MUKADIMAH
AWAL bulan ini, harga diesel naik lagi - kenaikan kedua dalam tempoh lima bulan. Pada 1 Oktober tahun lalu, ia naik daripada 78.1 sen seliter kepada 83.1 sen seliter. Mulai 1 Mac lalu, ia naik kepada 88.1 sen seliter.
Ketika mengumumkan harga baru diesel itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal memberi amaran bahawa kenaikan 5 sen itu tidak harus dijadikan alasan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya. ``Kenaikan diesel ini kecil saja,'' katanya dalam sidang akhbar itu.
Tetapi beberapa hari kemudian Mohd. Shafie dipetik sebagai berkata, kenaikan harga barang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ketika negara terus memacu perubahan menjadi negara maju dan kos sara hidup yang meningkat. Beliau merujuk kepada prestasi ekonomi negara yang berkembang pada kadar 7.1 peratus tahun lalu yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, baru-baru ini.
Mohd. Shafie turut meminta para pengguna supaya bersiap sedia dan menerima kemungkinan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa persatuan pengusaha teksi, bas bandar dan bas ekspres memohon kenaikan tambang sehingga 80 peratus tetapi ditolak oleh kerajaan.
Ketika diminta mengulas kenyataan menteri itu dan perkembangan berkaitan, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, N. Marimuthu bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Mohd. Shafie.
``Kita tidak dapat lari daripada hakikat itu. Keadaan dari hari ke hari jadi semakin sukar,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI yang menemui beliau di pejabatnya, pagi semalam.
Dalam suasana itu, Marimuthu menyeru para pengguna supaya merancang perbelanjaan, meningkatkan disiplin diri ketika berbelanja dan bijak menguruskan kewangan keluarga.
``Jimat di mana boleh berjimat,'' katanya, sambil mengingatkan para pengguna supaya menukar gaya hidup yang cenderung kepada pembaziran. ``Saya tidak akan jemu-jemu mengingatkan tentang hal ini.''
MINGGUAN: Apakah pandangan saudara tentang kenyataan Datuk Shafie Apdal itu?
MARIMUTHU: Apa yang beliau katakan itu betul. Kita tidak boleh lari daripada hakikat kenaikan harga. Alasannya mudah - nilai import makanan kita sudah meningkat.
Cuba kita renung data-data yang dikumpulkan oleh Jabatan Statistik. Jumlah import makanan negara pada tahun 2003 ialah sebanyak RM12.7 bilion. Daripada jumlah itu, import ikan berjumlah RM1.3 bilion, daging RM438.8 juta dan sayur-sayuran RM883.2 juta. Kita mengimport makanan dari serata dunia.
Ini bukan data yang saya sengaja reka-reka tetapi ini data yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Jangan tanya saya kenapa kita mengimport makanan termasuk ikan walaupun negara kita dikelilingi oleh laut. Ada sesuatu yang tidak kena dengan para nelayan kita.
Adakah kenaikan harga barangan memang berlaku sekarang atau akan berlaku?
MARIMUTHU: Ia sedang berlaku. FOMCA menghimpunkan data harga beberapa barangan di lima negeri - Melaka, Pahang, Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur. Antara Julai tahun lalu sehingga Februari tahun ini, kenaikan harga barangan memang berlaku.
Harga sekilogram kangkung di Kuala Lumpur antara Julai hingga September tahun lalu ialah RM2.20 tetapi antara Januari hingga Februari lalu RM2.50. Di Pahang, dalam tempoh yang sama harganya naik daripada RM2.50 kepada RM3. Daging lembu import sekilogram di Kuala Lumpur dulu RM6.50 tetapi sudah naik RM7.80.
Apa yang saya hendak beritahu ialah kenaikan itu memang berlaku. Apa yang disebut oleh menteri itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Memang kita harus bersedia menghadapi kenaikan harga.
Tetapi orang ramai tentu ada yang tertanya-tanya kenapa harga barangan dan perkhidmatan boleh naik tetapi pendapatan mereka tetap begitu juga, gaji tidak naik-naik?
MARIMUTHU: Apakah ada jaminan bahawa kalau gaji naik maka harga barangan tidak naik, kos sara hidup akan jadi lebih rendah? Hakikatnya kedua-dua perkara itu akan naik seiring.
Kalau begitu, apakah yang boleh dilakukan oleh pengguna?
MARIMUTHU: Tidak ada cara lain; kita harus menukar gaya hidup. Salah satu daripadanya ialah dengan mengurangkan makan di luar, masak di rumah dan bawa bekal ke tempat kerja atau sekolah.
Cuba kita buat sedikit kira-kira. Dalam sehari, kalau makan di luar - sarapan, makan tengah hari dan makan malam - seorang membelanjakan purata lebih kurang RM10 atau RM11. Cuba kira kalau seminggu atau sebulan sudah berapa?
Itu baru seorang dan belum lagi belanja untuk pengangkutan ulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan sebagainya.
Saya sudah cakap mengenai hal ini banyak kali. Saudara datang interviu saya enam bulan lalu pun saya bangkitkan hal yang sama.
Dalam enam bulan itu, apakah saudara melihat ada perubahan trend di kalangan pengguna? Adakah orang ramai faham dan ikut nasihat saudara?
MARIMUTHU: Ada, bukan tidak ada. Ada di kalangan mereka yang saya jumpa mengatakan: ``Setakat mana yang kami boleh ikut, kami akan ikut. Kami cubalah untuk masak di rumah dan bawa bekal.''
Tetapi kebanyakan mereka adalah orang di luar bandar. Orang bandar ini semuanya sudah pandai-pandai dan tidak payahlah dinasihatkan.
Hendak berbelanja, boleh, tidak ada siapa yang halang tetapi mesti tengok juga kemampuan sendiri. Harga barang sudah naik dan dijangka akan naik. Buat apa kita membazir duit tidak tentu hala. Kita beli apa yang perlu saja, dan elakkan daripada membeli dengan hutang.
Apa yang penting dalam hidup ini ialah bersederhana. Tidak mengapa kalau kita belajar untuk jadi sedikit kedekut. Apa hendak dimalukan kalau kita sedikit kedekut? Kita jangan ikut berbelanja macam orang lain. Kita mesti selalu ukur baju di badan sendiri.
Bagaimanakah seharusnya orang berbelanja?
MARIMUTHU: Utamakan apa yang harus diutamakan. Semua orang harus duduk dan memikirkan apakah keutamaan dalam hidup mereka. Dahulukan keperluan sebelum memenuhi kehendak. Kita mesti tahu yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak.
Bagaimana saudara melihat trend orang berbelanja?
MARIMUTHU: Sekarang ini kebanyakan orang berbelanja dengan kad kredit. Saya boleh jamin hal itu kepada saudara. Negara ini mempunyai sekurang-kurangnya 2.5 juta pemegang kad kredit dengan jumlah hutang lebih kurang RM10 bilion.
Orang berbelanja dengan kad kredit atau senang cakap, dengan berhutang. Setiap bulan mereka membayar bayaran minimum, bukannya semua jumlah hutang. Mereka hanya bayar bunga bukan pokoknya. Selepas bertahun-tahun pun jumlah pokok itu tidak habis-habis dibayar.
Bolehkah kita menikmati hidup yang berkualiti dengan mengurangkan belanja?
MARIMUTHU: Memang susah tetapi kita boleh mencuba. Ia bukan sesuatu yang sukar dilakukan. Apa yang penting kita merancang perbelanjaan untuk semua keperluan.
Orang akan tempelak saya dan kata saya mengarut, ``Oh, dia ini tidak ada cerita lain balik-balik merancang belanjawan, merancang belanjawan.'' Orang tentu kata saya hanya mengulang-ulang perkara yang lama tetapi itulah realitinya.
Bagaimanakah saudara melihat corak perbelanjaan kita?
MARIMUTHU: Purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 1973 ialah RM412. Itu lebih kurang 30 tahun yang lalu. Jumlah itu sekarang sudah jauh meningkat. Pada tahun 1991, puratanya ialah RM1,161 dan naik lagi kepada RM1,631 pada tahun 1999.
Perubahan jumlah perbelanjaan itu menunjukkan bahawa harga barang sudah meningkat.
Jumlah perbelanjaan di bandar pula adalah satu setengah kali lebih tinggi daripada di luar bandar.
Apakah yang mendorong corak perbelanjaan itu?
MARIMUTHU: Ada beberapa faktor kenapa corak perbelanjaan jadi begitu. Kemunculan golongan kelas menengah memberikan dimensi baru kepada misalnya, cara mereka membeli makanan. Mereka lebih selesa berbelanja di pasar raya yang harga barangannya lebih tinggi kerana kos-kos sampingan termasuk penyimpanan, pembungkusan dan pemasaran.
Keduanya, ia dipengaruhi oleh trend penggunaan orang ramai. Orang lebih cenderung memilih makanan yang sudah diproses atau membeli dari pasar. Hendak cili pun sekarang terpaksa beli, kalau dulu orang tanam di belakang rumah.
Ketiganya, kerana pengaruh iklan. Kita sekarang ini diasak oleh iklan dan promosi yang menggalakkan kita supaya berbelanja. Mana ada iklan yang menyuruh kita berjimat. Semua iklan matlamatnya hendak menjual barang. Apabila membeli barang pula kita selalu dipengaruhi dengan jenama. Akhirnya kita membeli jenama, bukannya barang.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan. Mereka mengambil kesempatan daripada sikap tamak pengguna membeli barang. Orang terpengaruh kepada iklan, mahu mementingkan imej dan sebagainya. Ini budaya pengguna yang tidak sihat.
Budaya inilah yang perlu kita tukar.
Harga barang naik tetapi orang akan membeli juga. Bagaimana pengguna boleh berhadapan dengan kenaikan harga ini?
MARIMUTHU: Saya sudah sebut tadi tentang merancang perbelanjaan. Salah satu perkara yang termasuk dalam merancang perbelanjaan ialah dengan membuat perbandingan sebelum membeli barang. Kalau ada kedai yang menjual lebih murah kenapa kita harus beli di tempat yang lebih mahal? Ini sesuatu yang logik yang harus dilakukan.
Keduanya, apabila membeli barang kita harus membuat senarai barangan yang hendak dibeli, dan jangan membeli selain daripada apa yang sudah kita putuskan hendak beli. Ini tentunya memerlukan disiplin yang kuat. Pengguna harus mengelak daripada membeli sesuatu barang hanya kerana ia terlintas di dalam kepala. Fikir dulu semasak-masaknya.
Tentang kenaikan harga. Pengguna boleh membantah kenaikan harga tetapi pada akhirnya mereka tidak mempunyai suara yang kuat. Pihak peniaga boleh untuk tidak menaikkan harga tetapi mereka ada banyak cara untuk mengurangkan kandungan barang, misalnya. Apa yang boleh pengguna lakukan?
MARIMUTHU: Memang pada akhirnya pengguna akan mengalah. Kerajaan tidak boleh selama-lamanya mengawal harga apatah lagi dalam keadaan perubahan ekonomi semasa.
Apabila ada kenaikan harga para pengguna akan bising-bising membantah tetapi pada akhirnya mereka terpaksa akur. Ini realiti. Saya berikan satu contoh. Harga surat khabar naik tetapi orang tetap beli juga. Harga barang makanan naik tetapi kita terpaksa makan juga.
Sudah tentu kita akan bertolak ansur. Apa yang penting ialah untuk kerajaan membetulkan beberapa perkara demi kepentingan ekonomi pengguna. Pengguna tidak boleh selama-lamanya dibiarkan untuk bertolak ansur.
Sebagai contoh, orang membeli kereta kerana sistem pengangkutan awam kita tidak cekap. Akibatnya mereka terpaksa mengikat perut, tidak mendapatkan makanan yang terbaik hanya kerana mahu memiliki kereta.
Isu harga barang dan ekonomi pengguna ini kepada saya adalah satu masalah yang berangkai-rangkai. Kita perlu melihatnya dengan menyeluruh.
Dalam masalah kenaikan harga barangan atau perkhidmatan, mahu tidak mahu, suka tidak suka, pengguna akan terpaksa mengalah. Cuma apa yang boleh mereka lakukan ialah menukar cara hidup. Itulah perlindungan terbaik yang ada. Kita harus lebih realistik.
Apakah perlu para pengguna mengalah?
MARIMUTHU: Mahu tidak mahu, itulah yang terpaksa dilakukan. Tetapi ada tiga perkara yang jangan sama sekali kita bertolak ansur.
Pertama, makanan yang baik dan seimbang. Tanpa itu kita mudah jatuh sakit, dan kalau sudah sakit kita perlu dapatkan rawatan. Kita fikir kita berjimat memilih makanan tetapi akhirnya terpaksa keluarkan duit lebih banyak kerana masalah kesihatan.
Kedua, jangan tolak ansur dengan pendidikan anak-anak dan ketiga, sebelahkan sedikit duit untuk simpanan. Ini paling mustahak.
Kita harus realistik. Ada perkara yang boleh kita kurangkan tetapi ada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur.
Kenapa pengguna terpaksa mengalah?
MARIMUTHU: Import makanan kita yang tinggi. Mahu tidak mahu, kita harus mencari jalan untuk mengurangkan jumlah import makanan itu.
Kita sudah ada Dasar Pertanian Negara yang mempunyai objektif meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan jumlah import. Tetapi pada masa yang sama di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerajaan tidak lagi boleh memberi subsidi kepada para petani.
Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah memberikan insentif untuk melahirkan para petani yang boleh melaksanakan hasrat kerajaan itu. Kerajaan boleh memberikan insentif kepada para pekebun kecil melalui potongan cukai serta pinjaman tanpa faedah atau pada kadar satu peratus. Kita tidak boleh memberikan subsidi kerana itu tidak dibenarkan tetapi kita boleh lakukan cara-cara ini.
Selain itu, kerajaan perlu memperkenalkan satu dasar baru untuk memaksimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar yang ada di serata negara. Kita perlu menyelamatkan tanah-tanah ini demi kepentingan nasional.
Kita harus menggalakkan para petani yang memiliki tanah-tanah pada saiz yang kecil supaya bergabung dan bekerjasama untuk menggemblengkan sumber mereka. Thailand yang mempunyai syarat ketat tentang tanah pertanian adalah contoh terbaik yang boleh kita ikuti.
Kementerian Pertanian juga perlu mengukuhkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Ia perlu benar-benar memainkan peranannya sebagai agensi pemasaran untuk memastikan setiap hasil pertanian dapat sampai ke serata negara.
Saya mempunyai keyakinan bahawa kita boleh mengurangkan bil import makanan. Negara ini subur dan makmur. Kita ada hujan yang mencukupi, tanah yang mencukupi dan teknologi yang terkini. Kita juga ada pasaran yang luas kalau tidak masakan jumlah bil import kita tinggi.
Tidak ada sebab kenapa kita boleh gagal. Saya harap hal-hal ini dilakukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang sedang digubal sekarang. Inilah antara cara jangka panjang untuk kita mengawal harga barang.
Cara-cara lain?
MARIMUTHU: Kerajaan perlu melihat semula dengan serius dasar-dasarnya tentang beberapa perkara. Kita tidak boleh selama-lamanya membandingkan harga barangan atau perkhidmatan yang ada dengan keadaan di negara-negara lain, dan mengatakan bahawa keadaan di negara ini masih rendah dan terkawal.
Kita tidak boleh membuat perbandingan yang terasing begitu lagi. Kalau mahu membuat perbandingan kita harus melihatnya secara keseluruhan. Memang harga sesuatu barangan di negara-negara lain itu tinggi tetapi lihat juga perkara-perkara lain yang diberikan oleh kerajaan kepada pengguna - pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya.
Bagaimana saudara melihat tuntutan kenaikan harga oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini? Adakah ia sesuatu yang masuk akal?
MARIMUTHU: Ada yang tidak masuk akal. Syarikat pengendali pengangkutan awam membuat tuntutan kenaikan harga tambang sehingga 80 peratus. Alasan yang diberikan ialah kenaikan harga minyak. Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Harga minyak naik sedikit tetapi kenaikan yang diminta begitu tinggi.
Itu juga punca FOMCA mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya harga. Kenapa?
MARIMUTHU: Sekarang ini tuntutan kenaikan harga itu cuma ditentukan oleh menteri yang berkenaan. Para pengguna tidak ada ruang untuk menyatakan pandangan. Maksud saya, dalam menentukan cadangan kenaikan harga itu pandangan pengguna boleh saja tidak didengar.
Kalau kita ada suruhanjaya harga sesiapa yang mahu menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka boleh mengemukakan cadangan atau permohonan yang kemudiannya akan dirujuk kepada pengguna. Mekanisme untuk merujuk itu ada.
Jadi kedua-dua belah pihak boleh mengemukakan pandangan masing-masing sebelum keputusan boleh dibuat. Keputusan itu pula hanya boleh dibuat oleh suruhanjaya.
Suruhanjaya itu baru di peringkat cadangan. Dalam keadaan sekarang ini apakah yang boleh pengguna lakukan?
MARIMUTHU: Tukar cara hidup. Saya tidak nampak cara lain. Kalau bukan dengan menukar gaya hidup, bagaimana?