Jumaat, Mei 19, 2006

TARIF ELEKTRIK: TNB PERLU TANGANI KETIDAKPUASAN HATI PENGGUNA

Laman Marhaen
19 Mei 2006

Pengumuman tentang kenaikan kadar tarif elektrik pada bulan hadapan memang sudah dijangka. Dalam keadaan terpaksa menerima hakikat bahawa kenaikan tersebut akan berlaku, namun yang menjadi persoalan ialah sebanyak mana kenaikan itu dan kadar penggunaan yang dikenakan. Kerajaan dan TNB telah memberikan jaminan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas secara langsung apabila berlakunya kenaikan tarif elektrik ini dan kadar baru akan dikenakan berdasarkan kepada semakin banyak tenaga elektrik yang digunakan, maka semakin tinggi kadar tarif yang akan dikenakan.

Kenaikan tarif ini dibuat memandangkan kedudukan kewangan TNB yang agak tenat pada masa ini. TNB dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM1 bilion pada setengah tahun berakhir pada Februari 2006. Walaupun kami amat memahami tentang tekanan kuasa-kuasa pasaran melonjakkan kos penjanaan tenaga, namun begitu, masih terdapat faktor ketidakcekapan operasi TNB yang turut menyumbang kepada bebanan kewangan ini.

Isu dalaman seperti perjanjian tidak seimbang dalam pembelian tenaga dengan Penjana Tenaga Bebas (PTB), tidak dapat tidak, turut mempengaruhi kedudukan kewangan TNB. Begitu juga pandangan yang diberikan oleh kerajaan agar kedua-dua pihak, TNB dan PTB, dapat mencapai kata sepakat yang dapat menguntungkan semua pihak, termasuk pengguna. Dengan kos sebanyak RM4 bilion setahun yang perlu dibayar kepada PTB, tanpa mengira sama ada tenaga yang dibeli itu digunakan sepenuhnya ataupun tidak. Tenaga yang dibekalkan oleh PTB menyumbang sebanyak 40% keperluan tenaga negara. Kini PTB dalam proses perbincangan dengan kerajaan dalam menentukan masa depan mereka, berdasarkan kepada tempoh 21 tahun konsesi yang akan tamat pada tahun 2015.

Dalam pada itu, terdapat beberapa isu lain dan ketidakpuasan hati pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan syarikat pembekal tenaga negara ini.

1. Pada masa ini kerja-kerja pembekalan, kaliberasi dan pemeriksaan meter dilakukan oleh TNB atau anak syarikatnya, yang mana telah menimbulkan persoalan dari segi konflik kepentingan dan ketelusan. Sewajarnya kerja-kerja ini dilaksanakan oleh sebuah badan bebas yang menjalankan perkhidmatan kaliberasi yang disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga atau Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK), sebagaimana kaliberasi alatan timbangan menurut Akta Timbang dan Sukat di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

2. Kerja-kerja pemasangan meter elektrik tidak diselia dan diperiksa bagi memastikan ia dipasang secara yang betul. Bacaan sebenar meter jarang sekali diaudit, khususnya bagi pengguna baru dan kalangan pengguna besar tenaga elektrik. Ini menyebabkan masalah kerugian bukan teknikal dan pengebilan yang terkurang atau terlebih, sama ada yang merugikan pengguna atau TNB sendiri.

3. Amalan menggunakan faktor pendaraban dalam pengiraan tenaga sebenar yang dibekalkan ketika membaca meter hendaklah dihentikan bagi mengelakkan kesilapan dalam pengebilan. Meter yang dipasang hendaklah daripada jenis yang sesuai dari segi bebanan elektrik, khususnya bebanan dengan faktor tenaga yang rendah. Syarikat bekalan elektrik perlu menjalankan pemeriksaan dan pengauditan terhadap meter yang dipasang dari semasa ke semasa, terutamanya terhadap pengguna yang banyak menggunakan tenaga elektrik bagi mengesan sebarang kerosakan di peringkat awal. Walaupun peraturan yang ada pada masa ini membenarkan ketidaktepatan meter sehingga tiga peratus, namun begitu syarikat perlu memeriksa, menguji, menentukur dan menggantikan meter sekiranya rosak secara berkala.

4. Para pengguna masih mengadu tentang kekerapan gangguan bekalan elektrik, juruteknik TNB yang agak lambat bertindak mengatasi masalah yang dialami serta sikap tidak mesra pengguna di kalangan kakitangan bahagian khidmat pelanggan semasa mengendalikan aduan pengguna.

5. Lampu jalan tidak berfungsi sepenuhnya di beberapa kawasan. Malahan timbul kekeliruan di antara peranan TNB dan pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya menyediakan dan menyelenggarakan kemudahan tersebut.

6. Program pendidikan pengguna yang proaktif dan tersusun perlu dijalankan oleh pelbagai pihak yang berkaitan seperti Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Suruhanjaya Tenaga, syarikat bekalan elektrik dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan pengguna, bagi mendidik para pengguna tentang cara menggunakan tenaga elektrik secara lestari, penggunaan barangan elektrik secara yang selamat dan pemuliharaan tenaga.

FOMCA mencadangkan agar tahap minimum bagi kadar baru ini dinaikkan daripada kadar yang dicadangkan sebanyak RM33 kepada RM50.
Pada masa ini, tarif elektrik yang dikenakan berdasarkan penggunaan tenaga elektrik, iaitu:

200 unit pertama x RM0.218/unit = RM43.60
200 unit berikut x RM0.258/unit = RM51.60

Kebanyakan penduduk di Malaysia terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Berdasarkan audit penggunaan tenaga bagi kelaziman keluarga yang berpendapatan rendah yang duduk di pangsapuri, mendapati penggunaan tenaga elektrik mereka adalah seperti berikut*:


*Sumber: Suruhanjaya Tenaga Malaysia

Tahap kesedaran dan pendidikan pengguna tentang peri pentingnya menjimatkan penggunaan dan pemuliharaan tenaga elektrik ke arah kehidupan yang lestari masih tidak mencukupi. Samping penajaan korporat dan membiayai projek penyelidikan oleh universiti-universiti tempatan bagi meneroka teknologi penggunaan tenaga yang lestari, pihak TNB masih agak terhad dari segi menganjurkan dan menaja program pendidikan penggunaan tenaga elektrik. Sebagai satu-satunya syarikat yang mengendalikan pembekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, TNB harus melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia agar mereka menggunakan tenaga secara lestari. Suruhanjaya Tenaga memang telah menjalankan beberapa kempen pemuliharaan tenaga, namun sejauh mana keberkesanannya masih belum diketahui.

Walaupun kenaikan tarif elektrik seolah-olah tidak boleh disangkal lagi, namun begitu kenaikan tersebut perlulah setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang lebih baik. Dengan yang demikian, majoriti isi rumah di Malaysia akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik tanpa perlu mengorbankan keselesaan hidup yang asas, kesihatan dan keperluan pendidikan dalam usaha untuk mencapai masyarakat kelas dunia.


Muhammad Sha’ani bin Abdullah
Setiausaha Agung,
FOMCA - 19.05.2006

Tiada ulasan: