Khamis, Februari 03, 2005

Pengswastaan tidak jamin rakyat dapat bekalan air memuaskan: pakar

Muda Mohd Noor
Sektor korporat menjadikan penswastaan air sebagai ‘lubuk’ untuk mengaut keuntungan dengan restu kerajaan melalui kenaikan caj bekalan yang meningkat dari masa ke semasa, kata seorang ahli ekonomi tempatan.

Charles Santiago dari Kumpulan Rakyat Prihatin berkata, meskipun bekalan air diswastakan tetapi kerajaan masih menanggung kos pembinaan paip sedangkan ia menjadi tanggungjawab pihak swasta yang mendapat konsesi air tersebut.

Beliau memberi contoh di Selangor, penswastaan air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), sebuah anak syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad, hanya melibatkan rawatan air mentah tetapi pembahagian air masih dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Penswastaan air bukan jaminan bahawa pengguna akan mendapat bekalan air yang memuaskan meskipun caj yang dikenakan kepada pengguna sentiasa naik.

“Malah menteri kerajaan yang menjaga air sendiri, dengan cepat, mengatakan bekalan air air akan dinaikkan dalam tempoh empat tahun selepas pengurusannya diambilalih oleh Kerajaan Pusat,” katanya di satu seminar air di Ipoh Ahad lalu.

Seminar yang bertajuk ‘Perlukah Air Diswastakan’ adalah anjuran bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ressa Association Development dan Kumpulan Rakyat Prihatin bagi membincangkan kesan daripada penswastaan air.

Kebocoran paip

Penceramah lain ialah Dr Jaya Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang bercakap mengenai penswastaan air dari sudut Perlembagaan Negara.

Santiago berkata, masalah air di Selangor dan beberapa negeri lain ialah kerana kehilangan air yang menurutnya mencatat sehingga 42 peratus akibat kebocoran paip, ditambah pula dengan kes mencuri air dan bil yang tidak dibayar yang terlalu tinggi.

“Kadar 42 peratus ini adalah terlalu tinggi dan tidak pernah berlaku kepada mana-mana negara lain, kecuali di Selangor. Kalau kadar kehilangan air yang begitu besar, tidak mungkin kerajaan akan mendapat keuntungan melainkan dengan menaikkan bil air kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, ada beberapa faktor mengapa pengurusan air di Malaysia dilanda pelbagai masalah meskipun sumber air mentahnya sangat banyak.

Pertama, kadar kebocoran paip yang tinggi. Pihak berkuasa air lambat menangani masalah tersebut meskipun ia berlaku sejak bertahun dulu.

Kedua, kecurian air yang berleluasa kerana penguatkuasaan yang lemah dan pendakwaan yang pilih kasih menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab tidak takut untuk terus mencuri air.

PBA untung

Ketiga, pengurusan air yang dikendalikan oleh orang yang tidak tahu menahu tentang air. Sesetengah perlantikannya berasaskan pertimbangan politik, bukannya dibuat secara profesional.

Santiago berkata, penswastaan menyebabkan kos air menjadi mahal dan bebanan ini akan dipikul oleh rakyat.

Sementara itu beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang merupakan badan korporat air yang terbaik di kalangan 65 bandaraya utama di seluruh dunia.

Pada tahun lalu, Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang mencatatkan keuntungan RM50 juta daripada bekalan air kepada premis perniagaan dan penduduk di negeri itu.

“Mengapa PBA begitu efisen dalam pengurusan air?, tanyanya.

“PBA menggunakan kaedah perkongsian awam. Perkongsian awam menjadikan pembiayaan bekalan air menjadi murah. Kos memproses air mentah oleh PBA ialah 35 sen satu kubik meter merupakan terendah di negara ini. Kadar kehilangan air cuma 18 peratus, juga yang terendah di negara ini,” tambahnya.

Persaingan politik

Beliau berkata, PBA mendapat pendapatan daripada 99 peratus air yang dibekalkan kepada premis, iaitu dengan pengurusan air yang begitu profesional di negeri tersebut.

Katanya, siapa yang menggunakan air kena bayar dan bagi yang tidak membayar akan dikenakan tindakan termasuk pemotongan bekalan.

“Cara ini amat berkesan untuk mengajar pengguna supaya mereka bertanggungjawab membayar setiap bekalan air yang digunakan,” katanya sambil menambah persaingan politik di antara Gerakan, Umno dan MCA juga menjadikan bekalan air di Pulau Pinang menjadi lebih baik.

Beliau berkata, memandangkan Gerakan menjadi pemerintah, Umno dan MCA menjadi `pemerhati’ kepada masalah bekalan air di negeri tersebut.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Sarawak membuat perjanjian dengan PBA untuk menggunakan teknologi PBA bagi membangunkan pengurusan air di negeri tersebut.

Tiada ulasan: