Selasa, Februari 15, 2005

Fomca kutip sejuta tandatangan bantah kenaikan kadar tol

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

PETALING JAYA, 24 Dis (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) hari ini melancarkan kempen mengutip satu juta tandatangan membantah keputusan kerajaan membenarkan Plus menaikkan kadar tol 10 peratus berkuatkuasa 1 Januari ini.

Presiden Fomca, Marimuthu Nadeson berkata, pihaknya kesal kerajaan sewenang-wenang membenarkan Plus (Projek Lebuhraya Utara Selatan) meneruskan rancangan menaikkan kadar tol pada 1 Januari ini.

"Masyarakat bosan dengan isu ini. Jangan kata kami halang rakyat guna lebuh raya tetapi kami membantah kerana ini akan membebankan orang ramai," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media majlis pelancaran kempen mengutip sejuta tandatangan membantah kenaikan harga tol di pejabat Fomca di sini pagi tadi.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah Komunikasi Korporat Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman; Penasihat Undang-undang Fomca, N Indrani dan Pengarah Bahagian Aduan Pengguna, Ismail Aziz.

Kata Marimuthu, kempen itu adalah sebagai tekanan kepada kerajaan bahawa pengguna tidak mahu dibebani dengan kadar kenaikan tol yang sebenarnya menguntungkan kerajaan sahaja.

Mana janji BN dalam pilihan raya 2004?

Marimuthu seterusnya mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri dan seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN) sewaktu kempen pilihan raya.

Katanya, janji-janji manis yang ditaburi BN untuk membela rakyat dan menjadi hamba rakyat tidak tertunai malah menyusahkan rakyat terutamanya golongan miskin.

"Kita tak pilih kerajaan kerana nak dapatkan perkhidmatan pada harga yang tinggi, jangan sampai rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan setelah mereka memilih kerajaan BN dalam pilihan raya yang lalu," tegasnya.

Selain itu beliau juga mengingatkan kerajaan bahawa Plus adalah dimiliki oleh syarikat yang berkepentingan kerajaan di mana rakyat mempunyai hak dalam kepentingan tersebut.

Menurut Marimuthu, pada tahun 2004 kerajaan telah dua kali menaikkan kadar tol dan harga minyak.

Kenaikan tersebut akan mengakibatkan kenaikan harga barangan dan makanan selain perkhidmatan pengangkutan lain seperti bas dan teksi, katanya.

Kenaikan tol bebankan pengguna

Beliau menegaskan, Fomca secara serius membantah kenaikan kadar tol atas beberapa aspek, pertamanya ialah kenaikan harga tol akan membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ujarnya, secara tidak langsung harga barang harian akan meningkat dan memberi kesan terhadap Indeks Harga Pengguna (CPI).

Selain itu kata Marimuthu, walapun pengguna membayar kadar tol yang tinggi, kualiti infrastruktur yang diperolehi masih berada di tahap yang rendah.

Jelas beliau, tuduhan itu berasas kerana pengguna masih mengalami masalah kesesakan jalan raya yang teruk terutamanya pada musim perayaan dan pada waktu-waktu kemuncak di plaza tol.

Kerajaan tidak telus

Tegas Marimuthu, Fomca juga mendapati kerajaan tidak telus dalam proses perjanjian konsesi dengan tidak mendedahkan kepada umum mengenai perjanjian yang telah ditandatangani.

Buktinya ujar beliau, tidak ada satupun akta untuk menyelenggara atau menyelaras perjanjian konsesi antara kerajaan dan swasta.

Justeru kata beliau, akta ‘Build-operate-transfer(BOT)’ perlu diwujudkan selain mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi 1986 untuk memastikan masyarakat mengetahui syarat-syarat dan terma perjanjian di antara kerajaan dengan pemegang konsesi.

Fomca seterusnya mendesak kerajaan mendedahkan terma-terma perjanjian konsesi penswastaan kepada umum kerana ia memberi impak terus kepada semua pengguna.

Kata Marimuthu, jika kerajaan enggan mendedahkan dan seterusnya menangguh kenaikan harga tol, Fomca akan terus memberi tekanan kepada kerajaan dengan siri-siri bantahan yang lain.

Dalam pada itu pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin.

Beliau berharap, Abdullah akan mengkaji memorandum Fomca dan seterusnya menghentikan tindakan menaikkan kadar tol yang dikatakan berkuatkuasa pada 1 Januari ini. – lanh

Tiada ulasan: