Kementerian nasihat pastikan premis jualan murah pamer notis khas
KARNIVAL jualan mega tiba lagi dan sudah pasti pasar raya serta premis perniagaan seluruh negara mula mempamerkan pelbagai poster penawaran potongan harga untuk menarik pembeli ke premis mereka.
Jengoklah di mana saja, perang poster sudah bermula dan pembeli pula akan berpusu-pusu mengunjungi premis perniagaan tanpa mengira hari bekerja atau hujung minggu. Begitu juga dengan pelancong asing.
Semua kerana tarikan jualan murah yang dianggap sebagai musim terbaik bagi pembeli membeli-belah dan mendapatkan barang dengan harga murah serta menikmati potongan harga yang tinggi. Malah, ada yang menawarkan sehingga 80 peratus diskaun. Siapa tidak teruja!
Namun, sejauh mana kebenaran dan kejujuran sebahagian peniaga dalam menawarkan potongan harga itu kerana umum mengetahui tidak ada satu jenis perniagaan pun di dunia ini yang sanggup mengalami kerugian dalam perniagaan mereka.
Bagaimana peniaga memperoleh keuntungan jika barang dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada harga sebelumnya? Berbaloikah peniaga menurunkan harga jika berisiko untuk mengalami kerugian?
Justeru, tidak mustahil dan ada kebenarannya jika ada pihak mendakwa wujud penipuan oleh segelintir peniaga dalam menawarkan potongan harga, terutama ketika musim jualan murah.
Malah, penipuan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara, sama ada dengan menaikkan harga barang sebelum memberi diskaun atau menawarkan diskaun tinggi untuk barang yang kurang berkualiti, sedangkan harga selepas diskaun adalah harga yang sesuai dengan kualiti barangan itu.
Menyelongkar isu ini, Berita Harian meninjau beberapa premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota seperti kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, selain premis perniagaan kecil-kecilan, bagi membuat perbandingan.
Sepanjang pemerhatian itu, didapati ada kebenarannya terhadap semua dakwaan itu kerana ada banyak premis menawarkan harga tidak munasabah sebelum memberi diskaun berdasarkan kualiti barangan terbabit.
Contohnya, ada sebahagian produk yang kelihatan ‘memang layak’ dengan harga selepas diskaun kerana kualitinya adalah pada kelas harga itu. Malah, jika diamati harga yang ditawarkan selepas diskaun lebih kurang sama dengan harga sebelum kempen jualan murah.
Itu baru masalah potongan harga dan kualiti produk, belum lagi pelbagai kesalahan dilakukan peniaga ketika mengadakan jualan murah.
Antaranya, peniaga perlu mempamerkan kelulusan notis jualan murah pada pintu atau cermin depan kedai mereka seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Namun, sepanjang tinjauan, beberapa premis tidak mematuhi arahan itu. Keraguan mula timbul, sama ada promosi jualan murah itu mendapat kelulusan kementerian atau tidak.
Selain itu, KPDNHEP juga melarang iklan atau gimik melampau seperti menggunakan ayat ‘diskaun sehingga 70 peratus’ kerana boleh mengelirukan pengguna. Namun, pergilah ke ceruk mana sekalipun, itulah ayat paling popular, malah digunakan oleh hampir semua peniaga.
Justeru, jika peraturan berbentuk tersurat dan dapat dilihat secara langsung tidak dipatuhi, bagaimana pula peraturan penetapan harga yang hanya boleh dikesan dengan menyemak rekod jualan terdahulu. Pasti lebih sukar dan merumitkan.
Sehubungan itu, tidak mustahil dakwaan Fomca bahawa wujud elemen penipuan dalam menawarkan potongan harga dan sewajarnya pembeli lebih berhati-hati dan menggunakan kuasa mereka untuk melaporkan keraguan mengenai promosi yang ditawarkan.
Namun, KPDNHEP berkata, bukan semua peniaga tidak jujur, malah banyak syarikat, terutama pasar raya besar menjaga kebajikan serta kepentingan pelanggannya seperti menawarkan kad keahlian dan ia membuktikan keprihatinan mereka memenangi hati pelanggan.
Pakar pemasaran Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Zolkafli Husin ketika diminta mengulas isu ini berkata, pelbagai strategi boleh digunakan peniaga untuk memperoleh keuntungan walaupun menawarkan potongan harga yang tinggi ketika mengadakan kempen jualan murah.
Malah, keuntungan itu boleh menjadi berlipat kali ganda berbanding sebelum musim jualan murah.
Beliau berkata, mustahil syarikat tidak memikirkan keuntungan dalam perniagaan mereka. Malah, strategi mengadakan jualan murah sebenarnya untuk membolehkan peniaga memperoleh lebih banyak keuntungan.
“Jualan murah adalah pendekatan syarikat untuk mewujudkan komunikasi pemasaran bertujuan menggalakkan bakal pembeli yang pada asalnya tidak berminat, membeli barang mereka. Selain itu, ia bertujuan menggalakkan pembeli mencuba produk baru yang kurang dikenali.
“Peniaga akan memberi diskaun tinggi bagi menggalakkan pembeli membeli barang terbabit dan selepas mencubanya, kemungkinan pembeli akan berminat dengan produk itu atau sekurang-kurangnya mencadangkan produk terbabit kepada rakan mereka,” katanya.
Berita Harian, 25 Jun 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan