Selasa, Februari 15, 2005

BELUM SESUAI NAIK TARIF

Oleh Noor Sham Saleh
noorsham@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganggap jangkamasa setahun atau dua tahun ini tidak sesuai untuk menaikkan tarif elektrik memandangkan begitu banyak kenaikan lain yang dirasai pengguna.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna sudah dibebankan banyak kenaikan dalam jangkamasa ini antaranya tol dan petrol.

“Ini bukanlah masa yang sesuai walaupun Fomca memahami mengenai kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kos menjana elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kenaikan tarif elektrik kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Bagaimanapun, memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada pejabat Setiausaha Sulit Kanan Dr Lim kerana menteri berkenaan berada di Pakistan.

Memorandum sama turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mohd Yusof berkata, Fomca juga akan mengemukakan formula tarif elektrik berpatutan terutama kepada pengguna berpendapatan rendah untuk dipertimbangkan sebelum cadangan menaikkan kadar tarif elektrik diputuskan kerajaan.

Fomca yang diundang Suruhanjaya Tenaga menganggotai panel perunding kajian semula kadar tarif elektrik, akan melakukan kajian menyeluruh berhubung kadar pertama yang sesuai dikenakan bagi mengelak rakyat menanggung beban.

Isu kenaikan tarif elektrik dibangkitkan semula baru-baru ini selepas cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif terbabit tergendala apabila berlaku putus bekalan di beberapa negeri bulan lalu.

Tiada ulasan: