Khamis, Mei 25, 2006

Tarif elektrik naik 12% -- Bagaimanapun penggunaan 200 kWj pertama dikecualikan

Utusan Malaysia, 25 Mei 2006
Oleh: ROZAMAN ISMAIL dan ASUKI ABAS

PUTRAJAYA 24 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan tarif elektrik baru dengan kenaikan purata 12 peratus berkuat kuasa 1 Jun ini.

Kenaikan itu, bagaimanapun tidak akan menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan kurang daripada 200 kilowatt-jam (kWj) elektrik sebulan.

Pengecualian bagi penggunaan 200 kWj pertama itu bermakna rakyat yang membayar bil kurang daripada RM43.60 sebulan tidak terjejas dan terus menikmati elektrik pada kadar 21.8 sen setiap kWj.

Ia meliputi kira-kira 59 peratus atau 3.036 juta daripada 5.1 juta isi rumah yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Bagi kira-kira sejuta isi rumah lain yang menggunakan antara 201 kWj dan 300 kWj elektrik atau membayar bil antara RM44 hingga RM70 sebulan, peningkatan bil mereka adalah antara tiga sen hingga RM3.10 sahaja setiap bulan.

Penggunaan tarif baru itu akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM1.5 bilion setahun.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, Kabinet dalam mesyuaratnya hari ini telah meluluskan permintaan TNB bagi menaikkan tarif tersebut selepas menimbangkan peningkatan kos pembekalan tenaga serta kesannya ke atas pengguna.

``Kali terakhir tarif elektrik dinaikkan ialah pada tahun 1997 dan kali ini merupakan kali keempat (pada tahun ini) Kabinet membincangkan perkara ini (cadangan TNB menaikkan tarif), menunjukkan betapa seriusnya Jemaah Menteri mengkaji secara teliti segala aspek sebelum mengambil keputusan tersebut.

``TNB membuat cadangan untuk menaikkan sebanyak 20 peratus tetapi kami tidak terima; kamu (TNB) boleh lupakan saja.

``Selepas mengkajinya dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam, Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini telah meluluskan kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus secara purata, berkuat kuasa 1 Jun 2006,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas yang turut dihadiri oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh di kementeriannya di sini.

Selain itu, kata Keng Yaik, satu tarif khusus akan diperkenalkan bagi sektor pertanian, lebih rendah berbanding tarif komersial yang digunakan sekarang, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyokong kegiatan pertanian asas.

Bagi memastikan daya saing negara tidak terjejas pula, tarif industri khas dikekalkan untuk pengguna industri yang mana kos elektrik mewakili lima peratus atau lebih daripada jumlah kos operasi.

Tarif baru itu juga mengekalkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, rumah kebajikan dan tempat ibadat, katanya lagi.

``Dengan kadar baru ini, kedudukan kewangan TNB akan berada dalam keadaan yang lebih baik serta membolehkannya membuat pelaburan bagi membangunkan infrastruktur bekalan elektrik sehingga 2010.

``TNB dengan itu akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi meningkatkan kredibiliti dan kualiti bekalan elektrik dari segi penjanaan, penghantaran dan pengagihan dengan membelanjakan sebanyak RM40 bilion untuk menaik taraf dan meningkatkan sistem dalam tempoh lima tahun,'' tegas Keng Yaik.

Beliau menambah, harga bahan api yang meningkat antara 69 peratus hingga 244 peratus sejak 1997 merupakan antara komponen utama yang menyebabkan kos pembekalan TNB melonjak tinggi.

Sehubungan itu, katanya, antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh syarikat utiliti itu ialah membantu kerajaan menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara lebih agresif.

Tiada ulasan: