Khamis, Mei 25, 2006

‘Kenaikan tidak membebankan rakyat’

Berita Harian
25 Mei 2006

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak, termasuk ahli Dewan Negara dan persatuan pengguna menyifatkan kenaikan purata 12 peratus kadar tarif elektrik sebagai adil kerana mengambil kira kemampuan golongan berpendapatan rendah.

Mereka turut bersetuju dengan penetapan bahawa pengguna elektrik melebihi 200 kilowatt-jam (kWh) perlu membayar harga lebih manakala yang kurang daripada jumlah itu membayar sedikit.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu, berkata kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial apabila mengumumkan kadar yang tidak terlalu tinggi dengan mengecualikan isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan kurang 200 kWh elektrik sebulan daripada dikenakan kadar baru itu.

Katanya, sebelum ini ada cadangan pengecualian itu hanya bagi penggunaan kurang daripada 150 kWh elektrik sebulan tetapi Fomca mengemukakan cadangan supaya pengecualian dinaikkan kepada 250 kWh elektrik sebulan.

“Ia ada keadaan menang-menang apabila penggunaan 200 kWh elektrik sebulan dikecualikan daripada kenaikan itu.

“Kita bukan sokong kenaikan tarif tetapi sekurang-kurangnya kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial dalam menentukan kadar tarif elektrik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Kelab Senator Malaysia, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata kadar baru tarif elektrik itu membuktikan kerajaan bersikap adil kepada rakyat.

“Kadar tarif yang baru ini dijangka tidak akan membebankan rakyat kerana kira-kira tiga juta isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik kurang 200 kWj tidak perlu membayar harga tinggi untuk bekalan elektrik,” katanya.

Ahli Dewan Negara yang juga Setiausaha Agung Kelab Senator Malaysia, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata kadar purata 12 peratus itu adalah munasabah kerana tidak terlalu tinggi.

“Saya percaya kenaikan kadar tarif ini tidak akan menjejaskan rakyat terutama mereka tinggal di luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Lee Teck Meng, pula berkata kenaikan tarif memang tidak boleh dielakkan pada ketika harga bahan api yang meningkat sekarang.

Begitupun katanya, kadar kenaikan 12 peratus itu adalah tinggi meskipun ia yang pertama sejak 1997 dan pihaknya menjangkakan kenaikan sekitar lima peratus saja.

Katanya, ia akan mendatangkan kesan kepada kos operasi tetapi pada masa sama IKS tidak boleh menaikkan harga barangan bagi mengekalkan daya saing.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan tarif itu, katanya, pengguna boleh harus mengubah kepada penggunaan gas asli yang boleh menjimatkan kos sehingga 50 peratus atau memasang alat yang boleh menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Setiausaha agung Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk David Chua, berkata, kenaikan tarif elektrik memang sudah dijangka tetapi kadar 12 peratus adalah tinggi yang akan mendatangkan kesan kepada hampir segenap lapisan masyarakat.

“Implikasinya adalah luas dan akan menyebabkan semua sektor komersial dan industri khususnya pengeluaran barangan dan makanan menanggung sebahagian beban kenaikan itu... akan timbul keadaan, peniaga sukar menjangka kos pengeluaran mereka.

“Hakikat ini mesti diterima dan ditangani sebaik-baiknya. Pihak pengeluar dan penjana elektrik mesti berusaha meringankan beban dengan meningkatkan keupayaan supaya bekalan tidak terganggu dan mengelakkan pembaziran,” katanya.

Katanya, orang ramai sebagai pengguna mesti mengamalkan sikap tidak membazir tenaga elektrik dan sentiasa mencari jalan berjimat, kerana dalam jangka panjang tenaga akan lebih mahal.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, berkata ia akan membebankan pengguna dan menaikkan kos sara hidup rakyat selepas kenaikan harga minyak.

Katanya, kenaikan tarif itu dijangka sedikit sebanyak akan mendatangkan kesan kepada kenaikan harga barang.

Tiada ulasan: