KUALA LUMPUR, 17 Sept (Hrkh) - Pelbagai pihak menggesa polis segera bertindak tegas ke atas 'orang besar' ataupun ahli politik yang dikatakan melindungi kegiatan along.
Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Pusat, Hj Mahfuz Omar berkata, siasatan tersebut hendaklah dipercepatkan kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.
"Kita harap polis tangkap dan dakwa mereka dan polis juga perlu tegas dalam isu ini kerana gejala ini makin menjadi-jadi sehingga mengakibatkan pembunuhan dan perbuatan jenayah lain," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Abu Bakar Mustafa dilapor oleh akhbar hari ini sebagai berkata, bahawa kemungkinan terdapat `orang besar' di sebalik kegiatan along sehingga membuatkan mereka semakin berani melakukan jenayah termasuk membunuh peminjam yang gagal membayar hutang serta mengugut dan mengancam anggota polis.
Dalam masa yang sama juga Mahfuz berkata, orang-orang yang berpengaruh tersebut sepatutnya sedar dan bertanggungjawab kepada negara dan rakyat bukannya bersubahat dengan along.
"Sebab itu saya minta selain mempercepatkan siasatan untuk pendakwaan, individu itu mesti didedahkan kepada umum," pintanya.
Beliau berkata, kegiatan along yang sudah lama bertapak di negara ini perlu juga diberi fokus oleh polis dengan bersungguh-sungguh kerana perlakuan mereka selain dipercayai mendapat perlindungan orang-orang atasan tetapi mereka juga dibimbangi dilindung pihak berkuasa sendiri.
"Inilah yang kita takut kerana sekiranya jenayah ini melibatkan pihak tersebut tentunya sukar untuk dibanteras," katanya sambil menyifatkan sekiranya institusi keselamatan terlibat dengan gejala buruk seperti along keamanan negara tidak terjamin.
Justeru itu katanya, pihak polis perlu memerangi jenayah along secara berterusan bukannya bermusim kerana ia perlu diselidik sehingga ke akar umbi untuk mencari siapa dalang sebenarnya.
Malah katanya, amat dibimbangi jika kelemahan dan kelalaian tersebut berpunca dari pihak berkuasa kerana masyarakat akan terancam.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar berhenti daripada budaya meminjam wang daripada along.
"Sebenarnya mereka tak payah berhutang dengan along sebab risikonya terlalu tinggi dan saya juga meminta agar institusi kewangan negara ini permudahkan prosedur untuk mengeluarkan pinjaman," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Yusof Abdul Rahman berkata, jika polis sendiri sudah ada maklumat bahawa wujudnya orang besar berada di belakang along maka mereka tidak boleh berlengah lagi untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ini katanya jenayah tersebut mengancam keselamatan orang-orang yang menjadi mangsa along.
"Memang sukar untuk polis bertindak apabila sesuatu kes melibat orang yang berpengaruh tetapi ia adalah satu sindiket yang sangat merbahaya," katanya.
Sementara itu, katanya, akta pinjaman syarikat kewangan berlesen yang sering digunapakai oleh syarikat pinjaman haram seperti along wajar ditukarkan daripada kendalian Kementerian Perumahan dan Tempatan kepada Kementerian Kewangan supaya dapat diseliakan di bawah bidang kuasa Bank Negara sendiri.
"Kebanyakan along ini diwujudkan oleh syarikat kewangan yang tidak berlesen ini yang menimbulkan masalah kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengalami kekurangan pegawai penguatkuasa untuk memantau syarikat terbabit.
"Sudah tentu sukar untuk pihak berkuasa ambil tindakan apatah lagi jika along dilindungi pula oleh orang besar sedangkan kerajaan sendiri mahu wujudkan negara yang bebas dari rasuah dan salahlaku kuasa," katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, polis perlu mengambil tindakan sama rata tidak kira orang besar ataupun rakyat biasa dalam menangani jenayah tersebut. - mks.HARAKAH - 17 September 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan