Khamis, Mei 18, 2006

Kenaikan harga minyak punca inflasi meningkat

Tue | May 16, 06
Oleh Abu Bakar Rahman


KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh):
Inflasi sememangnya semakin meningkat, kian membebankan rakyat dan hakikat itu terbukti apabila indeks harga pengguna (CPI), yang merupakan indikator utama inflasi, meningkat kepada purata 4.63 peratus April ini, berbanding indeks yang dicatat April tahun lepas.

Menurut Business Times (BT), ia merupakan kesan kepada kenaikan harga minyak Febuari lalu dan pakar-pakar ekonomi menjangkakan inflasi akan terus meningkat pada separuh pertama tahun ini.

Sembilan pakar ekonomi yang memberi respon kepada soal-selidik BT mengenai inflasi itu juga memberi amaran bahawa inflasi akan terus memuncak dengan kenaikan tarif elektrik yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat tahun ini.

Inflasi pada Mac lalu melonjak ke tahap tertinggi dalam enam tahun, iaitu 4.8 peratus tahun atas tahun, berikutan kenaikan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Seri Dr Lim Keng Yaik telahpun menyatakan kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik, untuk pertama kali dalam sembilan tahun.

Mengambil kira kesan kenaikan tarif elektrik yang dijangka menaikkan lagi kadar inflasi dan akan tambah membebankan rakyat, dua persatuan pengguna baru-baru ini menggesa kerajaan menghentikan spekulasi kenaikan tarif elektrik dengan mengumumkan segera kadar baru.

Menurut mereka, kenyataan demi kenyataan mengenai isu itu yang tiada penghujung menyebabkan rakyat semakin resah.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Maamor Osman berkata, golongan berpendapatan rendah khususnya perlu bersedia awal bagi menghadapi kenaikan itu.

Beliau berkata, Lim tidak wajar menyatakan bahawa kadar tarif baru elektrik seumpama harga sebungkus rokok.

Kenyataan seperti itu, menurut beliau, boleh menggambarkan kerajaan tidak prihatin dengan masalah rakyat.

Menteri berkenaan pernah berkata, tarif baru elektrik yang akan diumumkan tidak lama lagi, sama dengan harga sebungkus rokok sahaja (harga sebungkus rokok 20 batang RM7).

Maamor berkata, kenyataan terbaru itu pasti mendorong peniaga menjadikannya alasan untuk menaikkan produk dan perkhidmatan mereka.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah mahu kerajaan menetapkan kadar baru tarif elektrik seadil-adilnya terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ketika ini, rata-rata kadar purata bil elektrik sesebuah isi rumah berpendapatan rendah melebihi RM50.

Justeru kata beliau, kerajaan perlu memastikan bahawa kadar tarif baru elektrik itu tidak memberi kesan kepada golongan tersebut. -mr

Tiada ulasan: