21 Januari 2010
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
Perkhidmatan disediakan mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum dengan bayaran kos perubatan serendah RM1
KLINIK 1Malaysia yang beroperasi sejak 7 Januari lalu adalah permulaan baik dan memberangsangkan kepada seluruh rakyat khususnya berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan kesihatan asas dengan bayaran kos perubatan serendah RM1, sekali gus menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Ternyata selepas dua minggu pelancarannya, semua 44 Klinik 1Malaysia yang diwujudkan di seluruh negara di kawasan berkepadatan penduduk lebih 10,000 orang di sekitar bandar memberikan impak yang sungguh berkesan dan berjaya menarik perhatian rakyat pelbagai kaum mengunjungi premis disediakan.
Walaupun tumpuan pemeriksaan kesihatan biasa seperti memeriksa tekanan darah, dan kandungan gula, ia dianggap sebagai alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan mengesan penyakit awal dihadapi mereka.
Apa yang penting, Klinik 1Malaysia ini menjadi saluran rakyat mendapatkan khidmat perubatan lebih murah, mudah dan cepat. Ini diakui oleh seorang pesakit keracunan makanan, Shamirah Abdullah, 23, yang menyatakan Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi memberi manfaat kepada rakyat terutama berpendapatan rendah kerana caj perkhidmatan murah.
"Saya berpuas hati dengan layanan baik dan pantas. Saya pasti datang lagi ke sini jika memerlukan rawatan. Usaha ini menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu rakyat dan boleh dilihat sebagai perubahan dalam pentadbiran kerajaan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Keprihatinan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk dalam bidang kesihatan dilihat sama penting seperti pendidikan sejajar slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Program klinik komuniti yang terangkum dalam Bajet 2010 dengan peruntukan RM10 juta itu mampu menjadi jambatan memastikan kesihatan rakyat sentiasa cergas, sihat dan terpelihara dari segi mental serta fizikal. Tahap kesihatan penting untuk menjana kualiti masyarakat yang berketrampilan dalam memberi sumbangan ke arah kemantapan pembangunan sosioekonomi negara.
Apa diharapkan klinik berkenaan yang kini hanya dikendalikan pembantu perubatan atau jururawat untuk kes penyakit berbentuk kecemasan itu dapat ditambah baik dari segi perkhidmatannya pada masa depan seperti menyediakan doktor tetap supaya pemeriksaan lebih rapi dapat dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca),
Katanya, bersesuaian dengan sasaran kumpulan untuk golongan berpendapatan rendah maka sewajarnya ia perlu disediakan di kawasan penempatan seperti perumahan kos rendah atau rumah pangsa.
"Tidak semua orang mampu membayar kos perubatan tinggi. Untuk penyakit yang ringan seperti demam ringan tetap dikenakan bayaran sekiranya mereka ke klinik swasta. Tetapi dengan ada Klinik 1Malaysia ini, pesakit boleh mendapatkan rawatan sementara yang sesuai dengan masalah kesihatan dihadapi.
"Jika sakit mereka agak serius, pembantu perubatan boleh memberi nasihat supaya merujuk kepada doktor di klinik kerajaan atau swasta bertauliah bagi mendapatkan rawatan lanjutan," katanya sambil menggesa supaya pihak tertentu tidak mempolitikkan isu ini atas kepentingan peribadi.
Sejajar dengan peningkatan mutu perkhidmatan, beliau turut mencadangkan supaya penambahbaikkan perlu dilaksanakan dengan melanjutkan waktu perkhidmatan 24 jam berbanding sekarang dibuka hanya 10 pagi sehingga 10 malam.
Selain itu, kakitangan bertugas yang ada sekarang meliputi penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan pembantu perawatan kesihatan, dipertingkatkan dengan menyediakan seorang doktor sekurang-kurangnya dengan memberi perkhidmatan rawatan perubatan seminggu sekali kepada pesakit.
"Kesihatan memainkan peranan penting untuk kesejahteraan rakyat. Sekarang kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet sederhana untuk menyediakan klinik," katanya.
Hakikatnya, kesungguhan kerajaan untuk memberi kesihatan baik kepada rakyat dilihat begitu menyeluruh. Jika di kawasan luar bandar, sudah ada Klinik Desa maka kesinambungan itu diperluaskan untuk masyarakat bandar dengan Klinik 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan