Bekalan elektrik terputus lagi
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
KHAMIS lalu selama dua jam 45 minit mulai 12.45 tengah hari nadi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor terhenti. Bekalan elektrik terputus mencetuskan hiruk-pikuk, sistem lalu lintas kacau-bilau. Semua urusan tergendala.
Ini bukan bekalan elektrik terputus yang biasa. Ini luar biasa kerana melibatkan kawasan yang luas dan sudah tentu kerosakannya juga bukan kecil. Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya terpaksa ``berehat'' dua jam 45 minit dan sudah tentu banyak urusan yang tertangguh. Apa sebabnya?
Seperti biasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjelaskan dengan berjela-jela secara teknikalnya bagaimana bekalan itu terputus.
Difahamkan bekalan itu terputus disebabkan kerosakan pada suis di Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Kapar.
Tetapi orang ramai yang menerima kesan daripada bekalan elektrik terputus, keutamaan mereka bukanlah semua jawapan itu. Mereka barangkali sekadar bertanya kenapa TNB tidak belajar daripada beberapa peristiwa lalu supaya kejadian seperti ini tidak berulang.
Walaupun lebih kurang dua jam 45 minit tetapi memberikan kesan yang besar. Buktinya lebih sejuta orang menerima kesan daripada kejadian ini. Dari segi imej, kejadian ini seolah-olah memperlihatkan ada kelemahan pengendalian apabila beberapa negeri turut terlibat. Kita boleh saja menganggap ini sebagai satu takdir dan tidak ada siapa yang boleh menolak takdir.
Difahamkan ekoran kejadian ini TNB tidak berpuas hati dan mempersoalkan kecekapan sebuah syarikat perunding asing yang mendakwa mempunyai sistem sokongan yang ``lasak'' selepas bekalan terputus. Tetapi mengambil masa lebih dua jam untuk pulih tidak memuaskan hati TNB yang membayar kos yang besar kepada syarikat perunding itu.
Kejadian seperti ini tidak boleh didiamkan begitu saja kerana sebagai pembekal tenaga elektrik tunggal, TNB perlu membuat sesuatu yang memperlihatkan mereka serius untuk memastikan ia tidak berulang.
Kejadian tengah hari Khamis lalu mengingatkan pada 3 Ogos 1996 apabila seluruh negara ``bergelap'' 12 jam dan segala urusan terhenti. Ini satu malapetaka kerana tanpa elektrik ibarat tanpa nyawa untuk menggerakkan operasi. Kejadian itu disebabkan kerosakan pada pusat janakuasa di Paka, Terengganu.
Akibat tekanan emosi yang diterima kerana bekalan elektrik terputus itu, banyak kenyataan yang seolah-olah hilang kewarasan terkeluar. Semua ini di luar kawalan apabila 12 jam nadi kehidupan terhenti. Pelanggan panik dan rimas.
Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Dr. Ani Arope menjadi sasaran kritikan selepas ``bergelap 12 jam'' dan aktiviti komersial lumpuh. Ini satu tragedi. Bagi negara maju seperti Malaysia yang bergantung kepada tenaga elektrik, terputus bekalan adalah tragedi yang memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat.
Kesan daripada kelemahan TNB ketika itu tidak mengira darjat; suri rumah, penumpang bas, pengguna lif hinggalah kepada para pekilang yang kerugian berjuta-juta ringgit.
Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain menjadi hiruk-pikuk, sistem lalu lintas tergendala, urusan perniagaan dan operasi di kilang-kilang terhenti. Semua ini sebenarnya tidak wajar berlaku kerana blackout bukan sekadar bergelap tetapi bencana yang mendatangkan kerugian.
Ketika itu ada kalangan pelanggan TNB mengusul mahu menyaman TNB. Mereka mahu menuntut ganti rugi kerana bekalan terputus bukanlah suatu yang boleh dianggap sebagai takdir. Sistem penyokong untuk mengelak bekalan elektrik terputus secara berterusan perlu diwujudkan. Tetapi TNB sangat terbuka.
``Kami tidak dapat mengelak daripada disaman oleh orang ramai,'' demikian reaksi Dr. Ani ketika kemarahan pelanggan menggelegak memikirkan kerugian yang terpaksa ditanggung.
Sebelum diswastakan, pembekal tenaga elektrik negara ini adalah Lembaga Letrik Negara (LLN). Penswastaan adalah satu pendekatan untuk meningkatkan kecekapan selain kemampuan untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat.
Semua pihak menerima konsep penswastaan ke atas LLN dengan harapan yang tidak lain dapat menikmati kecekapan pengurusan dan pengendalian sebuah syarikat korporat sehebat TNB.
Banyak pihak sebenarnya cuba bersimpati kepada TNB dan sedaya mungkin melihat kejadian seperti terputus bekalan yang ``sekali dua'' itu bukanlah kayu ukur yang adil menilai TNB. Kalau dihitung, TNB sendiri banyak menyumbang daripada membawa kerugian akibat bekalan tenaga yang terputus.
Tetapi pada masa yang sama kita juga tidak dapat menolak kejadian tengah hari Khamis lalu mengingatkan kepada beberapa kejadian besar sebelum ini. Misalnya seminggu selepas 3 Ogos 1996, sekali lagi bekalan terputus di seluruh negara selama 16 jam. Ini belum lagi diingatkan kembali bagaimana pada 29 September 1992 negara ini ``bergelap'' kerana kejadian yang serupa.
Sebenarnya kejadian terputus bekalan elektrik boleh menjejaskan pelabur-pelabur asing yang melabur dan mendirikan kilang di negara ini. Mereka selalu percaya bahawa negara ini sangat meyakinkan; politiknya stabil dan keselamatan terjamin. Tetapi kalau berulang kali terpaksa menanggung kerugian akibat terputus bekalan elektrik, ia juga menjejaskan minat pelabur luar untuk ke sini.
Dalam kejadian 3 Ogos 1996 misalnya, kerugian yang dianggarkan ditanggung oleh pengilang-pengilang tidak kurang RM123 juta. Ini baru 12 jam. Mengikut Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), anggaran ini berdasarkan kepada sumbangan RM45 bilion daripada sektor pengilangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 1996 sebanyak RM130 bilion.
Ini kerugian yang ditanggung oleh pengilang. TNB juga menanggung kerugian. Pada kejadian 3 Ogos itu TNB mengalami kerugian RM13.6 juta sementara peralatan yang rosak bernilai RM10 juta. Ini menunjukkan kerugian apabila terputus bekalan tenaga elektrik terpaksa ditanggung oleh kedua-dua pihak; pembekal tenaga dan pelanggan. Tentunya lebih baik kalau kejadian ini sedaya upaya dielakkan supaya tidak ada siapa yang menanggung kerugian.
Biarpun pelanggan TNB kembali waras dan tidak membawa kes terputus bekalan tenaga ini ke mahkamah tetapi TNB juga memperlihatkan sikap bertanggungjawab. Kritikan yang dilontarkan kepada TNB bukanlah faktor yang membuatkan syarikat gergasi ini berkonfrontasi dengan pelanggan. Keterbukaan TNB memikul tanggungjawab dibuktikan dengan membayar rebat sebanyak 10 peratus atau berjumlah RM42 juta kepada 70 juta pelanggannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan