Khamis, April 05, 2007

HENTI SEGERA PROMOSI KAD KREDIT

ARAHAN kerajaan agar syarikat-syarikat kewangan menghentikan promosi kad kredit secara agresif amat wajar sekali. Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) mengalu-alukan langkah kerajaan ini kerana syarikat-syarikat kewangan didapati begitu rancak memasarkan kad kredit mereka, termasuk di pusat-pusat membeli-belah dengan menawarkan pelbagai tawaran untuk memancing pengguna menjadi pelanggan kad kredit mereka.

Sehinggakan ada di antara syarikat kewangan ini yang menggunakan khidmat ejen-ejen pemasaran yang diberikan komisen tertentu apabila berjaya menarik pelanggan yang baru.

Selebihnya, ada juga ejen-ejen ini yang merayu pengguna supaya menjadi pelanggan kerana belum lagi dapat pelanggan pada hari tersebut.

Malah mereka mencadangkan agar pelanggan tersebut membatalkan semula kad kredit tersebut jika mereka tidak mahu menggunakannya. Senario sebegini banyak dilaporkan oleh pengguna-pengguna khususnya di Lembah Klang.

Terdapat juga beberapa syarikat kewangan yang menghantarkan cek dengan jumlah tertentu kepada pelanggan mereka, yang kemudiannya boleh ditunaikan ke dalam akaun mereka untuk digunakan. Pelanggan boleh membayar balik dalam tempoh tertentu tanpa dikenakan sebarang faedah.

Inilah antara cara yang digunakan oleh mereka untuk menarik pelanggan baru untuk menggunakan kad kredit dan pelanggan lama bagi terus memakai ‘wang plastik’ berkenaan.

Taktik yang digunakan oleh syarikat-syarikat kewangan ini secara jelas untuk menarik pengguna agar terus berhutang dengan mereka dengan bayaran balik minimum yang rendah, iaitu lima peratus sebulan.

Malah syarikat kewangan yang terbesar di negara ini, telah menawarkan bayaran balik serendah RM25 sebulan. Syarikat kewangan ini juga menawarkan pakej memiliki tiga kad kredit sekali gus iaitu MasterCard, Visa dan American Express, kepada pelanggan baru mereka.

Tidak hairanlah apabila syarikat-syarikat kewangan ini begitu ghairah mendapatkan pelanggan baru, mereka tidak memberikan perhatian terhadap status kewangan bakal pelanggan baru ini. Akibatnya, ramai di kalangan mereka yang telah terperangkap di kancah hutang sehingga akhirnya diisytiharkan muflis. Kita merasakan ini antara punca ramai pemegang kad jatuh bankrap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas baru-baru ini telah membuat kenyataan bahawa seramai 153,676 orang diisytihar muflis sehingga bulan Februari 2007 kerana gagal menjelaskan hutang kad kredit.

Manakala tunggakan pinjaman melalui kad kredit sehingga Disember 2006 pula berjumlah hampir RM20 bilion. Demikian juga kenyataan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit tentang sejumlah 13,596 pemegang kad kredit yang dikenakan tindakan muflis sepanjang tahun 2006.

Walaupun jumlah hutang tertunggak pemegang kad kredit ini dianggap sebagai tidak membimbangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, iaitu kurang daripada lima peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman negara sebanyak RM500 bilion, namun bagi FOMCA, jumlah mereka yang muflis disebabkan oleh kad kredit amat membimbangkan.

Jika tindakan promosi agresif kad kredit oleh syarikat kewangan tidak dihentikan segera, jumlah pemegang kad kredit yang muflis kian meningkat dan sudah tentu ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

FOMCA berharap arahan kerajaan ini akan dipatuhi oleh syarikat-syarikat kewangan dan dipantau dengan teliti oleh Bank Negara.


Utusan Malaysia, Pendapat
5 April 2005

Tiada ulasan: