Selasa, Februari 15, 2005

Fomca kemuka formula tarif elektrik berpatutan


PUTRAJAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mengemukakan cadangan formula tarif elektrik yang berpatutan terutama kepada pengguna berpendapatan rendah untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Fomca yang tidak menolak jika tarif elektrik mahu dinaikkan, berharap cadangannya itu akan diambil kira kerajaan dalam menentukan kadar baru itu bagi memastikan kepentingan pengguna tidak terjejas.

Sehubungan itu, Fomca yang diundang Suruhanjaya Tenaga menganggotai panel perunding mengkaji semula kadar tarif elektrik, akan membuat kajian menyeluruh berhubung perkara itu bagi mengelak rakyat menanggung beban.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mahu kerajaan memberi pertimbangan khusus kepada pengguna berpendapatan rendah yang mengalami kesan kenaikan kos hidup dan bahan mentah lain sejak akhir-akhir ini.

Fomca setuju jika kadar tarif elektrik mahu dinaikkan. Bagaimanapun, biarlah kadar baru itu berpatutan terutama kepada pengguna berpendapatan rendah.

“Mengambil kira perkembangan semasa seperti kenaikan harga komoditi lain seperti minyak, Fomca anggap sekarang bukanlah waktu sesuai untuk menaikkan kadar tarif elektrik... tunggulah setahun atau dua tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghantar surat bantahan berhubung kenaikan tarif itu kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, di kementeriannya di sini, semalam.

Surat bantahan yang ditandatangani Presiden Fomca, N Marimuthu itu turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bulan lalu, akhbar ini melaporkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik sekurang-kurangnya lima peratus bagi meningkatkan kedudukan kewangannya berikutan kenaikan kos bahan api.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut, TNB merancang menghantar cadangan kenaikan itu kepada kerajaan, bergantung kepada harga gas, bahan api utama yang kini diberi subsidi oleh kerajaan.

Harga purata tarif elektrik di negara ini ialah 23.5 sen sekilowatt/jam dan ia tidak dinaikkan sejak 1997. Kadar itu adalah yang kedua terendah di rantau Asia selepas Taiwan.

Ketika cadangan menaikkan kadar tarif elektrik dibangkitkan oleh TNB Oktober lalu, pelbagai pihak membantah, malah Dr Lim menegur TNB supaya membincangkan usul itu terlebih dulu sebelum menghebahkannya kepada umum.

Sebelum itu, Ketua Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dilaporkan mengesahkan TNB bercadang menaikkan kadar tarif elektrik dan akan mengemukakan cadangan mengenainya untuk dipertimbangkan kerajaan.

Bagaimanapun, berikutan kejadian bekalan elektrik terputus di empat negeri dan Putrajaya serta sebahagian besar Lembah Klang pada 13 Januari lalu, TNB dinasihat melupakan sementara hasrat menaikkan tarif elektrik.

Mohd Yusof berkata, Fomca setakat ini belum diminta menghadiri mesyuarat panel perunding kajian semula kadar tarif elektrik di bawah Suruhanjaya Tenaga.

Fomca sedia memberi cadangan dan maklum balas pengguna melalui panel itu. Kita menganggap konsep ‘guna lebih bayar lebih’ sesuai dilaksanakan jika kadar tarif elektrik mahu dikaji semula atau dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, surat bantahan itu dihantar kepada Dr Lim berikutan Fomca kesal beliau tidak menunjukkan pendirian tetap berhubung isu kenaikan kadar tarif elektrik.

“Baru-baru ini, Dr Lim mengumumkan kemungkinan kadar tarif elektrik dinaikkan tidak lama lagi. Beliau juga menyatakan pembentukan panel perunding di bawah Suruhanjaya Tenaga bagi membincangkan isu itu.

“Apa yang dikesali, ketika isu itu mula diperkatakan, Dr Lim dengan tegas menyatakan beliau tidak bersetuju sekali gus menunjukkan beliau prihatin terhadap kepentingan pengguna,” katanya.

Mohd Yusof berkata, surat bantahan itu turut menyentuh isu kegagalan TNB menyediakan sistem sokongan dalam kejadian 13 Januari lalu dan isu pengeluar tenaga bebas yang mengaut keuntungan besar.

Tiada ulasan: