Malaysia Today
Friday, May 19, 2006
Pengumuman tentang kenaikan kadar tarif elektrik pada bulan hadapan memang sudah dijangka. Kerajaan dan TNB telah memberikan jaminan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas secara langsung apabila berlakunya kenaikan tarif elektrik tersebut dan kadar baru akan dikenakan berdasarkan kepada semakin banyak tenaga elektrik yang digunakan, maka semakin tinggi kadar tarif yang akan dikenakan.
Kenaikan tarif ini dibuat memandangkan kedudukan kewangan TNB yang agak tenat pada masa ini. TNB dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM1 bilion pada setengah tahun berakhir pada Februari 2006. Walaupun tekanan kuasa-kuasa pasaran melonjakkan kos penjanaan tenaga, namun begitu, masih terdapat faktor ketidakcekapan operasi TNB yang turut menyumbang kepada bebanan kewangan tersebut.
Isu dalaman seperti perjanjian tidak seimbang dalam pembelian tenaga dengan Penjana Tenaga Bebas (PTB), tidak dapat tidak, turut mempengaruhi kedudukan kewangan TNB. Begitu juga pandangan yang diberikan oleh kerajaan agar kedua-dua pihak, TNB dan PTB, dapat mencapai kata sepakat yang dapat menguntungkan semua pihak, termasuk pengguna.
Dengan kos sebanyak RM4 bilion setahun yang perlu dibayar kepada PTB, tanpa mengira sama ada tenaga yang dibeli itu digunakan sepenuhnya ataupun tidak. Tenaga yang dibekalkan oleh PTB menyumbang sebanyak 40% keperluan tenaga negara. Kini PTB dalam proses perbincangan dengan kerajaan dalam menentukan masa depan mereka, berdasarkan kepada tempoh 21 tahun konsesi yang akan tamat pada tahun 2015.
Dalam pada itu, Setiausah Agung FOMCA, Muhammad Sha’ani bin Abdullah berpendapat kenaikan tarif seolah-olah sudah tidak dapat dielak lagi, namun kenaikan tersebut perlulah setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang lebih baik. Beliau berpendapat masih terdapat beberapa ketidakpuasan hati pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan syarikat pembekal tenaga negara ini.
Para pengguna masih mengadu tentang kekerapan gangguan bekalan elektrik, juruteknik TNB yang agak lambat bertindak mengatasi masalah yang dialami serta sikap tidak mesra pengguna di kalangan kakitangan bahagian khidmat pelanggan semasa mengendalikan aduan pengguna.
Begitu juga, lampu jalan yang masih tidak berfungsi sepenuhnya di kawasan-kawasan tertentu. Malahan timbul kekeliruan di antara peranan TNB dan pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya menyediakan dan menyelenggarakan kemudahan tersebut.
Menurut Sha’ani, program pendidikan pengguna yang proaktif dan tersusun perlu dijalankan oleh pelbagai pihak yang berkaitan seperti Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Suruhanjaya Tenaga, syarikat bekalan elektrik dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan pengguna, bagi mendidik para pengguna tentang cara menggunakan tenaga elektrik secara lestari, penggunaan barangan elektrik secara yang selamat dan pemuliharaan tenaga.
FOMCA juga mencadangkan agar tahap minimum bagi kadar baru ini dinaikkan daripada kadar yang dicadangkan sebanyak RM33 kepada RM50.
Pada masa ini, tarif elektrik yang dikenakan berdasarkan penggunaan tenaga elektrik, iaitu:
200 unit pertama x RM0.218/unit = RM43.60
200 unit berikut x RM0.258/unit = RM51.60
Kebanyakan penduduk di Malaysia terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Berdasarkan audit penggunaan tenaga bagi kelaziman keluarga yang berpendapatan rendah yang duduk di pangsapuri, mendapati penggunaan tenaga elektrik mereka adalah seperti berikut*:
Barangan elektrik - Kadar elektrik setiap bulan (RM)
Peti sejuk - 22.50
Cerek elektrik - 6.00
Periuk Nasi Elektrik - 4.56
Mesin Pencuci Pakaian - 5.40
Pengering rambut - 1.20
Kipas siling (3 buahs) - 5.88
Televisyen - 4.50
Komputer Peribadi - 1.80
Lampu - 13.80
Jumlah - 65.64 (285 unit)
*Sumber: Suruhanjaya Tenaga Malaysia
Tahap kesedaran dan pendidikan pengguna tentang peri pentingnya menjimatkan penggunaan dan pemuliharaan tenaga elektrik ke arah kehidupan yang lestari masih tidak mencukupi. Samping penajaan korporat dan membiayai projek penyelidikan oleh universiti-universiti tempatan bagi meneroka teknologi penggunaan tenaga yang lestari, pihak TNB masih agak terhad dari segi menganjurkan dan menaja program pendidikan penggunaan tenaga elektrik.
Sebagai satu-satunya syarikat yang mengendalikan pembekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, TNB harus melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia agar mereka menggunakan tenaga secara lestari. Suruhanjaya Tenaga memang telah menjalankan beberapa kempen pemuliharaan tenaga, namun sejauhmana keberkesanannya masih belum diketahui.
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan