Jumaat, Februari 04, 2005

Jaminan tarif air tidak naik dua tahun

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK, HELMI MOHD. FOAD dan HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan memberi jaminan tarif air tidak akan dinaikkan dalam tempoh dua tahun apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ditubuhkan setelah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2004 yang akan dibentangkan esok diluluskan oleh Parlimen.

Pindaan itu juga tidak sesekali menjejaskan kuasa kerajaan-kerajaan negeri ke atas pengawalan sumber air mentah dan hasil pendapatan daripada perkhidmatan bekalan air. Pindaan tersebut tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, SPAN hanya akan berperanan menyusun semula pengurusan perkhidmatan bekalan air di negeri-negeri yang sesetengahnya menghadapi masalah kewangan yang teruk.

Beliau berkata, SPAN akan menjadi sebuah badan pengawal selia bagi memastikan prestasi pengendali bekalan air negeri atau syarikat konsesi mematuhi penanda aras yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

``Saya tidak kata harga air tidak akan naik kerana kos rawatan air semakin meningkat tetapi satu hingga dua tahun saya boleh jamin tarif air tidak akan naik,'' katanya pada majlis taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengenai pindaan rang undang-undang tersebut di sini hari ini.

Sesi taklimat yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad itu diadakan bagi memberikan penjelasan kepada penyokong-penyokong kerajaan mengenai pindaan rang undang-undang itu untuk membolehkan kerajaan membentangkan Akta Industri Air dan akta penubuhan SPAN dalam sidang Parlimen pada Mac ini.

Rang undang-undang tersebut juga mencadangkan pindaan membabitkan umur persaraan hakim dan pemeliharaan warisan.

Hadir sama pada majlis taklimat itu ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa menteri Kabinet.

Keng Yaik berkata, dengan penubuhan SPAN kerajaan dapat memastikan, pengendali perkhidmatan bekalan air atau syarikat konsesi tidak menaikkan tarif air dengan sewenang-wenangnya.

``Dengan badan kawal selia, kita akan memastikan jabatan bekalan air atau syarikat konsesi memiliki tahap prestasi dan mengenakan tarif air mengikut penanda aras yang ditetapkan oleh SPAN.

``Pada masa ini kadar tarif air di negeri-negeri adalah berbeza, dengan adanya SPAN kita boleh menyelaraskan tarif air yang terlalu rendah di sesetengah negeri. Kerana dengan mengenakan harga yang mahal tidak semestinya ia lebih cantik (bersih) atau manis,'' katanya.

Dalam pada itu jelas beliau, sekiranya syarikat konsesi gagal menunjukkan prestasi yang memuaskan atau enggan mematuhi kadar tarif maka perkhidmatan mereka boleh dihentikan dan digantikan dengan pengendali yang lain.

Katanya, tindakan mengawal kenaikan tarif oleh badan kawal selia itu juga tidak akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan atau memberikan subsidi ke atas harga air yang dijual kepada pengguna.

Selain itu jelas beliau, melalui SPAN, kerajaan boleh menyediakan pinjaman bagi tempoh yang lebih panjang kepada pengendali perkhidmatan bekalan air bagi menyediakan infrastruktur yang lebih baik.

``Dengan cara itu pemegang konsesi boleh mendapat pulangan yang lebih baik dan kerajaan-kerajaan negeri boleh membayar hutang-hutang mereka yang kini jumlah keseluruhannya adalah RM 7.8 bilion,'' katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, rang undang-undang itu akan menjadikan bekalan dan perkhidmatan air sebagai butiran baru dalam Senarai Bersama berdasarkan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membuat undang-undang mengenainya.

Beliau berkata, kesan daripada pindaan ini membolehkan Kerajaan Pusat membuat undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan bekalan air dirawat.

Tiada ulasan: