Jumaat, Februari 04, 2005

Cabaran industri automobil nasional

Bagi tahun ini, kepastian tentang impak AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN) terhadap industri automotif negara sekali lagi hangat diperkatakan terutamanya dalam konteks kesannya terhadap harga kereta di pasaran tempatan.

Para penganalisis dan para pengguna nampaknya tidak meletakkan harapan tinggi untuk tahun 2005 seperti mana harapan mereka pada awal tahun 2004 - tahun di mana ramai pengguna berharap harga kereta akan jatuh mendadak, tetapi sebaliknya ramai yang kecewa.

Sekali lagi kerajaan mengambil langkah menggantikan duti import automotif yang diturunkan dengan duti eksais. Ini antara lain, sebagai langkah untuk memastikan aliran pendapatan kerajaan tidak terjejas akibat penurunan duti import automotif.

Kesan pelaksanaan AFTA terhadap industri automotif nasional semakin ketara.

Dilema untuk terus memelihara industri automotif tempatan yang selama ini terpelihara menerusi dasar perlindungan perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk melaksanakan perjanjian AFTA yang telah dimeterai.

Hal ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keupayaan persaingan Malaysia berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia dalam industri automotif. Kedua-dua negara rancak menjadi pusat pemasangan kereta import bagi rantau ini.

Dasar perlindungan dalam bentuk duti import dan tarif ke atas kenderaan import yang telah dilaksanakan semenjak kita mempunyai industri automotif nasional sememangnya memberikan pendapatan yang besar kepada kerajaan.

Dengan pelaksanaan AFTA, penurunan duti secara drastik pastinya akan menjejaskan hasil negara dan kehilangan pendapatan ini wajar ada gantinya.

Meskipun demikian, kerajaan masih lagi komited dengan AFTA dan perkara ini dapat dilihat dengan kemasukan kereta-kereta import yang semakin membanjiri jalan-jalan raya.

Apa yang lebih menarik, kereta-kereta penumpang berjenama import untuk kelas pertengahan semakin mampu dimiliki oleh kebanyakan kita dengan harga, kualiti dan prestasi yang memuaskan.

Keadaan ini sudah pasti memberi tekanan kepada pengeluar kereta nasional untuk mengekalkan penguasaan pasaran yang sedia ada di samping, mengekalkan tahap kesetiaan pembeli tempatan terhadap kereta nasional.

Cabaran yang dihadapi oleh industri automotif tempatan sememangnya hebat. Selain AFTA, industri automotif turut menerima kesan akibat dari kenaikan sebanyak 30 peratus harga besi dan keluli dunia. Ini mengakibatkan para pengeluar terpaksa menghadapi tekanan kos yang meningkat.

Tambahan lagi, penurunan nilai dolar turut memberikan kesan ke atas industri automotif dunia. Penurunan dolar berbanding nilai mata wang lain menyebabkan harga kereta buatan Amerika secara relatifnya lebih murah berbanding dengan harga kereta lain. Keadaan ini memberikan kesan ke atas eksport kereta oleh pengeluar kereta lain (bukan Amerika).

Selain itu, kenaikan harga minyak yang mencapai paras AS$50 setong turut menjejaskan pendapatan boleh guna para pembeli. Ini seterusnya mampu menjejaskan permintaan terhadap kereta.

Selain cabaran global di atas, industri automotif tempatan turut menghadapi keadaan pasaran kereta tempatan yang matang. Ini dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan kenderaan di jalan raya kini.

Dianggarkan di Malaysia kini, nisbah penduduk berbanding kereta ialah empat kepada satu atau empat rakyat Malaysia untuk satu kereta.

Keupayaan bersama Proton dan Perodua adalah sebanyak 500,000 buah kereta setahun dan ini sebenarnya sudah lebih dari mencukupi untuk memenuhi pasaran kereta tempatan yang tidak besar.

Pengeluaran lesen baru untuk membawa kereta import ke Malaysia sudah pasti akan meningkatkan jumlah penawaran kereta di pasaran tempatan dan penambahan penawaran berbanding permintaan pasti akan mengakibatkan penurunan harga kenderaan tidak akan dapat dielakkan.

Pengeluar kereta nasional juga perlu bersedia dengan perubahan cita rasa pembeli tempatan. Setelah sekian lama rakyat Malaysia hanya `mampu' membeli kereta tempatan dan lebih 70 peratus pasaran kereta dikuasai oleh Proton dan Perodua, pembukaan pasaran bagi memenuhi AFTA telah memberikan kita lebih banyak pilihan dan membuka `selera' untuk mencuba kenderaan lain pula.

Semua ini adalah antara realiti dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pengeluar kereta tempatan. Langkah awal Proton dan Perodua terhadap cabaran ini sudah dapat dilihat di mana kedua-duanya telah menjalin kerjasama dengan pengeluar kereta luar negara bagi memastikan penguasaan pasaran yang sedia ada tidak terlepas begitu sahaja.

Yang jelas, para pengguna semakin mempunyai banyak pilihan sekarang. Adalah diharapkan, pengguna tempatan akan terus setia membeli barang buatan tempatan.

Untuk memastikan ini, sudah pasti para pembeli tempatan mahukan kualiti kereta nasional yang dipertingkatkan (sebagai contoh, peningkatan ciri keselamatan seperti beg udara) dengan harga yang setanding dengan kereta import.

Khidmat selepas jualan yang cemerlang turut akan menjamin kesetiaan para pembeli di samping harga alat ganti kereta nasional yang secara amnya masih lagi murah dan mudah untuk diperoleh. - MOHD NAHAR MOHD ARSHAD, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tiada ulasan: