Oleh Norfatimah Ahmad
KIRA-KIRA 300 pembungkus dan 30 pengilang minyak masak dijangka menerima bayaran awal 10 peratus daripada jumlah kerugian yang ditanggung, bermula esok berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang sekali gus menyebabkan kenaikan kos operasi mereka.
Itulah janji Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi diterajui Datuk Peter Chin Fah Kui minggu lalu apabila mengumumkan subsidi RM151.5 juta kepada pihak terbabit untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini – semuanya untuk memastikan bekalan mencukupi dan harga produk itu stabil di pasaran.
Apa lagi yang perlu dikatakan, selain syabas kepada Chin yang bertungkus lumus meneliti masalah yang dihadapi pihak terbabit. Walaupun tindakan yang diambil agak lewat, berbanding ketika masalah sama melanda negara pada 2004, sekurang-kurangnya nasib pembungkus yang turut terjejas tidak diabaikan.
Seperti kata pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); “Buat pertama kali, pengusaha kilang membungkus minyak masak diberi pampasan kerana pada tiga kejadian sebelum ini hanya pengilang dibayar ganti rugi.”
Bayaran awal itu akan disalurkan menggunakan baki dana akaun amanah industri (ses) pada 2004 sebanyak RM45 juta. Bagaimanapun, apabila Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dilaksanakan bulan depan, dijangka sebanyak RM661.2 juta dapat dikutip daripada kira-kira 4,100 peladang kelapa sawit.
Pada masa sama, satu lagi berita gembira apabila kira-kira 300,000 peneroka, peserta tanah rancangan dan pengusaha kebun kecil kelapa sawit persendirian yang memiliki keluasan tanah kurang 40.5 hektar dikecualikan daripada membayar ses.
Jelas di sini, MPOB sebagai agensi pelaksana skim berkenaan menjalankan kajian terperinci apabila mengambil kira kepentingan pekebun kecil sebelum menyenaraikan cadangannya kepada Chin.
Kali terakhir skim penstabilan harga dilaksanakan adalah pada 2004, apabila harga MSM melonjak ke tahap lebih RM1,700 setan.
Isu minyak masak mula menjadi bualan ramai sejak sebulan lalu, apabila pengguna dan peniaga, khususnya di utara Semenanjung dan Lembah Klang mengadu sukar memperoleh minyak masak berasaskan sawit atau terpaksa membayar lebih daripada harga siling untuk mendapatkannya. Peruncit dikatakan enggan menjual barang itu berikutan tindakan pemborong menaikkan harga melebihi paras ditetapkan.
Bulan lalu juga, Chin memberi jaminan harga siling minyak masak berasaskan sawit dikekalkan pada paras semasa, walaupun ia dibuat ketika harga MSM berada pada RM1,358 setan pada 10 tahun lalu.
Walaupun kerajaan tidak melayan permintaan industri minyak masak yang meletakkan harapan untuk kerajaan menaikkan harga produk itu di pasaran, sekurang-kurangnya buat masa ini pelaksanaan skim penstabilan harga itu dapat meredakan situasi yang mula mempengaruhi pasaran sejak akhir 2006.
Lojiknya dengan pengumuman melaksanakan skim penstabilan harga, segala masalah berkaitan minyak masak sejak beberapa bulan ini tidak seharusnya berlaku. Malah, persetujuan Konsortium Pembungkus dan Pembekal Minyak Masak Malaysia untuk menyediakan bekalan mencukupi di seluruh negara seharusnya menjadi pegangan semua pihak bagi membuktikan bahawa krisis produk ini bakal tamat dalam masa terdekat.
Jika Chin memperjuangkan hak sektor perusahaan perladangan dan komoditi negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula tidak terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memelihara kepentingan pengguna.
Sejajar itu juga, 241 daripada 2,691 premis yang diperiksa penguat kuasa KPDNHEP sejak 16 April lalu, diberi amaran kerana tidak menjual minyak masak 1 kilogram (kg) dengan alasan ia tidak menguntungkan.
Malah, arahan sudah dikeluarkan supaya pembungkus dan pembekal hanya menyediakan bekalan minyak masak sehingga 60,000 tan sebulan untuk kegunaan isi rumah tempatan, sebagai langkah kawalan untuk mengimbangi keadaan di pasaran.
Terkini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal memaklumkan keyakinan beliau bahawa masalah kekurangan bekalan minyak masak di pasaran dapat diatasi dalam masa satu atau dua minggu lagi. Kenyataan Mohd Shafie itu dikeluarkan selepas Chin memberi jaminan mengenainya dalam perbincangan yang diadakan, baru-baru ini.
"Insya-Allah kita boleh atasi masalah ini kerana minyak masak dikeluarkan di negara kita dan sumbernya iaitu kelapa sawit juga datang dari negara kita. Ketika ini minyak masak bagi 15kg atau 5kg memang ada, cuma bekalan 1kg atau 2kg di luar bandar yang dibungkus dalam plastik saja ada masalah," katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman krisis barang kawalan yang berlaku sebelum ini seperti gula, tidak mustahil jika masih ada peruncit yang mendapat tekanan pemborong dan pengilang yang menaikkan harga produk sewenang-wenangnya.
Kawalan terhadap barang keperluan asas boleh dilaksanakan menerusi Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana pengilang, pengedar dan peruncit, tidak boleh menaikkan harga sesuka hati dan perlu mendapatkan kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Ketika inilah, penguat kuasa KPDNHEP boleh menunjukkan taring untuk bertindak terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu dan pada masa sama pengguna, mahupun peruncit yang ditindas sepatutnya berani tampil mengemukakan aduan untuk tindakan lanjut.
Sebarang salah laku peniaga boleh dilaporkan menerusi talian bebas tol 1-800-886-800, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 36663 dengan menaip ADU penipuan harga diikuti alamat premis atau e-mel ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my.
Satu lagi saluran aduan adalah menerusi Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-78779000, atau mengisi borang e-aduan di laman web www.nccc.gov.my.
Seperti yang sering kali dihebahkan KPDNHEP - pengguna boleh menjadi `mata dan telinga' kerajaan yang berkesan dengan menyalurkan aduan dan maklumat supaya dapat dilakukan sebarang tindakan susulan.
Bagaimanapun, selain itu diharapkan KPDNHEP tidak melupakan satu lagi perkara yang wajar dipertimbangkan iaitu menetapkan harga siling minyak masak di semua peringkat pasaran, bukan seperti sekarang apabila kawalan hanya ditetapkan pada peringkat peruncit.
Akta Kawalan Harga meletakkan 11 barang keperluan mengikut harga kawalan, bermaksud peruncit tidak boleh menjual melebihi harga siling ditetapkan. Bagaimanapun, akta ini tidak mengenakan kawalan harga terhadap pembekal atau pemborong. Jika mereka meletakkan harga melebihi harga siling, peruncit akan menghadapi masalah untuk menjualnya kepada pengguna. Justeru, adalah lebih berkesan jika kawalan harga mencakupi peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
Berita Harian
17 Mei 2007