Rabu, Jun 27, 2007

FOMCA TAHU `PERMAINAN' KOTOR PENJUAL

GIMIK dalam penawaran jualan murah sebenarnya bukan isu baru, malah sudah lama diperkatakan sama ada membabitkan penipuan harga atau dengan sengaja mengelirukan pengguna dengan kaedah pemasaran yang pelbagai.

Malah, Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), sudah lama menyedari ‘taktik kotor’ digunakan peniaga untuk mengambil kesempatan sempena karnival jualan mega dengan menawarkan pelbagai tawaran pengurangan harga yang ada di antaranya hanya gimik semata-mata.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya sering melabelkan jualan murah (cheap sale) sebagai jualan tipu (cheat sale) kerana sering berlaku penipuan harga dalam penawaran potongan harga yang peniaga tawarkan.

Beliau mengklasifikasikan penipuan harga itu berlaku dalam pelbagai kaedah dan antara taktik paling popular ialah dengan menaikkan harga sesuatu barang sebelum memberi tawaran potongan harga beberapa peratus tanpa disedari pelanggan.

“Contohnya, barang dijual dengan harga RM40 sebelum ini dinaikkan harga menjadi RM80 ketika musim jualan murah. Peniaga meletakkan tanda potongan harga sebanyak 50 peratus dan selepas diskaun, ia menjadi RM40, sama seperti harga sebelum jualan murah.

“Pelanggan yang kurang peka beranggapan mereka beruntung kerana membeli barang mahal separuh harga. Ia secara langsung menjadi kejayaan terhadap taktik peniaga terbabit,” katanya.

Beliau turut memberi contoh, ketika musim jualan mega, sehelai baju dijual pada harga RM29.90, kononnya selepas diberi 70 peratus diskaun. Namun, jika diteliti kualitinya, ia memang layak dijual dengan harga itu kerana pakaian dengan kualiti sama turut dijual pada harga RM29.90 sebelum musim jualan mega.

Namun, kebanyakan pelanggan tidak menyedari perkara itu dan sering menjadi rambang mata apabila dipengaruhi dengan pelbagai poster potongan harga yang dipamerkan di pusat beli-belah dan menerusi risalah yang diedarkan ke rumah mereka.

Mohd Yusof berkata, Fomca bukan membuat dakwaan melulu kerana pemantauan sudah dijalankan sebelum ini dan kenyataan berlakunya penipuan harga adalah sesuatu yang berasas dengan bukti pengaduan.

Selain itu, Fomca memahami kekurangan pegawai penguat kuasa di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjadi penyebab peniaga berani mengambil kesempatan kerana pemantauan serta penguatkuasaan yang dijalankan agak terhad.

“Masalah lain ialah pengguna yang menyedari berlaku penipuan dalam pemberian diskaun pula tidak berupaya membuat laporan kerana tidak mempunyai bukti harga terdahulu. Maklumlah, rakyat di negara ini bukan mempunyai masa untuk membuat perbandingan harga sebelum dan ketika jualan murah.

“KPDNHEP pula akan membuat pemeriksaan selepas menerima aduan dan inilah yang membuka peluang kepada peniaga menipu dalam menawarkan potongan harga. Pelanggan akan terus tertipu setiap kali ada karnival jualan mega seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan dijalankan pelbagai pihak banyak menumpukan kepada barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan manakala barangan lain terutama pakaian kurang mendapat pemantauan sewajarnya.

Pengguna pula sering terpedaya dengan perang poster dan susun atur di kedai yang kelihatan ekslusif tetapi hakikatnya menjual pakaian yang tidak berkualiti, pada harga tinggi seperti pakaian berjenama yang lain.

Selain penipuan dalam penawaran harga dan kualiti barangan, Fomca mendakwa ada juga kes penipuan berlaku dengan mengurangkan kuantiti barangan terutama membabitkan produk makanan seperti buah-buahan dan sayuran.

Mengenai produk berjenama yang dikatakan dikawal harganya oleh pengeluar asal, Mohd Yusof berkata, bukan semua barangan berjenama diimport kerana ada yang dibuat di kilang dalam negara tetapi sekadar membeli jenama dari syarikat asal. Keadaan itu membolehkan peniaga menentukan sendiri kualiti barangan yang hendak dijual supaya dapat meletakkan harga murah.

Penipuan lebih ketara apabila ia membabitkan jenama yang kurang terkenal. Ia tidak dikawal dan peniaga boleh memanipulasikan harga dengan meletakkan poster diskaun sehingga 70 peratus dengan sebesar-sebesarnya untuk memancing pelanggan ke kedai mereka.

“Hakikatnya, barangan yang benar-benar diberi diskaun sangat kecil dan dengan kejayaan menarik pelanggan mengunjungi kedai mereka, peniaga mampu memperoleh keuntungan lebih besar hasil jualan barangan lain. Ini kerana, biasanya pelanggan akan turut membeli barang lain ketika membeli belah. Nafsu membeli rakyat Malaysia memang tinggi.

“Memandangkan penguatkuasaan agak terhad, penggunalah yang mempunyai kuasa untuk menghalang senario ini daripada berterusan. Jika mereka berasa was-was dengan harga yang ditawarkan, buatlah aduan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Fomca sebelum ini sering menasihati pengguna supaya tidak membeli belah pada ketika musim jualan murah atau musim perayaan kerana pada ketika itu, pelanggan akan lebih terdedah kepada penipuan harga.

“Jika karnival jualan mega adalah pesta membeli belah kepada pelanggan, mereka juga perlu ingat bahawa ia juga pesta kepada peniaga memanipulasikan harga dan menipu pelanggan,” katanya.

Berita Harian, 25 Jun 2007

Tiada ulasan: