Jumaat, Januari 22, 2010

KENAKAN DENDA YANG TINGGI TERHADAP PEMANDU BAS YANG CUAI

Cadangan kerajaan untuk mengenakan denda sehingga RM500,000 kepada pengusaha dan pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan maut adalah dialu-alukan. Cadangan ini akan dimasukkan dalam penggubal Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, ia akan memberikan memberikan peringatan yang tegas kepada pengusaha dan pemandu pengangkutan awam ini agar bersikap lebih berhati-hati.

Pada masa ini, denda yang dikenakan kepada pengusaha dan pemandu yang bersikap cuai seperti ini hanya RM300, sebagaimana yang termaktub dalam Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan.

Semenjak kebelakangan ini, kerap berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres yang sehingga meragut nyawa. Yang terbaharu ialah kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian 10 orang apabila bas ekspres dua tingkat telah terbabas dan melanggar pembahagian jalan, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan pada 26 Disember yang lalu.

Memang menjadi kelaziman apabila berlakunya sesuatu kemalangan ngeri, barulah kerajaan mulai bertindak untuk mengambil tindakan terhadap pengusaha dan pemandu bas yang tidak bertanggungjawab. Namun begitu, ia tidak berkekalan lama. Apabila peristiwa kemalangan ini berlalu beberapa ketika, ia dilupakan begitu sahaja.

Pengusaha dan pemandu bas ekspres perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. Mereka tidak sewajarnya bersikap sambil lewa sehingga mengabaikan keselamatan para penumpang. Pemandu bas ekspres mempunyai tanggungjawab yang sama seperti juruterbang yang membawa kapal terbang penumpang. Nyawa para penumpang kapal terbang terletak di bawah tanggungjawab mereka. Sekiranya berlaku sebarang kesilapan, terutamanya sekali disebabkan oleh kecuaian, nyawa para penumpang akan melayang.

Dalam masa yang sama, usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) amat wajar sekali. Pada masa ini terdapat 13 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pengangkutan awam. Akibat daripada wujudnya pelbagai agensi yang bertanggungjawab menyebabkan masalah berkaitan pengangkutan awam berpanjangan, seolah-olah tiada penyelesaian. Apabila SPAD ditubuhkan, semua fungsi tersebut dikendalikan secara setempat, termasuk menyerapkan peranan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan ke dalam SPAD.

Penubuhan SPAD pada 1 Jun 2010 telah dinyatakan dalam pembentangan Bajet 2010 oleh YAB Perdana Menteri, pada 23 Oktober 2009.


Tiada ulasan: