Jumaat, Mei 19, 2006

Malaysia catat kadar tertinggi inflasi selama tujuh tahun

Oleh Abu Bakar Rahman
Harakahdaily

Kadar inflasi Malaysia terus berada pada kadar tertinggi sejak tujuh tahun April lalu, akibat tindakan kerajaan menaikkan harga minyak Februari lalu.

Dari hanya 1.4 peratus pada 2004, kadar inflasi negara ini melonjak tiga peratus tahun lalu, yang tertinggi sejak 1988 dan Mac lalu ia memuncak sehingga 4.8 peratus, yang disifatkan terlalu tinggi oleh Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem.

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi tempoh Januari hingga April tahun ini meningkat sebanyak empat peratus kepada 102.6 berbanding 98.7 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Berbanding April 2005, IHP meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 103.4 daripada 98.9 manakala berbanding bulan sebelumnya, IHP kekal stabil pada 103.4 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Jabatan itu berkata kenaikan IHP sebanyak empat peratus itu adalah disebabkan oleh peningkatan indeks semua kumpulan utama kecuali pakaian dan kasut serta komunikasi yang masing-masing turun sebanyak 1.4 peratus dan 1.2 peratus.

Kenaikan kos pengangkutan sehingga 17 peratus April lalu menyebabkan kenaikan IHP. Bagi empat bulan pertama tahun ini, kos pengangkutan meningkat sehingga 13 peratus, membentuk separuh dari kenaikan IHP pada tempoh itu.

Menurut Sia Ket Ee, seorang pakar ekonomi di OSK Securities, kesan kenaikan harga minyak Februari lalu terus tergambar dalam data inflasi.

Harga pengguna naik empat kali pada empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kadar inflasi, yang meningkat dua kali ganda tahun lalu, dijangka akan bertambah tinggi berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu bahawa kerajaan mungkin akan menaikkan tarif elektrik, kenaikan pertama sejak sembilan tahun.

"Ia mungkin akan bertambah teruk dengan kenaikan tarif elektrik," Bloomberg memetik Sia.

"Purata kenaikan (tarif) sejak Mei 1997 ialah 8.3 peratus dan jika kita ambilkira akibat kenaikan tujuh hingga 10 peratus bulan hadapan, ia akan melonjakkan angka IHP pada kadar 0.2 hingga 0.3 peratusan mata"

Kerajaan meningkatkan harga minyak sehingga 23 peratus pada penghujung Februari, kenaikan kelima sejak Mei 2004, dan Bank Negara Malaysia pula menaikkan kadar faedah untuk kali kedua pada tahun ini 26 April lalu selepas inflasi melonjak ke tahap yang tertinggi sejak tujuh tahun Mac lalu.

Kadar tahunan inflasi Mac lalu adalah yang tertinggi sejak Januari 1999, yang termasuk angka-angka yang dikira menggunakan tahun asas yang berlainan. Angka inflasi 2006 dikira dengan menggunakan 2005 sebagai tahun asas.

Inflasi yang lebih mendadak akan mendorong Bank Negara menaikkan lagi kadar faedah tahun ini, kata pakar-pakar ekonomi.

"Masih ada dua tau tiga pusingan lagi kenaikan kadar faedah tahun ini," Bloomberg memetik Wong Chee Seng, seorang pakar ekonomi di ECM Libra Securities.

Bank Negara telah menaikkan kadar faedah tiga kali sejak November. Kemuncaknya ialah apabila dinaikkan kepada 3.5 peratus 26 April lalu. Mereka yang membuat polisi Bank Negara dijangka akan bersidang sekali lagi 22 Mei ini.

Namun begitu, walaupun pengukuhan ringgit akan menaikkan kos barangan yang dieksport, ia juga dijangka mengurangkan tekanan ke atas Bank Negara untuk menaikkan lagi kadar faedah apabila kos barangan yang diimport menjadi lebih rendah.

Ringgit meningkat 0.7 peratus kepada RM3.5773 berbanding dollar. Ia meningkat 5.7 peratus berbanding dollar tahun ini.

1 ulasan:

kum berkata...

encik boleh tanya encik dptkan statistik inflasi dekat mana tak?