Selasa, Februari 15, 2005

Hak Pengguna: Pertambahan kenderaan durian runtuh bagi Plus


PENSWASTAAN bukanlah sesuatu yang tidak baik. Ia boleh meningkatkan keberkesanan, mengurangkan kos dan membaiki mutu khidmat jika dijalankan dengan baik. Malangnya, bagi kebanyakan negara yang melaksanakan penswastaan, semua ini tidak berlaku. Sebaliknya, penswastaan menjadi saluran untuk memperkayakan segelintir orang yang mempunyai hubungan rapat dengan kuasa yang membuat keputusan. Perkara ini berlaku apabila proses penswastaan tidak dilaksanakan dengan telus dan terbuka.


Tahun baru 2005 dikejutkan dengan pengumuman oleh Plus Expressway Bhd untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus seperti termaktub dalam perjanjian antara Plus dengan Kementerian Kewangan yang ditandatangani pada 1999.

Antara kumpulan yang membantah kenaikan kadar tol oleh Plus adalah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca). Ketika itu, ada talian dibuka untuk rayuan kenaikan tol iaitu oleh Fomca (www. petitiononline.com / no2hike / petition. html) dan Madeline Chang bagi Coalition Against Unfair Toll Increase (Cauti) (www.petitiononline. com / notohike / petition.html)

Kedua-dua talian itu masih dibuka untuk menerima tanda tangan orang ramai. Sehingga semalam, 5,036 tandatangan berjaya kumpul melalui laman web Fomca, manakala Cauti pula 7,716 tanda tangan. Kebanyakannya disertakan dengan komen marah dan menyatakan kekecewaan atas kenaikan kadar tol.

Baru-baru ini, Plus juga menerima kritikan kerana mengenakan denda ke atas pemandu yang dikatakan mengambil masa terlalu lama dalam perjalanan dari satu tempat ke tempat lain.

Kenaikan kadar tol terlalu berat bagi pengguna. Ia membebankan, terutama bagi golongan berpendapatan rendah. Pengguna lebuh raya itu juga mengeluh kerana kerap menghadapi kesesakan lalu lintas, khidmat yang tidak memuaskan dan keadaan mutu lebuh raya yang semakin merosot.

Ada juga aduan bahawa kereta tarik swasta akan muncul apabila berlaku kemalangan di tengah malam dan bukannya kereta ronda Plus yang datang memberi khidmat. Tidak dapat dipastikan bagaimana hal ini boleh berlaku. Sepatutnya khidmat kecemasan Plus berfungsi 24 jam.

Mengikut Fomca, purata pengguna Plus bertambah daripada 850,548 orang pada 2002 kepada 902,759 orang dari Januari hingga September 2004. Dari segi kewangan pula, Plus meraih untung bersih sebanyak RM546.19 juta dari Januari hingga September 2004 berbanding RM537.6 juta dalam tempoh sama pada 2003.

Fomca juga menyatakan bahawa penganalisis pasaran menjangka Plus mengaut untung bersih RM782 juta bagi 2004 dan RM858 juta bagi sepanjang 2005. Keuntungan Plus akan meningkat dengan kenaikan kadar tol berkala seperti dalam perjanjian hingga tempoh konsesinya berakhir.

Mengikut laporan akhbar tempatan, ada lapan kali lagi kenaikan tol akan dibuat mengikut perjanjian. Ia akan berlaku setiap tiga tahun sekali. Kenaikan seterusnya pada 2008 dan yang terakhir 2029.

Dengan kenaikan 10 peratus kadar tol tahun ini bermakna perjalanan daripada Bukit Kayu Hitam di utara Semenanjung ke Johor Bahru di selatan akan mencecah RM107.60 sen. Mengikut Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang, perjalanan yang sama pada 2029 akan mencecah RM230.70 sen.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, mengatakan Lebuh Raya Utara-Selatan dibina dengan unjuran 160,000 kereta setiap hari, tetapi sekarang mencecah 1.2 juta kereta. Peningkatan bilangan kereta yang menggunakan lebuh raya itu adalah durian runtuh bagi Plus.

Perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak memuaskan, peningkatan pemilikan kereta persendirian dan bertambahnya pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan bererti Plus mendapat untung besar untuk beberapa tahun akan datang. Perkara ini adalah alasan kukuh bagi menolak kenaikan kadar tol.

Sebagai membalas kemarahan orang ramai bersabit kenaikan kadar tol, Plus menjelaskan bahawa kenaikan itu adalah wajar. Hal ini kerana 43 peratus daripada tol yang dikutip adalah untuk meningkatkan kerja turapan jalan dan penyelenggaraan lebuh raya.

Selain itu, 34 peratus bagi membayar hutang dan 23 peratus lagi untuk pemilik saham. Plus juga mengatakan bahawa kenaikan tol 13.6 sen setiap kilometer (km) adalah yang terendah berbanding negara lain.

Kadar tol di Filipina adalah 35.57 sen bagi setiap km, Thailand (22.76 sen), China (27.62 sen) dan Indonesia (14.80 sen). Tetapi, Plus tidak menyatakan berapa tahun konsesi jalan raya bagi negara terbabit. Syarikat itu juga tidak menyatakan sama ada terma konsesi itu adalah sebaik terma yang diperoleh Plus.

Kos untuk membina Lebuh Raya Utara-Selatan adalah RM7.3 bilion dan Plus sudah membayar RM7.1 bilion daripada jumlah kos itu. Pemegang saham utama Plus adalah Khazanah Nasional Bhd yang memiliki 67.05 peratus saham. Khazanah adalah badan pelaburan Kementerian Kewangan. Pemilik saham lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (9.72 peratus) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (5.11 peratus).

Mengikut Samy Vellu lagi, jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol 10 peratus seperti dalam kontrak dengan Plus, kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak konsesi sebanyak RM154 juta setahun selama 33 tahun sehingga konsesi itu berakhir. Jumlah yang terpaksa ditanggung kerajaan kini adalah RM38 bilion.

Apa yang menjadi tanya orang ramai adalah bagaimana kerajaan boleh terjebak dengan perjanjian yang begitu berat sebelah? Misalnya, kenapakah ada peruntukan yang memaksa kerajaan membayar ganti rugi, sedangkan pihak konsesi mengaut keuntungan besar dengan peningkatan jumlah kereta di lebuh raya?

Maka, terpaksalah kita melihat bagaimana perjanjian Plus untuk mendapat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan dimeterai. Seperti yang dikatakan oleh Fomca, orang ramai tidak tahu apakah alasan yang memberikan konsesi kepada Plus dalam 1988. Bahkan, satu lagi perjanjian telah pula ditandatangani pada 1999 bagi melanjutkan jangka masa konsesi hingga Mei 2030. Kesahihan tarikh luput konsesi juga mengelirukan.

Ada laporan akhbar yang menyebut Samy Vellu mengatakan tarikh tamat konsesi adalah pada 2038. Setelah lebih dua dekad berlalu, terma dan peruntukan yang tercakup dalam konsesi yang asal masih diselubungi dengan Akta Rahsia Rasmi 1986.

Yang jelas, tidak ada ketelusan dalam proses tender. Terma dan peruntukan masih rahsia dan kenapa kerajaan terpaksa menanggung beban ganti rugi jika pihak konsesi tidak dibenarkan menaikkan kadar tol 10 peratus setiap tiga tahun, walaupun Plus mengaut keuntungan besar.

Orang ramai tidak boleh dipersalahkan jika mereka merumuskan bahawa kerajaan tidak bertindak untuk kepentingan orang ramai apabila perjanjian ini dibuat.

Kementerian Kewangan, selaku pemegang saham terbesar dalam Plus (67 peratus) hendaklah keluar daripada berselindung di balik ‘tabir korporat’ dan Akta Rahsia Rasmi bagi menyelesaikan masalah ini untuk memulihkan semula kepercayaan orang ramai.

Tiada ulasan: