PELUANG GOLONGAN MISKIN TERTUTUP
Idris Musa
KUALA LUMPUR: Beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesal dengan pendirian kerajaan Selangor membenarkan golongan berpendapatan tinggi membeli rumah kos rendah. Menurut mereka, keputusan itu mengakibatkan sasaran memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri akan tergugat, manakala golongan berpendapatan tinggi bertambah kaya. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak, berkata pihaknya membantah kerana ia bertentangan dengan tujuan utama membina rumah kos rendah iaitu menyediakan penempatan yang mampu dibeli golongan miskin.
"Tiada negara di dunia ini golongan kaya benar-benar prihatin dengan kebajikan golongan miskin," katanya. Beliau mengulas rancangan kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada golongan berpendapatan tinggi membeli rumah kos rendah bagi mengurangkan lambakan kediaman itu. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, kelmarin berkata kerajaan sudah meluluskan pembinaan 225,000 unit rumah tetapi sehingga kini hanya 50,000 unit terjual.
Beliau berkata, pihaknya akan buat satu dasar baru bagi mengatasi lambakan itu. Katanya, melalui kelonggaran itu pembeli boleh menyewakannya kerana pihaknya melihat kebanyakan mereka yang berhijrah ke Selangor tidak mampu membeli rumah dalam masa terdekat. Zainal berkata, kerajaan sepatutnya membeli semua hartanah yang tidak terjual daripada pemaju dan mewujudkan skim sewa beli kepada kumpulan berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Maamor Osman, juga menentang rancangan itu kerana ia bukan menolong golongan miskin sebaliknya orang kaya. "Jika orang kaya dibenarkan membeli rumah kos rendah, peluang orang miskin untuk memilikinya semakin terhakis, malah wawasan mewujudkan setinggan sifar dikhuatiri tidak kesampaian. "Keputusan membenarkan golongan kaya membeli rumah kos rendah tidak sepatutnya dibuat, sebaliknya perlu ditekankan usaha mengadakan pendekatan supaya orang berpendapatan rendah memiliki rumah.
"Contohnya, mengenakan kadar pinjaman rendah dan bagi tempoh panjang, supaya golongan miskin mampu membuat bayaran dan lambat-laun memiliki rumah sendiri," katanya. Pengerusi Persatuan Pengguna Subang/Shah Alam (CASSA), Dr Jacob George, berkata sebelum mengambil sebarang keputusan kerajaan Selangor sepatutnya merenung kembali dasar dan konsep pembinaan rumah kos rendah sejak 30 tahun lalu, bertujuan menjaga kepentingan golongan miskin.
"Rumah kos rendah dibina untuk golongan berpendapatan rendah, jadi tiada alasan kenapa ia diberikan kepada golongan kaya. "Jika masih banyak rumah tidak dibeli, kerajaan sepatutnya memikirkan satu kaedah lain supaya ia dimiliki golongan miskin, seperti memberikan kelonggaran tempoh pinjaman yang lebih lama. Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman, menegaskan kerajaan Selangor perlu membuat kajian terperinci sebelum dilaksanakan. Beliau berkata, cadangan itu menafikan hak golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kos rendah kerana mereka terpaksa bersaing dengan golongan berada.
HARIAN METRO - 13 April 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan