Rabu, Jun 27, 2007

HARAMKAN KHIDMAT CTOS

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jun – Persatuan-persatuan pengguna mahu kerajaan bertindak tegas ke atas Credit Tip Off Services Sdn. Bhd. (CTOS) termasuk mengharamkan perkhidmatan tersebut bagi mengelak pengguna daripada terus teraniaya.

Selain tindakan ke atas syarikat tersebut kerana memperdagangkan maklumat peribadi, mereka juga mahu kerajaan bertindak ke atas bank-bank yang terus menjadikan CTOS sebagai rujukan utama mereka.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menegaskan, perdagangan maklumat peribadi itu perlu diharamkan bagi melindungi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian gabungan itu, hampir satu juta pengguna telah dinafikan pinjaman kredit kerana perkhidmatan itu.

‘‘Sistem yang dipakai juga tidak adil kerana ia menyimpan terlalu lama maklumat dan tidak dikemas kini.

“Sepatutnya selepas enam tahun nama sudah boleh dinyahsenaraikan, tetapi CTOS tidak. Selama-lamanya rekod kita akan menjadi tatapan pihak lain,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak yang mendakwa disenarai hitam dalam sistem CTOS setelah menghadapi masalah kewangan seperti gagal menjelaskan bayaran ansuran atau melunaskan pinjaman.

Malah, agensi itu juga gagal untuk mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam walaupun mereka telah melangsaikan tunggakan pinjaman selain memaparkan maklumat kewangan remeh yang menjejaskan kewibawaan kredit seseorang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas semalam menjelaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf CTOS untuk menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi perbankan atau pihak lain bagi tujuan rujukan.

Katanya, kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada CTOS untuk bertindak sebagai badan carian apatah lagi menyimpan maklumat peribadi orang ramai.

Marimuthu berkata, segala penganiayaan itu tidak akan berlaku jika negara mempunyai Akta Maklumat Peribadi bagi melindungi pengguna dan mengelakkan mereka daripada teraniaya.

“Kita sudah banyak kali mengadu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi bank pusat itu buat tidak tahu sahaja,’’ katanya.

Mengenai tindakan bank-bank yang terus menggunakan CTOS sebagai rujukan, beliau mengajak pengguna memboikot bank-bank berkenaan.

Beliau menambah, FOMCA juga menyokong dan menggalakkan pengguna yang teraniaya menyaman syarikat terbabit.

Sementara itu, Koordinator Persatuan Pengguna Islam, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Kementerian Kewangan dan BNM perlu bertindak kerana bank-bank kini menjadikan status CTOS sebagai pra syarat pinjaman.

“Ini silap. Sistem itu tidak diiktiraf kerajaan tetapi menjadi rujukan,’’ katanya.

Beliau menambah, tindakan segera perlu diambil kerana perkhidmatan CTOS itu juga telah digunakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengugut pengguna.

“Sebagai contoh, pengguna yang berhutang membeli perabot atau barangan elektrik tetapi tertunggak bayaran diugut nama mereka akan dimasukkan ke dalam CTOS jika tidak melangsaikan tunggakan hutang dengan segera,’’ katanya.

Katanya, hal itu berlaku kerana tiada kawalan dan pemantauan dalam soal penyenaraian maklumat ke dalam sistem CTOS.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia, M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu menstrukturkan semula kedudukan CTOS dengan meletakkannya di bawah kawalan BNM.

Dengan itu, katanya, kawalan dapat dilakukan khususnya bagi memastikan nama dan maklumat individu tidak sewenang-wenangnya dimasukkan ke dalam senarai itu.


Utusan Malaysia
27 Jun 2007

Tiada ulasan: