KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu adalah orang pertama yang perlu bertanggungjawab di atas kejadian tanah runtuh di Kilometer 302 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Perak baru-baru ini.
Menurut Pengurus Korporat, Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhamad Yusuff Abd Rahman ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, menteri tersebut yang menentukan setiap projek lebuh raya di negara ini.
"Oleh sebab itu, apapun alasannya menteri terbabit tidak boleh salahkan pihak lain di atas kejadian-kejadian yang berlaku sama ada sekarang ataupun sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, kesilapan struktur perancangan adalah antara faktor yang menyebabkan kawasan-kawasan cerun ataupun tanah tinggi mengalami masalah tanah runtuh.
Sementara itu dalam kejadian tersebut, kerajaan mengumumkan bahawa laluan hala selatan ditutup selama tiga bulan bagi membaiki kerosakan yang berlaku di lebuh raya berkenaan.
"Memanglah apabila setiap pembinaan tidak mengambil kira dari segi kesan alam sekitar seperti jumlah kelebatan hujan dan sebagainya maka bencana mudah berlaku.
"Tetapi manusia yang merancang pembinaan itu termasuk pihak kerajaan, kontraktor dan badan-badan lain seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab apabila berlakunya kejadian tersebut," kata Yusuff.
Sebaliknya beliau mendakwa pihak tersebut lebih suka menyalahkan bencana alam dan sebagainya sebagai puncanya sedangkan kejadian seumpamanya itu sudah kerap berlaku sehingga ada yang meragut nyawa.
"Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dinyatakan kepada kita tambahan pula tragedi-tragedi yang berlaku contohnya lebuh raya NKVE Damansara, MRR2, Kepong dan sekarang ini di Gua Tempurung menyukarkan laluan kepada para pengguna," katanya.
Malah katanya, lebuh raya merupakan laluan utama kepada rakyat di negara ini.
Oleh sebab itu katanya, apabila timbul kesukaran kepada pengguna di atas kejadian tersebut, kerajaan perlu prihatin terhadap masalah yang ditanggung mereka umpamanya memberi potongan dalam pembayaran tol.
Ini katanya, selari dengan matlamat kerajaan membina lebuh raya adalah untuk keselesaan rakyat.
"Jadi apa salahnya kerajaan membayarkan balik harga kesukaran yang dihadapi rakyat itu dengan potongan bayaran tol," sarannya.
Selain itu katanya, kerajaan juga tidak seharusnya mengabaikan jalan-jalan persekutuan kerana jalan ini juga penting bagi pengguna.
Ini katanya, jalan-jalan persekutuan banyak yang tidak selesa untuk digunakan malah suasana tambah buruk apabila berlaku penutupan di laluan lebuh raya.
Seterusnya beliau berkata, setiap projek yang bakal dilaksanakan kerajaan harus menumpukan aspek alam sekitar supaya ia tidak tercemar yang akhirnya boleh mendatang bencana alam. - mks.
HARAKAH - 18 Oktober 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan