Selasa, Januari 26, 2010

LAPORAN KHAS: WANITA SANGGUP PERTARUH NYAWA UNTUK CANTIK, GAYA


25 Januari 2010


Oleh Jami’ah Shukri

jamia@bharian.com.my

Keghairahan sedut lemak undang risiko besar

SEBILANGAN pengguna khususnya wanita cepat terpengaruh dengan mempercayai 'cakap-cakap orang' mengenai keajaiban sesuatu rawatan kecantikan seperti menyedut lemak tanpa memikirkan pelbagai risiko yang bakal ditanggung, termasuk kematian demi untuk kelihatan menawan dan bertubuh langsing.

Cakap 'mulut ke mulut' mengenai kehebatan sesuatu pusat rawatan yang boleh mengubah penampilan serta personaliti mereka turut mendorong sesetengah wanita itu mengunjungi pusat rawatan tanpa menyelidik latar belakang, bahan digunakan serta melihat sama ada ia bersesuaian dengan diri.

Selain itu, lambakan iklan sama ada dalam media massa, internet dan blog yang menawarkan rawatan kecantikan serta pembedahan kosmetik dengan menonjolkan hasil kejayaan individu yang sudah menjalani rawatan dan menggunakan frasa memikat, menjadikan mereka terpengaruh serta percaya bulat-bulat sehingga mendorong untuk mencubanya.

Kerana ingin mendapatkan hasil lebih cepat, mereka juga sanggup berbelanja besar membayar kos yang tinggi bagi menyedut lemak menerusi pembedahan kontur tubuh daripada mengambil pil diet, bersenam atau mengurangkan pengambilan sesuatu makanan.

Hasil penyedutan selulit boleh dilakukan menerusi pembedahan sedut lemak (liposculpture) bagi yang tidak begitu begitu banyak, manakala yang mempunyai tahap selulit banyak boleh dilakukan pemotongan lemak (excisional surgery).

'Malang tidak berbau', keghairahan dan kesilapan mereka mengunjungi pusat rawatan kecantikan yang tidak berdaftar dan bertauliah memburukkan lagi keadaan apabila berlaku rawatan berkenaan tidak berkesan, memberikan kesan sampingan, menyebabkan kompilasi lain termasuk kematian.

Beberapa kes kematian dilaporkan sebelum ini gara-gara menyedut lemak. Terbaru membabitkan seorang penjual barang kraf tangan, yang bertekad mahu memberi kejutan kepada suaminya untuk menguruskan badan yang dikatakan naik 10 kilogram kepada 60 kilogram, maut selepas 20 minit menerima suntikan bius bagi pembedahan sedut lemak di sebuah klinik pada 17 Disember lalu.

Selain itu, turut menjadi mangsa, isteri seorang bekas Ahli Parlimen yang koma selama 10 bulan, akhirnya meninggal dunia selepas menjalani pembedahan kosmetik di sebuah klinik swasta di Klang.

Justeru, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak terlalu ghairah untuk kelihatan anggun tetapi mengabaikan aspek keselamatan.

Apa yang penting, katanya, mereka seharusnya mengunjungi hospital atau pusat perubatan berdaftar dan pakar bertauliah untuk mendapatkan rawatan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata orang ramai perlu tahu latar belakang setiap pusat rawatan dan bahan digunakan sama ada ia akan mendatangkan kesan jangka pendek dan panjang.

"Malangnya, ramai wanita yang tidak tahu dan pasti mengenai latar belakang pusat rawatan itu. Ada yang kita dengar sebahagian daripada pusat kecantikan yang bermasalah adalah di kalangan yang tidak berdaftar. Kelemahan dari segi pemantauan terhadap pusat itu menjadikan ia semakin sukar untuk mengesan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, sesiapa saja yang ingin mendapatkan sebarang rawatan kecantikan sepatutnya mengetahui adakah ia bersesuaian dengan dirinya.

"Ada kalanya rawatan itu akan memberikan reaksi dan kesan pada diri. Jika mereka mempunyai sebarang penyakit dan tidak serasi dengan ubat yang diambil akan menyebabkan kompilasi penyakit lain.

"Oleh itu, mereka perlu memilih rawatan di hospital dan klinik berdaftar serta peralatan lengkap," katanya.

Mohd Yusof juga mencadangkan supaya mana-mana klinik dan pusat kesihatan swasta perlu menyediakan peralatan lengkap supaya apabila berlaku masalah ia dapat dirawat segera tanpa perlu merujuk kepada hospital dan doktor pakar lain.

Pengguna juga sepatutnya membuat rujukan dan memahami mengenai rawatan yang dilakukan menerusi pembacaan atau mendapatkan nasihat daripada pakar.

Persatuan Pengguna Standard Malaysia katanya, boleh dijadikan pusat rujukan dan mempunyai maklumat mengenai pembedahan dan rawatan kosmetik, termasuk dari segi prosedur sesuatu rawatan dan tindakan yang boleh diambil pengguna jika menghadapi sebarang perkara tidak diingini.

Beliau juga berharap pusat kecantikan lebih bertanggungjawab dengan mengikut garis panduan dalam menawarkan khidmatnya dan bukannya mengutamakan keuntungan.

Tiada ulasan: