Jumaat, Februari 04, 2005

Kandungan telefon - Wujudkan standard dan CPA Malaysia

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


PERKHIDMATAN menonton televisyen di telefon bimbit bagi pelanggan DiGi merupakan antara kandungan yang diperkenalkan syarikat itu dengan kerjasama pembekal kandungan.


SETIAP hari pasti terpampang di dada akhbar iklan-iklan mengenai muat turun nada dering, screensaver, logo operator, nasihat, berbual dengan artis dan pelbagai tips menggunakan khidmat pesanan ringkas melalui telefon bimbit.

Kebanyakan perkhidmatan-perkhidmatan itu sebenarnya ditawarkan oleh syarikat pembekal kandungan (CP) dalam bidang telekomunikasi dan kini telah terdapat syarikat seumpama itu berjaya disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

Menyedari mengenai kepentingan kandungan dalam industri telekomunikasi bergerak, sebuah operator syarikat telekomunikasi, DiGi Telecomunications telah membuka pintu kepada rangkaian pembekal kandungan untuk memasarkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan mudah alihnya.

Ketua Pengurusan Produk DiGi Telecomunications Sdn. Bhd., Loong Tuck Weng berkata, dengan cara ini CP dan DiGi akan membahagikan keuntungan berdasarkan kepada model perkongsian yang dipersetujui.

``DiGi memperkenalkan sistem `Content Provider Access' atau Akses Pembekal Kandungan (CPA) yang menyediakan kemudahan bagi CP menyalurkan kandungan kepada pelanggan mudah alih DiGi,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, CPA menyediakan mekanisme bil yang sistematik dan membenarkan pembekal kandungan mengecaj pelanggan bagi kandungan yang dibekalkan menggunakan rangkaian GSM DiGi.

Menurutnya, CPA membenarkan pembekal kandungan membina jenama tersendiri menggunakan kod-singkat masing-masing tanpa campur tangan pihak DiGi.

CPA bertindak sama seperti mesin juruwang automatik (ATM) dengan pelanggan boleh menghantar SMS ke pusat SMS menggunakan nombor laluan tertentu ke platform CPA dan terus ke pembekal kandungan melalui Internet atau Internet Protokol (IP).

DiGi kemudiannya menghantar maklumat trafik ke pembekal kandungan.

Selain itu, Digi juga menguruskan sistem bil pelanggan akhir yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Loong berkata, perkongsian keuntungan adalah 70 peratus kepada CP dan 30 peratus kepada DiGi (kos infrastruktur sebanyak RM.07 sen per SMS yang dicaj kepada CP).

Cabaran bagi prasarana kandungan SMS di Malaysia adalah terlalu banyak kod pendek, harga berbeza bagi perkhidmatan yang hampir sama, ketiadaan fokus pada aktiviti promosi, perkongsian eksklusif terpilih dan mahal.

Kelebihan inisiatif CPA adalah memperkenalkan model CPA kepada semua syarikat telekomunikasi Malaysia.

``Digi juga dalam usaha meyakinkan operator telekomunikasi lain mengenai kelebihan serta memperkenalkan model CPA kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai wakil semua syarikat telekomunikasi,'' katanya.

Pada tahun 2004 saja, lebih 150 CP telah menandatangani perjanjian menjadi pembekal kandungan di bawah tawaran produk CPA .

Sejak mula diperkenalkan, senarai CP DiGi telah tumbuh kepada 110 syarikat daripada 10 buah sejak awal Januari 2003 dengan beberapa CP telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut Loong, mereka juga mempunyai beberapa CP dari Singapura, Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat yang menyertai CPA DiGi.

Pada masa dulu, jenis kandungan yang ditawarkan oleh pembekal kandungan adalah nada dering monofonik dan logo hitam putih merupakan punca pendapatan terbesar.

Kini perkhidmatan terbahagi kepada perkhidmatan interaktif seperti borak SMS atau borak televisyen.

Baru-baru ini perkhidmatan undian seperti Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol menjadi semakin popular dan menarik perhatian ramai.

Beberapa perkhidmatan berguna seperti panduan restoran, perkhidmatan direktori, maklumat cukai jalan, permainan Java dan sebagainya.

Manakala, nada dering polifonik dan kandungan warna tumbuh dengan cepat bagi beberapa CP dan muat turun CP menyumbang lebih 30 peratus keuntungan.

Menurut Loong, pada awal 2002 hingga akhir 2003, keuntungan dari industri kandungan mudah alih berjumlah RM200 juta dan pada 2004, ia berganda kepada RM400 juta.

Bagi DiGi, perkhidmatan kandungan telah tumbuh lebih 600 peratus dari Januari 2003 hingga November 2004.

SMS masih menjadi kandungan paling tertinggi tetapi muat turun WAP dan MMS akan menyumbang kepada keuntungan yang besar di masa akan datang.

``Infrastruktur EDGE akan meningkatkan muat turun WAP dan penghantaran MMS dan pihak DiGi yakin perkhidmatan kedua-dua produk akan meningkat.

Penyelesaian dalam talian dengan pembayaran automatik kepada akaun CP hanya mengambil masa 25 hari.

Gunakan cara mudah untuk menandatangani perjanjian dengan segala syarat dalam talian.

Borang arahan perkhidmatan dalam talian dan selaras di mana CP hanya perlu mengisi borang, mencetak, tandatangan dan hantar kepada DiGi.

Lebih canggih

Dijangka pada 2005 rangkaian 3G akan meningkatkan pengguna akhir dengan tambahan kelajuan dan akan terus menyediakan perkhidmatan dan kandungan yang lebih canggih dan menarik yang ditawarkan oleh CP.

Premium SMS akan turun dalam penggunaan tetapi masih mendapat keuntungan daripada perkhidmatan borak dan undian.

Maklumat berdasarkan tempat akan menambah nilai beberapa perkhidmatan pembelian dan arahan

Loong berkata, cabaran CPA adalah Pengurusan Hak Cipta Digital yang melibatkan kandungan yang bernilai dan canggih, pengusaha besar seperti Disney, Sanrio, SONY akan meminta hak memastikan bahawa kandungan mereka tidak boleh salin atau dipindahkan ke pihak ketiga.

Perkhidmatan undian popular seperti Akademi Fantasia menyebabkan penangguhan dalam transaksi misalnya terdapat 200,000 transaksi dalam masa sejam dan memberi kesan kepada pengguna

Telenor telah melaksanakan penyelesaian khusus bagi menguruskan kod ringkas khas bagi perkhidmatan yang mendapat sambutan dan DiGi berharap dapat meniru penyelesaian dalam platform DiGi CPA.

Tiada ulasan: