18 May 2006
Sudah pasti kepentingan rakyat di hati Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dengan itu, PM tidak wajar menerima cadangan kenaikan tarif elektrik yang dibentangkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Lim merupakan pembela IPP yang sekian lama telah mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Kini, Lim membantu IPP untuk terus mengaut keuntungan dengan cadangan kenaikan tarif elektrik, jika diluluskan akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Menurut Lim, kenaikan tarif perlu bagi menjaga masa depan kewangan TNB dan mengurangkan beban hutang sebanyak RM30 bilion.
Bagaimana pula dengan masa depan kewangan 3.41 juta pengguna TNB yang akan terjejas oleh kenaikan tarif tersebut kelak?
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sekali lagi telah berbohong kerana sebelum ini Lim telah berjanji akan menjaga kepentingan pengguna dengan tidak menaikkan tarif, tetapi kini Lim mengumumkan cadangan kenaikan tarif yang akan berkuatkuasa pada bulan depan.
Mengapa kenaikan tarif yang dicadangkan tidak menjaga kepentingan nasional adalah disebabkan keuntungan yang diperolehi IPP sudah terjamin dan terus dilindungi. TNB dipaksa membeli kuasa elektrik yang dibekalkan oleh IPP, tanpa mengira ia diperlukan atau tidak, mengakibatkan simpanan sebanyak 40%, antara margin simpanan yang tertinggi di dunia.
Usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan simpanan tenaga elektrik kepada 15-20%, sejajar dengan negara-negara maju dan satu-satunya cara melakukannya ialah mengkaji semula kontrak dengan IPP.
Penurunan kos yang lebih, mampu dicapai dengan mengkaji semula bayaran tahunan kepada IPP sebanyak RM4 bilion bagi tenaga yang dibeli yang TNB tidak perlukan. Sehingga kontrak yang berat sebelah tersebut disemak semula, apa jua kenaikan pada tarif adalah tidak adil kepada pengguna tetapi hanya memanfaatkan IPP yang sudah kaya raya. TNB mampu jimat lebih banyak dengan mengkaji semula kontrak dengan IPP daripada mengenakan tarif elektrik yang lebih tinggi.
Para ahli Parlimen sewajarnya meletakkan kepentingan rakyat atas segalanya dengan menolak cadangan kenaikan tarif oleh Lim Keng Yaik sebagai tidak wajar dari segi ekonomi, tidak atas kepentingan nasional dan beban yang bertambah ke atas rakyat yang hanya akan meningkatkan kadar inflasi dan seterusnya melembabkan pertumbuhan ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan