PENGANJUR skim gores dan menang kini kembali aktif dan menggunakan taktik baru untuk menjerat pengguna. Mereka menjaja nama organisasi tertentu untuk mempengaruhi mangsa bahawa kegiatan mereka itu disokong oleh pihak berkenaan.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC), pusat aduan bagi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada pengguna mengenai kewujudan syarikat menganjurkan skim gores dan menang yang didakwa ada kaitan dengan Fomca.
Mangsa diminta menggores pada kad yang diberikan, yang menawarkan hadiah tertentu, kononnya disumbangkan oleh Fomca. Antara hadiah yang ditawarkan ialah kereta Perodua Myvi. Namun, untuk membolehkan mangsa mendapat hadiah berkenaan, beliau perlu membayar wang pendaftaran kenderaan dan insurans serta bayaran lain berjumlah kira-kira RM5,000.
Ada mangsa diperdaya sindiket ini dan menjelaskan wang yang dituntutnya. Salah satu kes seumpama berlaku di Jasin, Melaka apabila syarikat yang berpejabat di Tangkak, Johor mendakwa mewakili Fomca menawarkan hadiah tertentu melalui taktik gores dan menang.
Sepasang suami isteri mempercayai dakwaan itu dan membuat bayaran. Apabila mereka ingin menuntut hadiah yang ditawarkan di pejabat syarikat berkenaan, didapati pejabat syarikat itu ditutup. Fomca membuat laporan polis berhubung perkara ini.
Sementara itu, Ibnu Hassan dari Kepala Batas, Pulau Pinang menerusi e-mel ke ruangan ini kelmarin turut mengakui pernah dua kali didatangi pegawai pemasaran skim berkenaan.
Syarikat induk mereka beroperasi di Pulau Pinang dan di bawahnya ada beberapa proksi pemasaran di seluruh negara. Mereka sebenarnya syarikat jualan langsung yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah dan memperdaya orang ramai.
‘Promoter’ terbabit kononnya meminta pendapat orang ramai mengenai pembinaan pasar raya di kawasan perumahan tertentu. Antara soalan yang diajukan ialah berapa banyak kita belanja untuk membeli barangan dapur untuk tempoh sebulan, bayaran menggunakan kad kredit atau wang tunai dan lain-lain lagi.
Tujuannya ialah untuk mengetahui latar belakang kewangan mangsa berkenaan. Jika mangsa tidak berkemampuan, mereka akan mengeluarkan kad terima kasih untuknya.
Jika mangsa mereka nampak berkemampuan, ‘promoter’ itu akan mengeluarkan enam kad untuk dipilih dan menawarkan hadiah (sebenarnya semua kad mempunyai hadiah) seperti kereta, motosikal, wang tunai dan sebagainya.
Apabila mangsa mendapat kad yang mempunyai hadiah, ‘promoter’ berkenaan akan berlakon seolah-olah terlalu gembira dan menelefon ketuanya. Kemudian mereka akan mengeluarkan keratan akhbar menunjukkan ‘mangsa’ lain yang pernah memenangi kereta sebelum ini.
Untuk menggores kad itu, mangsa perlu menandatangani perjanjian. Mangsa juga perlu membeli barangan daripada mereka bernilai RM3,397 (selepas diskaun daripada harga sebenar yang bernilai lebih RM6,000) terdiri daripada set kelengkapan audio untuk rumah, mesin urut dan penapis air yang jenamanya boleh dikatakan ‘cap ayam’.
Hadiah lain termasuk tilam jed (jade mattress) dan dapur berjenama Nano yang harganya terlalu murah jika dibandingkan dengan harga diletakkan di dalam kad berkenaan.
Contohnya, tilam jed harganya lebih RM4,000 ditawarkan pada harga RM1,600. Yang menariknya cabutan itu diadakan setiap bulan dan selepas habis tarikh akhir, cabutan diteruskan dengan tarikh akhir baru.
Memang majoriti yang menggores semuanya hanya mendapat tilam jed atau dapur berjenama Nano. Untuk melihat aduan yang dibuat oleh semua mangsa, pembaca boleh melayari laman web http://welleywatch.heritage-tech.net/ atau www.consumer.com.my.
Dalam pada itu, Fomca ingin mengingatkan pengguna agar berhati-hati sekiranya dihubungi oleh mana-mana pihak yang mendakwa mewakili Fomca atau ahli gabungannya. Fomca dan ahli gabungannya tidak pernah menawarkan hadiah seumpama ini atau melantik pihak lain sebagai ejen mobilisasi dana.
Sekiranya ada yang dihubungi oleh pihak tidak bertanggungjawab ini, sila hubungi pejabat penguat kuasa berhampiran, melalui talian: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000 atau e-mel: nccc@ nccc.org.my.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi
Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca).
Surat & Emel, Berita Harian
23 Jun 2007
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan