Cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan harga rokok bagi pek 20 batang sehingga RM50.00 memang wajar diberikan pertimbangan.
Langkah ini bagi memastikan golongan seperti pelajar sekolah dan remaja tidak mampu membelinya dan diharapkan secara beransur-ansur akan menghentikan tabiat merokok jika mereka telah menghisap rokok.
Namun begitu, di pasaran masih dijual rokok dalam pek kurang daripada 20 batang. Harga bagi pek tersebut juga perlu dikaji supaya harganya juga tinggi. Jika ini tidak dilakukan, mungkin ada syarikat rokok yang sengaja mengeluarkan pek di bawah 20 batang yang mungkin tidak termasuk dalam peraturan harga minimum rokok.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu bersikap tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan di kawasan zon larangan merokok, yang pada masa ini berjumlah 22 tempat, antaranya semua kaki lima kompleks beli-belah, restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan, pekarangan bangunan kerajaan, dalam pejabat, hospital, hotel, sekolah, pusat beli-belah dan stesen bas dan sebagainya.
Tindakan penguatkuasaan perlu disepadukan oleh semua pihak penguatkuasa yang ada, seperti polis, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Pengguna juga perlu bersikap tegas terhadap penghisap rokok yang tidak mematuhi zon larangan merokok dengan menegur mereka. Lebih banyak papan tanda diletakkan di kawasan zon larangan merokok.
Sumber berita: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan