Khamis, Januari 14, 2010

WARGA ASING BELI RUMAH RM500,000





Oleh Shahrizan Salian dan Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Januari lalu, kerajaan menetapkan warga asing hanya boleh membeli unit kediaman berharga RM500,000 ke atas, berbanding had minimum RM250,000 sebelum ini.

Unit Perancang Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam berkata, keputusan untuk menaikkan nilai had minimum itu adalah sebahagian inisiatif bagi menggalakkan pertumbuhan sektor hartanah terutama membabitkan kediaman bertaraf tinggi dan eksklusif.

Selain itu, ia juga dijangka dapat melonjakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) di dalam pasaran hartanah serta menggalakkan lebih ramai pelabur asing yang berkualiti.

“Langkah ini juga bertujuan untuk memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan memiliki hartanah berharga di bawah RM500,000,” katanya.

Menurut UPE, perolehan unit kediaman ini adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri dan tidak memerlukan kelulusan daripadanya.

Pada 30 Jun tahun lalu, UPE memperkenalkan Garis Panduan Perolehan Hartanah untuk menggantikan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang dibatalkan selaras dengan keputusan untuk memansuhkan FIC.

Satu perkara yang terkandung di dalam garis panduan itu (Jun 2009) ialah penetapan harga minimum RM250,000 oleh warga asing ke atas.

Mengulas kenaikan had minimum pemilikan asing kepada RM500,000 itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Ng Seing Liong, berkata walaupun matlamatnya adalah untuk menggalakkan kemasukan lebih ramai pelabur asing berkualiti, jumlah hartanah berharga sedemikian terutama di luar Lembah Klang tidak banyak.

Katanya, buat masa ini, langkah itu dilihat tidak membantu kemasukan lebih banyak FDI ke negeri lain selain Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jika melihat kepada harga hartanah semasa, jumlah hartanah yang berharga RM500,000 ke atas tidak banyak ditawarkan di pasaran.

“Malah, ia juga tidak membantu pemilikan asing di kawasan pinggir Lembah Klang seperti Klang dan Kajang yang tidak banyak menawarkan rumah berharga RM500,000 dan ke atas,” katanya.

Justeru, beliau berkata, nilai had minimum perolehan unit kediaman oleh warga asing sebanyak RM250,000 dilihat lebih sesuai dalam persekitaran hartanah semasa.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, menyifatkan langkah itu sebagai amat wajar bagi memastikan peluang rakyat tempatan memiliki kediaman tidak terjejas.

Beliau berkata, ini berikutan dalam pasaran semasa, harga rumah teres dua tingkat sudah mencecah RM200,000 hingga RM250,000 seunit, terutama di bandar raya seperti Shah Alam, menyebabkan pembeli tempatan terpaksa bersaing dengan pelabur asing yang rata-rata mampu menanggungnya.

“Fomca percaya penetapan nilai had minimum perolehan kepada RM500,000 seunit itu tidak akan membantutkan hasrat warga asing untuk memiliki kediaman di Malaysia, sama ada bagi tujuan pelaburan mahu pun sebagai rumah kedua, sebaliknya ia akan memacu industri perumahan kos mewah negara,” katanya.

Berita Harian, 14/1/2010

Tiada ulasan: