Isnin, Mei 22, 2006

Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia Melaksanakan Tugas Rakan Halal JAKIM

Dalam majlis pelancaran e-Halal pada 8 Februari 2005 di PWTC, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin telah menyarankan supaya dibentuk kumpulan ‘Rakan Halal’ bagi memudahkan JAKIM membuat pemantauan terhadap penyalahgunaan logo halal yang berlaku di pasaran.

Lanjutan daripada saranan itu, satu pertemuan ke arah pembentukan ‘Rakan Halal’ telah diadakan pada 2 Mei 2006 di JAKIM. Bagi peringkat permulaan, pertemuan telah dihadiri oleh badan-badan pengguna Malaysia, syarikat-syarikat pengeluar produk halal dan Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM). Dalam pertemuan tersebut, pihak persatuan pengguna telah diminta untuk memainkan peranan masing-masing untuk membantu JAKIM khusunya dalam mengatasi masalah penyalahgunaan logo halal di pasaran.

Terdahulu daripada pertemuan tersebut, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Persatuan Pengguna-Pengguna Pahang (PAC) dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) telah menubuhkan Pusat Pemantauan Perdagangan dan Perkhidmatan Pengguna Nasional (5PN). Pusat pemantauan ini telah ditubuhkan pada bulan April 2006. Antara peranan 5PN adalah untuk memantauan penggunaan logo halal di pasaran Malaysia. 5PN telahpun memulakan pemantauan status penggunaan logo halal di pasaran.

Pusat Pemantauan 5PN telah menyediakan laporan pemantuan pertamanya. Laporan tersebut telah dikemukakan oleh Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM pada 10 Mei 2006 (lihat gambar). Laporan tersebut menunjukkan masih banyak berlaku penyelewengan dan ketidakpatuhan logo halal di kalangan pengusaha-pengusaha produk halal. Pihak JAKIM akan membuat siasatan lanjut sebelum tindakan diambil.

Adalah diharapkan dengan pelaksanaan Rakan Halal ini, kejadian penyalahgunaan logo halal dapat dibanteras. Pihak pengeluar produk halal dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan logo halal untuk mengelakkan tindakan pihak berkuasa produk halal.

Sumber: Laman Web Jakim - www.islam.gov.my

Tiada ulasan: