Rabu, Februari 16, 2005

SMS lelong perlu dihentikan

SAYA ingin merujuk kepada surat Pak Kadok, Perak, ‘Terpedaya Lelongan Telefon Bimbit’. Memang menjadi trend masa ini pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengguna khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk pertandingan.


Nampaknya sambutan daripada pengguna begitu menggalakkan. Pernah satu program hiburan yang dianjurkan stesen televisyen berbayar dapat mengutip RM7.5 juta.

Dalam kes Pak Kadok ini, Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPSWP) berpendapat pengguna tidak sewajarnya membabitkan diri dalam permainan seperti ini. PPSWP melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional menerima aduan beberapa pengguna yang terbabit dalam SMS lelong ini.

Kebanyakan mereka mengadu permainan itu menelan banyak kredit telefon bimbit mereka. Bukan itu saja, seperti yang dikatakan Pak Kadok, harga telefon itu, walaupun pada mulanya ditawarkan rendah tetapi selepas 48 jam dilelong, menjadi lebih tinggi.

Akhirnya pengguna tawar hati dan menamatkan pertaruhan. Tetapi pada masa itu, sudah banyak wang yang mereka belanjakan. Dalam keadaan ini pengguna seolah-olah dipermainkan penganjur berkenaan.

Selain itu, SMS lelong ini juga mempunyai unsur pertaruhan dan boleh diklasifikasikan sebagai perjudian, seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan sedikit masa dulu.

Peraduan SMS lelong dan seumpamanya perlu dihentikan sebelum lebih ramai pengguna terjebak. Iklan yang menawarkan perkhidmatan ini juga perlu ditamatkan agar tidak terus-menerus memperdaya pengguna.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Presiden Persatuan
Pengguna Selangor dan
Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: