Isnin, Mei 22, 2006

FOMCA dakwa status halal 70 produk meragukan

KUALA LUMPUR: Status halal sejumlah 70 produk makanan dan minuman di dalam pasaran, termasuk yang dikeluarkan 22 pengeluar multinational didapati meragukan, menurut Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Setiausaha Agung Fomca Muhammad Sha'ani Abdullah hari ini berkata kesemua produk itu tidak tersenarai di dalam direktori E-Halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata berdasarkan pemantauan Pusat Pemantauan Perdagangan dan Perkhidmatan Pengguna Nasional (5PN), 53 sampel daripada produk itu tiada dalam senarai direktori Jakim, 9 masih dalam proses permohonan sijil dan 8 sampel menunjukkan produk itu mempunyai sijil halal tamat tempoh.

"Ini sekaligus meletakkan status halal kesemua produk makanan dan minuman berkenaan di tahap meragukan," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan laporan pemantauan 5PN di sini.

Laporan itu adalah hasil pemantauan 5PN sepanjang April melibatkan sampel daripada 45 pengeluar makanan dan minuman yang memaparkan logo Halal Malaysia pada produk yang dikeluarkan.

5PN dikelolakan oleh Fomca dengan kerjasama Persatuan PenggunaPengguna Pahang (PAC) dan ERA Consumer (ERA) bertujuan memantau harga barangan dan perkhidmatan, penyelewengan urusniaga yang tidak beretika dan perkara lain yang berkaitan dengan maklumat kepenggunaan.

Muhammad Sha'ani berkata pengeluaran produk itu juga jelas melanggar Akta Perihal Dagangan 1975 memandangkan kesemua produk itu mempunyai tanda logo Halal.

"Daripada segi Akta Perihal Dagangan ini adalah satu penipuan," katanya.

Beliau berkata hasil laporan itu telahpun diserahkan kepada Jakim pada 8 Mei lepas namun sehingga kini ia tidak menerima sebarang maklum balas daripada jabatan itu.

Pengarah Komunikasi Fomca Mohamed Yusof Abdul Rahman sementara itu meminta Jakim sentiasa mengemaskini laman web EHalal bagi memudahkan usaha pemantauan dilaksanakan.

Ini penting bagi mengelak kekeliruan terutama dalam kalangan pengguna yang bergantung kepada laman web berkenaan sebagai sumber rujukan terkini berbanding direktori Halal Malaysia 2004/2006 yang dikeluarkan secara tahunan.

"Kesilapan Jakim (melalui laman web EHalal) ialah ia tidak ada status dalam proses pembaharuan, jadi kalau sebuah syarikat yang sudah ada sijil halal dan dalam proses memperbaharui sijil itu, syarikat itu akan disenaraikan sebagai dalam proses permohonan. Ini mengelirukan pengguna," katanya.

BERNAMA
20 Mei 2006

Tiada ulasan: