Jumaat, Disember 17, 2004

Kerajaan ugut rakyat melalui denda RM100

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 16 April (Hrkh) - Kerajaan disifatkan mengamalkan sikap dan dasar ugutan apabila menguatkuasakan hukuman denda RM100 kepada pemohon MyKad yang gagal mengambil kad dalam tempoh tiga bulan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan, pihaknya kesal kerajaan hanya menggunakan kaedah denda bagi menyelesaikan masalah lambakan kad pengenalan yang telah diproses di Jabatan Pendaftaran Negara sedangkan usaha untuk menghubungi pemohon kurang dititikberatkan.

Mahfuz berkata demikian, semasa diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato'Azmi Khalid yang menyatakan mengikut peraturan baru, mereka yang gagal mengambil MyKad yang telah dipohon selepas tiga bulan akan dikenakan denda RM100 berbanding RM30 sebelum ini jika menuntutnya selepas tempoh dua tahun.

Kata Mahfuz lagi, kerajaan sebaliknya harus membuat pendekatan yang lebih mesra rakyat di mana JPN sepatutnya diarahkan untuk mengenalpasti alamat terkini dan terdahulu pemohon untukdihubungi bagi supaya mengambil kad pengenalan yang telah siap.

Apa yang beliau lihat katanya lagi, JPN sendiri terdedah kepada pelbagai masalah melibatkan pengurusan pemberitahuan kad yang sudah siap kepada pemohonnya.

Janji BN untuk mesra rakyat tidak tertunai

Sementara itu , Pengerusi, Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP),Lim Kit Siang menegaskan, tindakan denda tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan janji Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2004 untuk mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang responsif, boleh dipercayai dan mementingkan rakyat.

Beliau menegaskan pihaknya kesal kerajaan bertindak mahu mengenakan denda RM100 sedangkan kebanyakan orang awam tidak diberitahu bahawa MyKad sudah siap untuk kutipan dan jabatan-jabatan pendaftaran negara di seluruh negara tidak berupaya menangani permintaan umum untuk mengutip MyKad mereka selepas ugutan denda RM100 itu.

Menurut Kit Siang lagi, perkara tersebut boleh dilakukan melainkan kerajaan bersedia mengenakan denda RM100 untuk Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan pegawai kerajaan bagi setiap perbuatan yang mencerminkan ketidakcekapan, ketidaksopanan atau kegagalan memberikan perkhidmatan awam berkualiti.

Pemohon cuai, MyKad dokumen rasmi

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah, Mohd Yusof Abdul Rahman pula memberi reaksi berbeza, katanya pihaknya melihat tindakan kerajaan tersebut wajar bagi mengingatkan kepada pemohon khasnya warganegara Malaysia bahawa MyKad atau pengenalan diri rasmi sebagai rakyat Malaysia adalah penting.

"Tidak timbul soal denda mahupun hukuman, sebaliknya sikap bertanggungjawab pemohon harus diambil kira, pemohon perlu sedar bahawa MyKad adalah dokumen paling penting kepada rakyat Malaysia dalam apa juga urusan," tegasnya lagi semasa diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, pemohon perlu sedar bahawa dalam kad sementara yang diberi kepada pemohon selepas membuat sesuatu pemohonan MyKad ada dinyatakan arahan supaya pemohon menghubungi JPN selepas sebulan dari tarikh permohonan.

Justeru, kata Mohd Yusof lagi, atas dasar kesedaran sebagai rakyat Malaysia, sikap kebertanggungjawapan mesti didahulukan lebih-lebih lagi berhubung soal penting seperti urusan MyKad.

Pada 8 April lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 32,065 orang menuntut kad pengenalan pintar (MyKad) mereka yang telah siap di seluruh negara sehingga semalam, berikutan langkah kerajaan memendekkan tempoh tuntutan kepada tiga bulan berbanding dua tahun berkuat kuasa 6 April lalu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Azmi Khalid berkata, dalam akhbar tersebut menegaskan jumlah itu adalah 15 peratus daripada keseluruhan 240,594 kad pengenalan yang tidak dituntut oleh pemohon walaupun surat pemberitahuan dikeluarkan oleh pejabat-pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, perangkaan yang diterima sehingga pukul 12 tengah hari semalam itu tidak termasuk pusat-pusat pengambilan MyKad di beberapa kaunter JPN di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat menyerahkan angka kad pengenalan yang dituntut, berikutan masalah komunikasi.

Katanya lagi, peratusan pemohon MyKad yang menuntut kad pengenalan mereka yang telah siap ialah 15 peratus dalam sehari dan jumlah itu agak tinggi dan kerajaan yakin dalam tempoh 10 hari, jumlah mereka yang menuntut kad pengenalan masing-masing akan selesai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Imigresen dan JPN Perlis di Wisma Persekutuan, 8 April lalu.

Kerajaan kelmarin membuat keputusan memendekkan tempoh menuntut MyKad kepada tiga bulan berbanding dua tahun sebelum ini bagi mengatasi masalah timbunan kad pengenalan yang tidak diambil selepas pemberitahuan.

Azmi ketika mengumumkan perkara itu berkata, mengikut peraturan baru itu, mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan denda RM100 berbanding RM30 sebelum ini jika menuntutnya selepas tempoh dua tahun. - mks.

HARAKAH - 16 April 2004

Tiada ulasan: