebut. Apabila pemeriksaan dilakukan di Puspakom, kereta ini disahkan sebagai kereta potong dan JPJ  akan membatalkan pendaftaran kereta tersebut atau lebih dikenali sebagai kereta lupus.


Apabila ini berlaku, pemilik kereta tersebut tidak lagi boleh menggunakan kereta tersebut. Yang lebih teruk lagi, mereka masih perlu membayar kepada syarikat kewangan sekiranya masih terdapat baki bayaran kereta yang belum dijelaskan.


Kementerian Pengangkutan perlu mengambil langkah proaktif dalam hal ini. Mereka perlu mewujudkan peraturan agar semua kereta terpakai mesti melakukan pemeriksaan di Puspakom sebelum dijual kepada pengguna sama ada ia dibuat melalui pembiayaan syarikat kewangan, syarikat kredit, pembelian secara tunai dan kereta lelong. Peraturan ini pastinya akan menyelamatkan pengguna daripada terbelenggu dengan masalah kereta potong ini.


Kerajaan juga perlu melakukan pemantauan di bengkel-bengkel kereta dan kedai menjual alat ganti terpakai agar mereka ini tidak melakukan aktiviti memasang kereta potong.


Puspakom juga tidak boleh mengambil mudah dengan peranan mereka sebagai satu-satunya syarikat konsesi yang menjalankan pemeriksaan kenderaan. Mereka perlu memastikan bahawa peralatan yang digunakan adalah yang terkini dan tidak terdapat sebarang kecuaian tenaga kerja.


Dalam pada itu, bakal pembeli kereta terpakai perlu meminta syarikat kereta terpakai menunjukkan menjadikan amalan meminta sijil pengesahan pemeriksaan Puspakom terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.


Selain itu, para pemilik kereta terpakai juga perlu mengambil kesempatan daripada tawaran Puspakom untuk membuat pemeriksaan percuma kepada kenderaan persendirian  pada 17 April sehingga 30 April ini sempena dengan Kempen Keselamatan Jalanraya Sejagat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Dengan melakukan pemeriksaan tersebut, mereka akan mempunyai keyakinan sepenuhnya bahawa kereta yang sedang mereka pandu itu bukannya kereta potong.



1 ulasan:

MANSTIR berkata...

Bagaimana pula dgn kes pihak puspakom melepaskan kereta potong yang telah diperiksa? rasuah di mana2? boleh huraikan..