Jumaat, Februari 04, 2005

Institusi kewangan patut tunai janji

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Bank Negara Malaysia supaya meneliti anugerah belajar yang diberikan oleh bank dan institusi kewangan bagi golongan penyimpan muda.

Di bawah anugerah belajar itu, kanak-kanak sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan am dan mempunyai akaun simpanan dengan institusi kewangan berkenaan dihadiahkan wang tunai.

Kebanyakan ibu bapa membuka akaun simpanan bagi anak mereka disebabkan hadiah wang tunai itu menjadi insentif bagi kanak-kanak berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh.

Dalam satu kes baru-baru ini, seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun menulis kepada CAP mengenai perasaannya setelah ditipu oleh sebuah syarikat kewangan apabila anugerah belajar itu ditarik balik beberapa bulan sebelum peperiksaan UPSR.

Di bawah kempen Anugerah Belajar 2004 oleh syarikat kewangan itu, pelajar yang mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM300 di dalam akaun simpanan mereka dan mendapat 5A dalam UPSR layak mendapat anugerah RM100.

CAP bimbang dan terkejut apabila pelajar lelaki berkenaan memaklumkan kepada kami dalam suratnya yang syarikat kewangan itu telah bercadang untuk membatalkan kempen itu. Syarikat kewangan berkenaan mengirim satu notis ke syarikat cawangannya dan tidak memberitahu pemegang akaun secara individu mengenai niat mereka untuk membatalkan kempen tersebut secara tiba-tiba.

Pelajar lelaki yang berusia 11 tahun itu telah bertungkus-lumus untuk mencapai keputusan peperiksaan yang diperlukan bagi melayakkan diri bagi mendapatkan anugerah tersebut. Alasan mulia dan sucinya untuk mendapatkan wang anugerah itu adalah untuk menggunakannya bagi membeli buku serta peralatan sekolah lain supaya tidak membebankan ibubapanya.

Oleh itu CAP menggesa Bank Negara Malaysia supaya meneliti kempen anugerah belajar dan meminta syarikat kewangan berkenaan menunaikan janjinya kepada golongan penyimpan muda ini. - S.M. MOHAMED IDRIS, Presiden CAP.

Tiada ulasan: