Jumaat, Mei 19, 2006

Pengecualian tarif eletrik baru: 'Naikkan kepada RM50 sebulan...'

Muda Mohd Noor

Beberapa pertubuhan mahu kadar penggunaan eletrik yang dikecualikan dari tariff baru dinaikkan daripada RM30 sebulan kepada RM50 sebulan.

Menurut mereka, kadar penggunaan RM30 sebulan tidak sesuai kerana pengguna termasuk rakyat berpendapatan rendah semakin banyak menggunakan tenaga elektrik dalam kehidupan harian.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan syor awal RM30 sebulan dinaikkan kepada RM50, sesuai dengan perkembangaan teknologi dan kos hidup yang semakin tinggi.

“Masyarakat Malaysia termasuk golongan berpendapatan rendah banyak menggunakan peralatan eletrik di rumah. Oleh itu paras RM30 yang dicadangkan itu dirasakan terlalu kecil dan tidak sesuai,” katanya Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah.

Fomca juga mahu TNB memberi pendidikan kepada pengguna bagaimana cara untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Persatuan pengguna kebangsaan itu menyatakan demikian bagi mengulas cadangan kerajaan untuk tidak mengenakan kadar tarif baru kepada pengguna yang menggunakan eletrik kurang daripada 150kW/jam atau kurang RM30 sebulan.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid juga berpendapat jumlah RM30 sebulan itu tidak sesuai kerana kos sara hidup semakin tinggi terutama di kawasan bandar besar.

Katanya, penduduk di kawasan bandar mempunyai peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan peralatan lain, oleh itu jika kerajaan benar-benar perihatin, kadar itu hendaklah dinaikan.

“Bayaran RM30 sebulan sudah tidak relevan lagi melainkan untuk pengguna di kawasan pendalaman tetapi jumlah mereka sangat kecil,” katanya.

Sebaliknya, beliau meminta kerajaan bersungguh-sungguh mengkaji kos operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menurutnya terlalu banyak pembaziran terutamanya yang membabitkan bekalan yang dibuat oleh pembekal tenaga bebas (IPP).

“Banyak pembaziran berlaku dan jelas perjanjian di antara TNB dan IPP merugikan syarikat pembekal tenaga itu. Ia patut dikaji semula supaya pengguna tidak menjadi mangsa dan menanggung beban,” katanya.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik semalam berkata, antara cadangan yang dikemukakan dalam pelaksanaan tarif baru eletrik ialah mengecualikan mereka yang menggunakan tenaga elektrik kurang daripada 150kW/jam atau bilnya tidak melebihi RM30 dari tariff baru.

Menurutnya, jika cadangan itu dilaksanakan, 2.2 juta pengguna akan menekmati faedah tersebut.

Malaysiakini
19 Mei 2006

Tiada ulasan: