Rabu, Jun 27, 2007

KPDNHEP SEDAR TAKTIK PENIAGA BERI POTONGAN HARGA TIPU PELANGGAN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui memang wujud penipuan dilakukan segelintir peniaga dalam menawarkan potongan harga, terutama ketika musim jualan murah seperti karnival jualan mega yang berlangsung ketika ini.

Malah, senario ini diyakini boleh berlaku kerana peniaga mampu mengambil kesempatan berikutan kekurangan pemeriksaan dan penguatkuasaan dijalankan kementerian, lantaran masalah pegawai penguat kuasa yang terhad.

Ketua Pengarah Penguatkuasa, Mohd Roslan Mahayudin, berkata gimik tawaran harga yang digunakan peniaga sukar dibendung kerana pemantauan menyeluruh tidak dapat dijalankan melainkan pelanggan sendiri memberi kerjasama dengan melaporkan setiap penipuan yang disedari mereka.

Beliau mengakui taktik menaikkan harga sebelum menawarkan diskaun adalah penipuan yang kerap berlaku setiap kali kempen jualan murah tetapi perkara itu jarang diketahui kerana peniaga bijak mengaburi mata pelanggan.

“Namun, jika pelanggan menyedari wujud penipuan dalam penawaran potongan harga sama ada membabitkan harga tawaran, kualiti atau kuantiti, pelanggan boleh membuat aduan kepada kami dan itu adalah cara terbaik memerangi penipuan daripada berterusan.

“Melalui aduan pelanggan, kementerian akan memeriksa premis terbabit dan akan menyemak rekod harga sebelum dan ketika jualan murah. Jika didapati wujud penipuan, tindakan akan diambil,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Roslan berkata, pelanggan tidak wajar membuat perbandingan membabitkan kedai yang berlainan kerana penawaran harga di setiap kedai mungkin tidak sama, terutama yang bukan membabitkan barang kawalan.

Beliau juga mendakwa penipuan harga itu kebiasaannya berlaku terhadap barang tidak berjenama kerana tidak membabitkan kawalan harga oleh pengeluar asal, manakala barang berjenama biasanya hanya menawarkan diskaun sedikit.

Sehubungan itu, KPDNHEP menasihatkan pelanggan supaya berhati-hati dengan gimik ketika kempen jualan murah kerana pemalsuan harga dan pelanggaran peraturan mungkin berlaku.

“Contohnya, peniaga tidak dibenarkan meletakkan iklan seperti ‘Potongan sehingga 70 peratus’ kerana iklan seperti itu boleh mengelirukan pengguna, sedangkan barang yang ditawarkan diskaun sebanyak itu satu atau dua produk saja,” katanya.

Menjelaskan kaedah digunakan KPDNHEP dalam mengeluarkan kebenaran mengadakan jualan murah, beliau berkata, peniaga perlu mengemukakan notis tidak kurang 30 hari daripada tarikh jualan murah dimulakan.

Katanya, sebelum ini memang ada peraturan mewajibkan peniaga menyertakan senarai barang yang diberi potongan harga berserta jenama dan jenis produk tetapi selepas pindaan dilakukan, peniaga tidak perlu lagi berbuat demikian kerana KPDNHEP berpendapat kaedah itu tidak praktikal.

“Bayangkan sebelum ini peniaga, terutama pasar raya besar datang ke pejabat KPDNHEP dengan satu troli senarai barang semata-mata untuk mengemukakan notis. Pegawai kami pula terpaksa memperuntukkan banyak masa menyemak setiap senarai barang mereka. Itu baru satu kedai, sedangkan notis diterima sangat banyak. Malah, setakat Jun tahun ini saja, kami sudah memproses 5,666 permohonan,” katanya.

Selain mengemukakan notis, peniaga juga dikehendaki menyimpan rekod harga barang yang akan diberi diskaun untuk tempoh enam bulan dan tempoh sesuatu barang dijual pada harga hendak diberi diskaun ialah sekurang-kurangnya 28 hari sebelum kempen jualan murah.

Peniaga juga tidak dibenarkan mengadakan jualan murah sesuka hati dan pada bila-bila masa kerana kerajaan hanya memperuntukkan tiga musim khas untuk peniaga mengadakan jualan murah. Namun, peniaga diberi dua pilihan tarikh lain sebagai tambahan kepada tiga musim ditetapkan kerajaan.

“Pelaksanaan musim jualan murah ini adalah untuk memudahkan kerajaan mengawal peniaga daripada mengadakan kempen sesuka hati dan mengambil peluang menipu pelanggan mereka.

“Namun, pelanggan jangan pula menggunakan musim jualan murah itu untuk bersuka ria dan berbelanja secara boros kerana mereka perlu ingat pada ketika itu juga berlaku penipuan harga oleh peniaga yang suka mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengenal pasti, sama ada sesuatu premis jualan murah mendapat kebenaran KPDNHEP dengan memeriksa di pintu masuk atau cermin depan kedai terbabit, dan jika didapati tidak mempunyai notis disahkan KPDNHEP, pengguna boleh membuat laporan. Peniaga diwajibkan mempamerkan notis itu depan kedai mereka.

Berbalik kepada isu penipuan harga, beliau berkata, KPDNHEP yakin penipuan jarang berlaku di pasar raya besar seperti Jaya Jusco, Metro Jaya dan seumpamanya kerana premis itu mempunyai etika serta polisi yang dilaksanakan dalam menjalankan perniagaan mereka.

Namun, beliau menasihati pelanggan supaya menggunakan hak mereka dengan bijak dan berbelanja secara berhemah supaya penipuan sebegini dapat dibendung dan gimik jualan murah dapat ditangkis dengan berkesan.

“Orang ramai perlu memahami taktik digunakan ketika jualan murah ada ketikanya tidak melanggar peraturan tetapi dengan mudah mempengaruhi pelanggan untuk memenuhi premis mereka dan dalam masa sama membeli pelbagai barangan lain. Soal utama yang perlu diberi perhatian, berbelanjalah secara berhemah,” katanya.

Berita Harian, 25 Jun 2007

Tiada ulasan: