Selasa, Mei 09, 2006

TNB mahu naikkan tarif, Keng Yaik khianat

Malaysia Today
Saturday, May 06, 2006

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat permohonan menaikkan tarif. Kenaikan tarif tersebut akan memberi kesan kepada 55% daripada 6.2 juta pelanggan TNB. Tindakan tersebut jelas tidak meletakkan kepentingan negara dan pengguna kerana ia hanya melindungi keuntungan berganda Independent Power Producers (IPP) dan akan membuatkan inflasi bertambah teruk bagi 25 juta penduduk Malaysia.

Inflasi ialah pada kadar tertinggi dalam tujuh tahun, pada April 2006 ia pada kadar 4.8%, akibat daripada kenaikan harga minyak yang membawa kesan kepada Bank Negara yang terpaksa menaikkan kadar faedah kepada 3.5%, baru-baru ini.

Kenaikan kadar faedah akan pastinya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan menimbulkan kesangsian terhadap objektif pertumbuhan ekonomi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) iaitu untuk mencapai 6% pertumbuhan dari 2006-2010. Malaysia perlu capai pertumbuhan 6.5% bagi mendapat status negara maju.

International Monetary Fund (IMF) baru-baru ini telah menurunkan ramalan kadar pertumbuhan Malaysia bagi 2006 kepada 5.5% daripada 6%, menyebabkan tekanan meningkatnya inflasi.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah berjanji melindungi kepentingan pengguna tetapi kini mengkhianatinya dengan mengumumkan persetujuannya kepada cadangan TNB menaikkan tarif elektrik, yang akan dikuatkuasakan seawal bulan depan.

Dalam cadangan terakhir TNB kepada kerajaan, pengguna akan dikenakan kadar baru hanya jika bil bulanan melebihi RM33 (atau penggunaan 150 kilowatts sejam). Kira-kira 45% daripada 6.2 juta pelanggan TNB yang mempunyai bil sehingga RM33 dan dengan itu tidak terjejas dengan kadar baru.

Satu lagi faktor penting bahawa kenaikan tarif TNB tidak selari dengan kepentingan negara kerana keuntungan IPP dijamin oleh TNB. TNB terpaksa membayar kepada IPP walaupun ia tidak memerlukan kuasa sebegitu banyak. Marjin simpanan TNB sebanyak 40%, salah satu yang tertinggi di dunia.

Usaha-usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan marjin simpanan kepada 15-20%, selari dengan negara-negara maju dan cara untuk melakukannya ialah dengan membuat reviu akan kontrak dengan IPP. TNB akan membayar lebih tinggi dengan siapnya dua lagi jana kuasa pada awal 2009, iaitu tambahan RM2.13bil kepada RM4 bil yang sedia ada.

Penurunan harga yang lebih besar mampu dicapai dengan menyemak semula pembayaran RM4 bilion kepada IPP untuk pembelian kuasa elektrik yang TNB tidak diperlukan. Memang tindakan yang bodoh dan strategi kewangan yang tidak masuk akal, dengan terus membeli kuasa elektrik yang tidak diperlukan.

Selagi kontrak TNB dan IPP yang berat sebelah tidak disemak semula , kenaikan dalam tarif elektrik hanya akan mengayakan IPP yang sudah sedia kaya dengan mengambil kesempatan terhadap rakyat Malaysia seluruhnya.

Para menteri Kabinet mesti menjaga kepentingan dan kebajikan 55% rakyat Malaysia dan menolak cadangan kenaikan tarif tersebut kerana ia tidak adil dari segi ekonomi, tidak mengambilkira kepentingan negara dan menjadi beban tambahan ekonomi kepada rakyat Malaysia, yang hanya akan meningkatkan kadar inflasi dan melembabkan pertumbuhan ekonomi.

Tiada ulasan: