Selasa, Januari 26, 2010

SEGERAKAN AKTA PERSAINGAN & PERATURAN ANTI PENCATUTAN

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa Akta Persaingan akan diwartakan pada tahun 2010 amat dinanti-nantikan.

Pergerakan pengguna di Malaysia telah mendesak supaya akta ini diwujudkan semenjak sekian lama bagi membolehkan pengguna menikmati persaingan sihat antara industri makanan dan penyedia perkhidmatan.

Akta seumpama ini telah lama wujud di beberapa buah negara, khususnya negara maju bertujuan agar tidak wujud amalan monopoli dalam kalangan industri sehingga boleh memberikan kesan kepada pengguna, terutamanya berkaitan bekalan dan penetapan harga.

Pada masa ini terdapat beberapa industri komoditi seolah-olah wujud amalan monopoli, seperti beras, gandum, gula dan sebagainya. Akibat daripada amalan ini, pengguna sering berharap dengan masalah bekalan apabila industri ini ingin mewujudkan tekanan kepada kerajaan agar menaikkan harga komoditi tersebut yang disenaraikan sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Begitu juga industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barang mereka sekiranya barangan tersebut bukannya barang kawalan.

Ini menimbulkan kegusaran kepada pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu apabila Akta Persaingan ini diwujudkan, amalan monopoli ini dapat dibanteras. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang baik.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Kawalan Harga 1946 bagi memasukkan peruntukan tentang anti mengaut keuntungan berlebihan (atau juga dikenali sebagai anti pencatutan). Peruntukan undang-undang ini juga telah lama diminta agar diwujudkan. Pengguna sering kali berhadapan dengan kenaikan harga barangan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga, seperti harga bahan api, komoditi keperluan asas dan sebagainya. Begitu juga apabila berlaku kenaikan tarif seperti tarif elektrik, air dan seumpamanya.

Setiap kali harga atau tarif ini dinaikkan, wujud reaksi jaringan bagi barangan lain yang menggunakan bahan yang dinaikkan harga atau tarif tersebut. Peruntukan undang-undang yang ada pada masa ini bergantung kepada Akta Kawalan Harga, iaitu peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi barang jualan. Sekiranya tanda harga telah diletakkan, terserah kepada pengguna sama ada untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut.

Tetapi apabila peraturan anti pencatutan ini dilaksanakan, jika berlaku kenaikan harga secara sewenang-wenangnya, maka tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah kerajaan menggubal dan mewartakan segera Akta Persaingan dan peraturan anti pencatutan bagi mengatasi masalah yang bakal berlaku apabila kerajaan menarik secara beransur-ansur subsidi bagi beberapa barang seperti gula, minyak masak dan bahan api.


Tiada ulasan: