Rabu, Jun 27, 2007

GEDUNG SERTAI KARNIVAL MEGA DIBERI AMARAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga termasuk gedung beli belah yang dikesan menipu pelanggan melalui Karnival Jualan Mega 2007.

Timbalan Menterinya, Datuk S Veerasingam, berkata setakat ini kementerian sudah menyita barangan bernilai RM1,700 dalam dua kes pelanggaran syarat jualan murah melalui karnival itu yang bermula 16 Jun lalu hingga 2 September ini.

Setakat ini 230 premis menyertai jualan murah itu yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

“Saya harap mereka tidak pandang ringan amaran ini kerana kita sudah ambil tindakan membabitkan 122 kes dengan penyitaan barangan bernilai RM538,000 manakala 57 kes dikenakan kompaun bernilai RM28,000 antara 1 Januari dan 17 Jun lalu.

“Kita tidak paksa mana-mana peniaga menyertai Karnival Jualan Mega tetapi jika mereka menghantar notis kepada KPDNHEP untuk menyertainya, mereka jangan tipu pelanggan.

“Kita akan perhebat pemantauan dan jika dikesan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas pendedahan Laporan Khas akhbar ini semalam mengenai helah segelintir pasar raya dan peniaga menipu pelanggan melalui karnival itu.

Tinjauan Berita Harian ke beberapa premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota seperti kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, selain premis perniagaan kecil-kecilan mendapati banyak premis menawarkan harga tidak munasabah sebelum memberi diskaun berdasarkan kualiti barangan terbabit.

Kementerian Pelancongan mensasarkan kira-kira RM3 bilion dibelanjakan pelancong di pusat beli-belah sepanjang Karnival Jualan Mega kali ini.

Veerasingam berkata, pihak yang menyertai jualan murah mesti menjual barangan dimaklumkan dalam notis kepada KPDNHEP lebih rendah daripada harga enam bulan dari tarikh jualan dibuat dan jika gagal boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat atau dikenakan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

“Jika harga asal sesuatu barangan itu RM20 tetapi mereka naikkan harga RM40 pada Karnival Jualan Mega dan kononnya memberi diskaun 50 peratus, maka tindakan ini memberi satu tafsiran salah atau menipu pengguna,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, kementeriannya dengan kerjasama KPDNHEP akan menyiasat laporan Berita Harian kerana tidak mahu matlamat asal jualan murah tersasar, selain menjejaskan imej negara ini.

Berita Harian, 26 Jun 2007

Tiada ulasan: