05 Januari, 2010 10:47 AM
Oleh Melati Mohd Ariff
Rencana kepenggunaan ini adalah bahagian kedua daripada dua bahagian
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Masyarakat pengguna Malaysia perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi lebih banyak cabaran mendatang pada tahun baru, 2010. Demikian ditegaskan Mohd Yusof Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Beliau, yang menyifatkan 2010 sebagai tahun yang mencabar, menyandarkan kenyataan itu kepada beberapa faktor termasuk sama ada krisis kewangan global dapat dipulihkan dan harga minyak dunia yang masih tidak stabil.
Masyarakat pengguna Malaysia juga akan terus berdepan dengan cabaran berikutan keputusan kerajaan menstrukturkan semula pemberian subsidi bagi beberapa barangan, katanya.
Antaranya bahan bakar (minyak) yang dijangka dilaksanakan pada Mei depan di mana ketika itu nanti, hanya mereka yang berkelayakan sahaja akan dapat membeli bahan api pada harga subsidi dengan menggunakan mykad.
Sehubungan itu, masyarakat Malaysia disaran terus mengamalkan kebijaksanaan dalam berdepan dengan pelbagai isu kepenggunaan termasuk dua pengumuman yang dibuat kerajaan baru-baru ini.
Mohd Yusof merujuk kepada langkah kerajaan meletakkan harga minimum sekotak rokok 20 batang kepada RM6.40 dan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram iaitu kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.
TIDAK CAPAI MATLAMAT
Mohd Yusof memberitahu Bernama, Fomca menerima kenaikan harga gula atas dua asas, iaitu peruntukan subsidi yang tinggi untuk gula dan memandangkan matlamat pemberian subsidi tidak menepati sasarannya.
"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM720 juta sebagai subsidi pada 2009 bagi memastikan harga gula kekal pada paras RM1.45 sekilogram. Untuk 2010, kerajaan dijangka membelanjakan RM1.2 bilion untuk subsidi jika harga gula masih dikekalkan pada RM1.45.
"Oleh itu, untuk tahun ini, kerajaan terpaksa menaikkan harga gula sebanyak 20 sen dan mengekalkan peruntukan subsidi sebanyak RM720 juta," jelas Mohd Yusof.
Mekanisme pemberian subsidi turut dipersoalkan memandangkan perlaksanaannya sekarang tidak mencapai matlamat.
Subsidi, kata Mohd Yusof bertujuan membantu golongan sasaran seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi memastikan mereka dapat membeli barang keperluan asas pada harga yang mampu bayar.
Bagaimanapun, tambah beliau, pada masa ini, subsidi berkenaan turut dinikmati orang kaya termasuk warga asing yang tinggal di negara ini.
"Oleh itu, Fomca telah mengemukakan pandangan bahawa kerajaan perlu mengurangkan peruntukan subsidi ini secara berperingkat-peringkat sehingga sampai pada satu peringkat nanti, subsidi tersebut terus dihapuskan.
"Bagi membantu golongan sasaran menikmati kemudahan membeli barang keperluan asas pada harga yang berpatutan, perlu diwujudkan mekanisme baru, seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan termasuk mekanisme mykad," kata Mohd Yusof.
Menurut beliau, pada masa ini, mekanisme seumpama itu telah dilaksanakan bagi beras super spesial tempatan (SST) 15 peratus hancur, melalui Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur). Golongan yang berkelayakan diberi baucar untuk membeli beras SST 15 peratus hancur pada harga subsidi.
GULA BERLEBIHAN
Mohd Yusof berkata, harga gula yang rendah turut mendorong rakyat Malaysia menggunakan gula secara berlebih-lebihan hinggakan rakyat Malaysia tergolong antara penghidap diabetes yang tertinggi di Asia.
Menurut statistik, pada 2007 terdapat 800,000 penghidap penyakit diabetes di Malaysia, yang ke-empat tertinggi di Asia dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 1.3 juta pada 2010.
"Oleh yang demikian, bila kerajaan menaikkan harga gula, Fomca berharap rakyat Malaysia akan mengurangkan pengambilan gula. Cuma yang menjadi kebimbangan ialah tindakan peniaga kuih-muih dan restoran yang akan menaikkan harga jualan mereka akibat kenaikan harga gula 20 sen.
"Ini memerlukan tindakan penguatkuasa dan langkah kerajaan untuk mengatasinya. Ianya mungkin sukar sedikit untuk dilaksanakan memandangkan di negara kita belum ada akta anti pengambilan untung berlebihan," jelas Mohd Yusof.
Beliau berpendapat para peniaga sebenarnya boleh mengekalkan kos pembuatan kuih dan minuman mereka dengan mengurangkan penggunaan gula dalam produk yang dihasilkan.
"Memang pada masa ini pun kebanyakan kuih dan minuman yang dijual agak manis. Malah ada pengguna yang meminta minuman kurang gula apabila membuat pesanan di restoran, tetapi harga minuman masih sama.
"Oleh itu kurangkan penggunaan gula dalam kuih dan minuman, dengan ini kos dapat dikurangkan dan harga jualan dapat dikekalkan," katanya.
HARGA MINIMUM ROKOK LANGKAH BAIK
Mengulas tindakan kerajaan menetapkan harga minimum rokok, Mohd Yusof berkata Fomca melihatnya sebagai satu langkah yang baik dan diharap dapat mengekang pembelian rokok oleh golongan pelajar dan remaja.
Beliau memberitahu Bernama dengan penetapan harga minimum itu, syarikat rokok juga tidak boleh menjual rokok pada harga diskaun, di samping mengadakan aktiviti memberi rokok percuma.
Syarikat rokok, jelas beliau, sebelum ini menjalankan taktik pemasaran yang agresif untuk menarik penghisap rokok baru dan mengekalkan sokongan jenama rokok daripada penghisap rokok tegar.
"Mereka menawarkan diskaun dan program yang menawarkan rokok percuma kepada remaja khususnya semasa pesta akhir tahun. Tindakan ini sudah pasti akan membantutkan usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan penghisap rokok di kalangan rakyat Malaysia," katanya.
PERLU HARGA LEBIH TINGGI
Dalam masa yang sama, Mohd Yusof melontarkan soalan sama ada harga minimum rokok tersebut sebagai wajar.
Menurut beliau, ini kerana ada pihak yang berpendapat ianya masih rendah dan meminta harganya dinaikkan kepada RM1 bagi sebatang rokok.
"Ini menjadikan 20 batang rokok berharga RM20 berbanding RM6.40 harga minimum sekarang. Untuk itu, rokok akan menjadi barang mewah, hanya mampu dibeli oleh golongan tertentu sahaja.
"Walau apa pun harga yang ditetapkan, yang penting ia akan menyebabkan golongan pelajar dan remaja tidak mampu membelinya," tegas beliau.
Di samping penetapan harga minimum rokok, Mohd Yusof berkata kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada aspek penguatkuasaan zon larangan merokok.
Ini memandangkan walaupun kerajaan telah menetapkan banyak kawasan zon larangan merokok, tetapi tidak diendahkan oleh penghisap rokok akibat kekurangan penguatkuasaan.
Mohd Yusof menyarankan tindakan penguatkuasaan bersepadu daripada semua pihak perlu dipertingkatkan.
Pegawai penguatkuasa dalam pelbagai agensi juga perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menghisap rokok di kawasan larangan merokok.
KAWAL MAKANAN SEGERA
Dalam masa yang sama, Fomca turut mengalu-alukan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera.
Langkah tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat untuk mengamalkan pemakanan sihat.
Mohd Yusof menyifatkan langkah KKM itu juga rentetan daripada larangan iklan makanan segera semasa program kanak-kanak di televisyen.
"Makanan segera sememangnya menjadi pilihan kepada kanak-kanak khususnya kerana pengaruh iklan yang kuat pada diri mereka.
"Kerajaan juga perlu secara berperingkat membuat peraturan agar restoran makanan segera di negara ini mengurangkan kandungan gula, garam dan lemak dalam makanan mereka.
"Ini penting agar restoran makanan segera menghidangkan makanan yang berkhasiat. Restoran makanan segera perlu mengubahsuai menu makanan mereka agar menghidangkan makanan yang sesuai dengan rakyat Malaysia," jelas Mohd Yusof.
Beliau turut menyarankan supaya pendidikan dan kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui amalan pemakanan sihat perlu diadakan secara berterusan.
Sekolah, katanya perlu memainkan peranan penting dalam usaha tersebut di mana makanan ringan tidak dibenarkan langsung dijual bukan sahaja di kantin sekolah tetapi juga di luar kawasan sekolah.
Dalam hal yang sama, ibu bapa perlu memainkan peranan dan diberi kesedaran agar menitikberatkan amalan pemakanan yang sihat kepada anak-anak untuk membesar secara sihat.
ISU PEMANASAN GLOBAL
Di samping isu-isu yang diperkatakan tadi, masyarakat pengguna Malaysia perlu memberatkan isu pemanasan global yang dilihat akan memberi kesan besar kepada semua penduduk dunia.
Mohd Yusof menjelaskan banyak masalah yang berlaku pada masa ini dikaitkan dengan pemanasan global.
Ini termasuk krisis makanan pada awal tahun 2009 disebabkan musim kemarau di beberapa buah negara pengeluar utama bahan makanan seperti Australia dan Kanada.
"Begitu juga dengan musim tengkujuh memberi kesan kepada pengeluaran bahan makanan. Selain itu, pemanasan global dikaitkan dengan krisis bekalan air di beberapa buah negara.
"Malaysia sendiri bakal berhadapan dengan krisis bekalan air sekiranya langkah-langkah penjimatan tidak dilakukan mulai sekarang," jelasnya.
FOMCA, kata Mohd Yusof akan memberikan penekanan yang utama kepada isu pemanasan global dalam aktivitinya pada tahun 2010.
PORTAL "KONSUMERKINI"
Sebagai satu lagi usaha untuk membolehkan masyarakat mendapat maklumat terkini mengenai pandangan Fomca terhadap satu-satu isu kepenggunaan, organisasi ini tidak lama lagi akan melancarkan portal "Konsumerkini".
Menurut Mohd Yusof, Fomca pada masa ini bergantung kepada media, sama ada akhbar atau media elektronik untuk menyiarkan pandangan FOMCA mengenai sesuatu isu kepenggunaan semasa yang hangat diperkatakan.
Adakalanya pandangan FOMCA diberi berdasarkan kepada susulan yang dibuat oleh media terhadap isu tersebut atau FOMCA membuat siaran media tentang isu tersebut dan diedarkan kepada media untuk disiarkan.
"Seringkali apa yang disiarkan dalam media tidak sepenuhnya sebagaimana yang ingin diberikan penekanan oleh FOMCA kerana berita yang disiarkan terhad.
"Ada juga ketika pandangan dibuat berdasarkan perbualan melalui telefon dan memandangkan ia dibuat secara spontan, seringkali tidak disertakan dengan fakta yang lengkap kerana tidak dapat membuat persediaan awal," jelasnya.
Justeru, kata Mohd Yusof, portal berita KonsumerKini bertujuan untuk menjelaskan pandangan FOMCA mengenai sesuatu isu kepenggunaan secara menyeluruh dan seragam.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan